[Nota PPISMP] Sejarah Sosioekonomi Malaysia Sehingga 1970 : Dasar Pendidikan Kebangsaan

Pada era Tanah Melayu mengecapi kemerdekaan, telah timbul kesedaran dan pemikiran dalam kalangan pemimpin termasuk juga rakyat Malaysia tentang betapa pentingnya untuk mewujudkan satu pelaksanaan atau sistem pendidikan kebangsaan yang selaras. Hal ini bertujuan untuk menggantikan sistem pendidikan yang telah diwujudkan oleh penjajah supaya sistem pendidikan yang baru dapat memenuhi keperluan dan manfaat kepada negara. Pendidikan juga mampu untuk membuka minda individu mengenai betapa pentingya mengekalkan rasa hormat antara satu sama lain dan perpaduan.[1]

Melalui kesedaran ini, maka lahirlah Dasar Pendidikan Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran tahun 1957.[2] Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan Menteri Pelajaran pada waktu itu telah menubuhkan Jawatankuasa Pelajaran maka keluarlah laporan yang dikenali sebagai Penyata Razak (1956) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Tujuan paling besar Penyata ini diwujudkan ialah untuk menyatupadukan kaum di Malaysia yang mana pada waktu itu terpisah oleh bahasa dan budaya yang berbeza-beza.[3] Dasar pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960 dan menghasilkan Laporan Rahman Talib yang akhirnya dimaktubkan dalam Akta Pelajaran tahun 1961.

Jawatankuasa Kabinet pula telah ditubuhkan kerajaan pada tahun 1974 yang bertujuan menyemak kembali Dasar Pendidikan Kebangsaan dan dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad yang memegang jawatan sebagai Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu. Hal ini berikutan daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang memberi pengajaran besar kepada kerajaan untuk mengatasi masalah pertembungan antara etnik-etnik di Malaysia. Oleh itu, kerajaan memperkuatkuasakan dua perkara iaitu Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru pada 1970 untuk memupuk perpaduan dikalangan rakyat di Malaysia manakala Dasar Pendidikan Kebangsaan merupakan elemen untuk menjayakan perkara ini dalam pendidikan. Laporan jawatankuasa ini bertujuan untuk menyatupadukan rakyat seperti yang terdapat dalam Akta Pelajaran 1961 iaitu menjadikan pendidikan sebagai alat utama untuk mencapai perpaduan di negara.

Strategi penyelarasan bahasa pengantar pendidikan telah digunakan. Dalam laporan ini, matlamat pendidikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi utama dan bahasa untuk menyatukan rakyat (Mohd Yazid Yusoff et al., 2002).[4] Bahasa merupakan jiwa bangsa kerana berupaya mewujudkan perpaduan antara pelbagai kaum di Malaysia. Bahasa yang diguna pakai umum untuk berbicara akan mempercepat proses pemindahan maklumat, berupaya mengelakkan salah tafsir, rasa curiga dan memperkaya informasi. Strategi ini dilaksanakan tanpa menidakkan bahasa-bahasa ibunda kaum lain seperti bahasa Cina dan Tamil. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan perlu digunakan secara optimum seperti dalam urusan rasmi sekolah dan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Bahasa yang selaras mampu mewujudkan kefahaman dalam proses komunikasi dan perhubungan dua hala. Hal ini membolehkan semua rakyat Malaysia mampu berbahasa Melayu dan semua kaum mampu untuk berkomunikasi dengan orang lain walaupun mereka berlainan kaum. Selain itu, bahasa yang selaras dapat mengelakkan daripada berlakunya salah faham dan salah tafsir akibat penggunaan bahasa yang berbeza. Kesepakatan juga mudah dicapai sekiranya kefahaman dalam komunikasi dapat dicapai yang akhirnya membawa kepada perpaduan kaum di negara kita ini. Oleh itu, penyelarasan bahasa Malaysia di sebagai bahasa pengantar di sekolah amatlah berkesan dalam memupuk perpaduan di Malaysia.

Penyelarasan sistem pendidikan juga telah dilaksanakan untuk semua jenis sekolah secara menyeluruh. Penyelarasan kurikulum, penilaian dan peperiksaan bermatlamat untuk melahirkan rakyat Malaysia yang bersatu padu walaupun mereka datang daripada latar belakang yang berlainan serta pelbagai. Misi membina Integrasi Nasional ini selaras dengan salah satu cabaran yang digariskan dalam Wawasan 2020. Penyelarasan sistem pendidikan sangat membantu dalam memupuk nilai perpaduan dalam diri pelajar. Penggunaan bahan oengajaran seperti buku teks sjerah dan geografi misalnya. Buku teks geografi dan sejarah telah diselaraskan menggunakan pengisian tentang negara kita bukannya negara asal kaum masing-masing.

Hal ini sangat menyumbang kepada perpaduan kaum. Sebagai contoh penggunaan bahan mengajar yang selaras. Keselarasan telah diterapkan melalui pengisian tentang negara kita. Akhirnya semangat patriotik dan cinta akan tanah air akan terpupuk. Apabila lahirnya cinta pada tanah air, maka akan turut melahirkan sikap toleransi antara kaum kerana mereka percaya keamanan negara kesayangan mereka akan tercalar sekiranya perpaduan tidak dapat tercapai. Oleh itu, keselarasan sistem pendidikan amat penting dalam memupuk semangat perpaduan antara kaum di Malaysia.

Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM), Kadet Polis, Kadet Remaja Sekolah (KRS), Pengakap, Pandu Puteri dan Puteri Islam adalah antara persatuan beruniform yang wujud di kebanyakan sekolah di Malaysia. Organisasi seperti kelab dan unit beruniform itu tadi memberi peluang yang banyak untuk para pelajar mengasah bakat kepimpinan mereka, melatih disiplin diri serta ketahanan mental dan fizikal. Kementerian berkenaan telah menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai prasyarat kemasukan ke sekolah berasrama mahupun Institut Pengajian Tinggi. Melalui platform seumpama ini, bakat terpendam pelajar dapat dicungkil dan dimanfaatkan sepenuhnya. Pelajar akan mempelajari banyak perkara baru yang menyeronokkan sambil berkenalan dan bekerjasama dengan rakan-rakan lain. Organisasi kokurikulum merupakan model berskala kecil kepada kehidupan bermasyarakat yang bersistem. Maka isu-isu pengendalian manusia, formaliti, protokol, dan masalah-masalah berbangkit akan menambah pengalaman, menggerakkan minda yang tidur untuk mula melihat dunia di luar kerangka diri mereka dan berfikir di luar kotak fikiran mereka.

Selain itu, organisasi kokurikulum amat memainkan peranan penting dalam memupuk nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Melalui aktiviti yang menarik dan pelbagai, kokurikulum mampu menarik minat pelajar daripada pelbagai bangsa untuk menyertai aktiviti tersebut. Pergaulan ini menyebabkan perpaduan dapat dieratkan dan kesepakatan dapat dicapai. Sifat kepimpinan yang dipupuk juga mampu melahirkan nilai perpaduan dalam diri seseorang. Sifat kepimpinan melahirkan sifat toleransi dengan kaum lain dan mencipta nilai murni lain. Nilai murni ini dapat melahirkan pelajar yang rasional dan dapat melahirkan generasi yang sentiasa menitikberatkan soal perpaduan. Oleh itu, aktiviti kokurikulum amat berkesan bagi memupuk nilai perpaduan dalam kalangan generasi muda di Malaysia.

Kesimpulannya pelbagai Dasar Pendidikan telah dilaksanakan bermula daripada saat negara bebas daripada penjajahan British sehinggalah ke hari ini. Antara fokus utama dasar-dasar ini di samping untuk memberi pendidikan kepada rakyat ianya jelas menjadi alat terpenting untuk menyatupadukan dan mengintegrasikan etnik yang pelbagai di negara ini. Dasar-dasar ini berkembang dan berubah dari masa ke masa untuk memenuhi kehendak dan keadaan semasa. Walaupun dasar ini seringkali berubah, namun ia tidak lari daripada misinya yang asal iaitu membangunkan sesebuah negara di mana rakyatnya berbilang kaum, bersatu padu untuk memacu negara ke arah kegemilangan dan mampu bersaing dalam arus golbalisasi yang semakin mencabar.



[1] Norliza Abdullah. (2009, June 16). Pendidikan menyeluruh mampu bentuk perpaduan masyarakat. Berita Harian , p. 15
[2] Soon Mok Sang. (2014). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Cetakan Ketiga. Selangor: Siri Ilmu Pendidikan
[3] Dasar Pendidikan Kebangsaan. (2009). Dasar Pendidikan Kebangsaan. Retrieved from http://www.pmo.gov.my/dokumenattached/Dasar/09DASAR_PENDIDIKAN_KEBANGSAAN.pdf

[4] Mohd Yazid Yusoof , Mohd Noor Mohd Zain dan Idris Omar. (2002). Kertas Kerja : Persamaan  dan Perbezaan Akta Pelajaran Dengan Akta Pendidikan 1996  melalui         http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2002&dt=0125&pub=DuniaPendidikan &sec=Kertas_Kerja&pg=kk_01.htm  

[Nota PPISMP] Sejarah Sosioekonomi Malaysia Sehingga 1970 : Pengenalan

 Pengenalan        

            Perpaduan dari segi istilahnya bermaksud pergabungan, peleburan, penggabungan, persesuaian atau persepakatan.[1] Perpaduan dari segi bahasa pula membawa maksud satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara keseluruhannya melalui ideologi negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka.

             Semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, Tanah Melayu pada masa itu mendapat perhatian dan merupakan antara pusat untuk menjalankan kegiatan sosial dan ekonomi yang terbesar. Semasa era penjajahan British, kemasukan buruh daripada India dan China telah berlaku dengan pesat sekali. Sehingga tahun 1931, jumlah orang-orang bukan Melayu telah melebihi bilangan orang-orang Melayu di negeri mereka sendiri.[2] Hal ini menjadikan Tanah Melayu pada masa itu memiliki kepelbagaian kaum iaitu Melayu, Cina dan India. Dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan British telah menempatkan kaum India di estet-estet, kaum Cina di kawasan bandar dan kaum Melayu di kawasan perkampungan.

            Semasa penjajahan British, pihak Inggeris telah mewujudkan sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Cina, dan sekolah vernakular Tamil.[3] Sekolah-sekolah ini menggunakan sistem pendidikan yang berbeza mengikut kaum sebagai contoh sekolah vernakular India dan vernakular Cina menggunakan buku pendidikan dan pendidik yang didatangkan daripada tempat masing-masing. Sekolah vernakular Melayu dan Tamil pula hanya terhad untuk sekolah rendah sahaja, manakala sekolah vernakular Cina mendapat keistimewaan melalui sekolah rendah, junior middle dan senior middle serta lulusan untuk sekolah Melayu hanya setakat memenuhi keperluan tenaga manusia yang paling rendah.[4]
            
         Selepas kemerdekaan, telah berlakunya banyak masalah perpaduan kaum yang dihadapi negara seperti peristiwa 13 Mei 1969. Oleh itu, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia bagi memupuk serta menanamkan semangat patriotik dan perpaduan dalam diri masyarakat di Malaysia. Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru merupakan antara inisiatif kerajaan Malaysia yang digunakan sebagai elemen untuk memupuk perpaduan negara.



[1] Kamus Dewan. (2005). Edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[2] Comber, L. (2007). Peristiwa 13 Mei: Sejarah Perhubungan Melayu-Cina. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd.
[3] Shahril Marzuki, & Habib Mat Som. (1999). Isu Pendidikan di Malaysia: Sorotan dan Cabaran. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
[4] Mior Khairul Azrin. (2011). Sistem Pendidikan di Malaysia. Jurnal Sosiohumanika , 35.

[Nota PPISMP] Sejarah Sosioekonomi Malaysia Sehingga 1970

[Nota PPISMP] Sejarah Sosioekonomi Malaysia Sehingga 1970 : Pengenalan
https://sejarahmengajarkitahs.blogspot.my/2017/11/nota-ppismp-sejarah-sosioekonomi_46.html

[Nota PPISMP] Sejarah Sosioekonomi Malaysia Sehingga 1970 : Perbezaan sosioekonomi kolonial dengan selepas merdeka

[Nota PPISMP] Sejarah Sosioekonomi Malaysia Sehingga 1970 : Perbezaan sosioekonomi kolonial dengan selepas merdeka





Perbezaan Sosioekonomi yang dilaksanakan oleh kolonial berbanding dengan yang diamalkan oleh Kerajaan selepas kemerdekaan negara.


[Nota PPISMP] Pengantar Sejarah : Pengadilan Moral - Sejarah Melayu

          Menurut Kamus Dewan (2005)[i], perkataan pengadilan bersal daripada perkataan adil dan membawa maksud menyebelahi pihak yang benar tetapi bukan berdasarkan tindakan atau pun undang-undang ataupun keputusan ini bermakna tiada berlakunya penyebelahan pihak atau berat sebelah dalam membuat sesuatu keputusan. Moral pula member maksud ajaran atau pegangan tentang baik buruk tentang sesuatu perbuatan, sikap atau perbuatan serta dapat dikaitkan dalam menyokong pihak bukan kerana sifat kebendaan semata-mata. Menurut Qasim Ahmad (1991)[ii], pengadilan moral merupakan perlakuan menjatuhkan hukuman ataupun mengenakan penilaian tertentu kepada seseorang ataupun sesuatu peristiwa.

 Dalam penulisan sejarah tradisonal, terdapat banyak unsur bias atau memihak kepada sesetengah pihak atau mengangkat tinggi sesetengah pihak. Hal ini berlaku apabila sejarawan mula menolak objektiviti dan subjektiviti dalam sejarah menyebabkan berlakunya sikap memihak atau berat sebelah dalam kajiannya atau untuk memperoleh kepentingan diri. Dari sinilah pula lahirnya masalah penilaian atau pengadilan moral iaitu apabila sejarawan didapati dengan sengaja atau tidak sengaja telah menilai atau menghukum sesuatu dengan memuji atau mengejinya. Penilaian ini dilakukan dengan menggunakan perkataan-perkataan seperti baik, mulia, kejam, jahat, ganas atau kuat.

Melalui kisah Singapura dilanggar todak, terlihat kezaliman golongan pemerintah dan golongan raja. Kekejaman raja terserlah apabila raja telah menjatuhkan hukuman bunuh kepada Tuan Jana Khatib. Hal ini terjadi kerana raja berasa cemburu dengan keistimewaan yang dimiliki oleh Tuan Jana Khatib. Tuan Jana Khatib telah menilik batang pinang sehingga terbelah dua di hadapan permaisuri raja. Kekejaman raja ini telah membuatkan Singapura mendapat bala besar iaitu huru hara dan kematian yang tinggi akibat diserang todak. Raja juga kejam terhadap seorang budak yang bijaksana dengan membunuh budak tersebut. Budak tersebut telah memberikan cadangan supaya tentera Singapura membina kubu daripada batang pisang bagi menapis serangan todak.

Melalui kisah Singapura dilanggar todak, terserlah juga sifat raja yang kurang cerdik dan tidak berpandangan jauh. Raja telah mencadangkan kepada rakyat supaya menjadikan betis mereka sebagai kubu bagi menangkis serangan todak. Cadangan ini akhirnya membawa kepada kecederaan rakyat yang tinggi dan kematian yang ramai. Kisah ini juga menyaksikan sikap diskriminasi yang menjadi amalan golongan pemerintah. Hal ini dilihat melalui sikap raja Singapura yang langsung tidak menghargai jasa budak cerdik yang menyelamatkan Singapura kerana budak tersebut berasal daripada kalangan rakyat biasa. Golongan pembesar berasa dengki dan terancam kerana apabila budak tersebut besar kelak, dia akan menjadi seorang yang cerdik dan mampu menggoyahkan kedudukan mereka. Lalu mereka telah menasihati raja supaya membunuh budak tersebut. Jelaslah sikap diskriminasi golongan pemerintah yang menyebabkan tidak mempunyai hak dan kuasa untuk menentang golongan pemerintah walaupun rakyat memiliki kebenaran.

Selain itu, sifat angkuh raja juga saya dapati daripada Sejara Melayu yang dihasilkan oleh Tun Sri Lanang ini. Sifat angkuh atau ego raja wujud apabila raja ingin menunjukkan kehebatan diri sendiri dengan melakukan sesuatu yang luar biasa dan berbeza dengan orang kebanyakan. Sifat angkuh raja ini dapat dilihat melalui kisah peminangan Puteri Gunung Ledang yang telah menyerlahkan sikap Sultan Mahmud Syah yang mengisterikan perempuan yang cantik, daripada golongan istimewa dan bukan seperti manusia biasa. Keegoan baginda juga terserlah apabila baginda sanggup melakukan apa sahaja untuk memperisterikan Puteri Gunung Ledang. Baginda sanggup memenuhi syarat barang hantaran yang dikenakan kepada baginda seperti hati nyamuk, air pinang muda dan lain-lain walaupun segala barang tersebut sukar untuk diperoleh. Baginda juga sanggup menyediakan jambatan emas dan perak dari istana Melaka ke Gunung Ledang. Untuk melaksanakan keinginan itu, baginda telah memeras harta benda rakyat dan mendera rakyat untuk menyediakan barang hantaran baginda yang sukar untuk diperoleh itu. Namun, Sultan Mahmud tidak sanggup untuk menggadaikan nyawa anaknya Raja Ahmad dalam usaha baginda untuk meminang Puteri Gunung Ledang kerana semangkuk darah Raja Ahmad merupakan amtara syarat hantaran pertunangan yang ditetapkan. Hal ini menampakkan sikap raja yang memilih kasih dan mementingkan diri sendiri. Baginda sanggup membiarkan rakyat menderita tetapi tidak sanggup mengorbankan puteranya untuk meminangi Puteri Gunung Ledang.

Tuntasnya, terdapat banyak sikap buruk raja yang ditonjolkan dalam Sejarah Melayu dan membawa kepada penderitaan yang dialami oleh rakyat. Pada zaman pemerintahan raja Melaka, sikap raja memberi kesan yang sangat tinggi kepada keadaan rakyat. Raja yang adil dan saksama akan membuatkan rakyat berasa aman dan makmur manakala sebaliknya akan berlaku sekiranya raja bersikap zalim dan angkuh. Namun, sejak Malaysia memperoleh kemerdekaan, konteks ini sudah tidak relevan kerana tiada lagi sifat pemerintahan raja berkuasa mutlak kerana Malaysia kini melaksanakan pemerintahan raja berpelembagaan. Kuasa raja terbatas dan tertakluk kepada perlembagaan. Jadi, kuasa raja terbatas menyebabkan sifat raja negeri tersebut tidak meninggalkan kesan yang tinggi kepada rakyat.



[i] Kamus Dewan. (2005). Edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

[ii] Qasim Ahmad. (1991). Karya Sejarah: Pendekatan dan Persoalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

[Nota PPISMP] Pengantar Sejarah : Objektiviti Sejarah - Sejarah Melayu

         Objektif merupakan perkataan asal objektiviti. Menurut Kamus Dewan (2005)[i], objektif member maksud sesuatu kenyataan ataufakta sebenar yang tidak dipengaruhi, dikuasai, dipimpin serta dipandukan pada perasaan ataupun prasangka. Menurut Abdul Rahman Haji Abdullah (1994)[ii], objektif sejarah sebagai sejarah sebagaimana terjadinya. Pandangan Abdul Rahman ini sama dengan pendapat Leopold von Ranke iaitu es eigentlich gewesen yang bermaksud seperti sebenarnya ia berlaku. Menurut Muhd Yusof Ibrahim (1997)[iii] pula, objektif sebagai salah satu daripada beberapa sifat atau hakikat sejarah itu sendiri malah merupakan persoalan yang tidak akan putus iaitu hakiki bagi sejarah dan pensejarahan. Oleh itu, objektiviti sejarah merupakan fakta yang tepat mengenai sesuatu peristiwa tanpa ada tokok tambah ataupun terkesan dengan kepentingan sejarawan.

            Sejarah Melayu sangat terkenal dengan nama peraturan segala raja-raja kerana karya ini telah menceritakan banyak cerita dan salasilah Raja-Raja Melaka malah nama asal Sejarah Melayu itu sendiri iaitu Sulalatus Salatin membawa maksud salasilah raja-raja. Penghasilan Sulalatus Salatin telah dilaksanakan oleh Tun Sri Lanang atas arahan daripada Sultan Abdullah Ma’ayah Syah dan disebabkan itu, Sejarah Melayu banyak tercatat tentang salasilah Raja-raja Melayu Melaka. Perkaitan keturunan raja Melayu Melaka dengan Iskandar Zulkharnain dianggap seperti mitos semata-mata untuk menaikkan nama raja. Iskandar Zulkharnain merupakan tokoh lagenda dan berkait dengan agama Islam. Tetapi raja seperti Raja Iskandar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Muzaffar Syah, Sultan Ahmad Syah dan Sultan Mahmud Syah memang benar sah kewujudan mereka dalam sejarah Melaka. Sultan Muzaffar Syah telah memerintah selama tiga belas tahun dan mangkat pada tahun 1459 serta membawa kepada pertabalan Raja Ibrahim, putera sulung Sultan Muzaffar Syah. Walaupun terdapat sangkalan mengenai kaitan Iskandar Zulkharnain dengan raja Melaka, namun jurai keturunan mereka seperti yang tercatat di dalam Sejarah Melayu merupakan fakta yang tepat walaupun bercampur dengan unsur mitos.

            Selain itu, terdapat juga objektiviti sejarah yang terdapat di dalam karya Sejarah Melayu iaitu nama-nama tempat yang terdapat di dalam karya tersebut. Nama tempat yang terdapat di dalam Sejarah Melayu bukannya rekaan Tun Sri Lanang tetapi nama tempat tersebut benar-benar wujud dan masih wujud sehingga sekarang. Sejarah Melayu menceritakan mengenai pembukaan tempat seperti Pasai, Singapura dan Melaka malah kesemua tempat ini memang benar benar wujud sehingga sekarang. Di dalam kisah pembukaan Pasai, asal nama samudera diperoleh daripada wujudnya semut besar di sana dan akhirnya tempat tersebut diberi nama Samudera. Berdasarkan kisah pembukaan dan penamaan Singapura juga terdapat kisah mengenai pertukaran nama Temasik kepada Singapura. Nama Singapura diambil sempena binatang singa yang gagah dan singa itu menjadi tarikan kepada Sang Nila Utama maka terus diberi nama tempat itu sebagai Kota Singa. Manakala Melaka pula mendapat nama daripada nama pohon tempat Raja Iskandar bersandar dan menyaksikan kejadian pelanduk yang menendang seekor anjing iaitu pohon Melaka. Akhirnya Melaka memperoleh namanya.

            Titah baginda “Baik tempat ini diperbuat negeri, anjing alah pada pelanduk; jikalau orangnya betapa lagi?” maka sembah segala Orang Besar-Besar, “benarlah seperti titah Duli Tuanku itu” Maka disuruh baginda tebas, diperbuat negeri. Maka titah baginda “apa nama kayu itu?” Maka sembah orang, ”kayu Melaka namanya, Tuanku” Maka titah Raja Iskandar Syah, “Jika demikian, Melakalah nama negeri ini?”

            Objektiviti sejarah di dalam karya Sejarah Melayu juga dapat dilihat melalui watak yang dinyatakan di dalam Sejarah Melayu merupakan tokoh yang bersejarah dan terkenal. Hal ini dapat dilihat melalui kisah kaitan Iskandar Zulkharnain dengan jurai keturunan raja-raja Melayu Melaka. Iskandar Zulkharnain merupakan tokoh bersejarah dan sangat terkenal sehingga kini terutama dalam kalangan masyarakat Islam kerana kejayaan serta kebijaksanaan beliau mengurung Yakjuj dan Makjuj. Iskandar Zulkharnain juga turut dipercayai merupakan peribadi yang sama dengan Alexendar The Great yang datang daripada Babylon yang telah menakluki seluruh Asia Tengah dan Timur Tengah sehingga ke Utara India.



[i] Kamus Dewan. (2005). Edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

[ii] Abdul Rahman Haji Abdullah. (1994). Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

[iii] Muhd Yusof Ibrahim. (1997). Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

[Nota PPISMP] Pengantar Sejarah : Penjelasan Sejarah dalam Sejarah Melayu

          Penjelasan membawa maksud penerangan, penjelasan, ulasan, taksiran, malah kajian tentang sesuatu peristiwa atau kejadian yang pernah berlaku. Pentafsir merupakan orang  yang membuat penjelasan tentang perkara yang tersurat. Segala bentuk penjelasan ialah peristiwa yang pernah berlaku pada sesuatu ketika dahulu dan sumber-sumber mengenai peristiwa tersebut boleh didapati. Bagi sejarawan moden, khususnya dari dunia Barat yang berpegang kepada nilai sekularisme, landasan asas bagi penjelasan sejarah ialah berasaskan kepada konsep sekular. Dalam erti kata lain, mereka menolak penjelasan yang bersandarkan kepada unsur ketuhanan dan keagamaan. Pada pandangan mereka, penjelasan tersebut lemah dari segi pensejarahannya. Hal ini disebabkan penjelasan yang dibuat banyak tidak disertakan dengan sumber yang nyata.

Walau bagaimanapun, penjelasan itu sendiri bererti menerangkan sesuatu peristiwa sejarah itu dengan berdasarkan sumber-sumber yang berkaitan dengannya. Seorang sejarawan itu perlu menerangkan peristiwa yang dikajinya seperti sebenamya berlaku. Akan tetapi ini adalah suatu yang mustahil dicapai. Oleh kerana itu tidaklah dihairankan  jika sesuatu peristiwa itu dijelaskan dengan cara yang pelbagai serta dari berbagai sudut pandangan atau analisis sejarah. Bukan bererti penjelasan boleh dilakukan dengan sesuka hati sahaja. la tetap terikat dengan sumber-sumber yang berkaitan dengan peristiwa yang akan ditafsirkannya itu. Ertinya sumber-sumber itulah yang menjadi landasan kepada penjelasan sejarahnya.

Penjelasan sejarah yang digunakan oleh penulis Sejarah Melayu mempunyai unsur anakronisme. Istilah anakronisme berasal daripada perkataan anachronus. Perkataan ini merupakan cantuman perkataan ana iaitu bertentangan dan chronus iaitu masa. Jadi, anachronus membawa maksud bertentangan dengan masa. Anakronisme merupakan satu konsep dan persoalan yang berkisahkan tentang masa yang bertentangan dengan masa yang sebenar.

            Antara konsep anakronisme yang digunakan oleh penulis ialah anakronisme dengan membanding antara sebuah karya sejarah dengan sumber atau fakta sejarah sezaman. Sebagai contoh kisah tentang perkahwinan antara Sultan Mansur Syah dari Melaka dengan Puteri Radin Galuh Candera Kirana dalam Sejarah Melayu. Apa yang menjadi sangkalan ialah perkahwinan ini berlaku pada zaman Mangkubumi iaitu Perdana Menteri Majapahit yang ketika itu dikatakan sebagai Patih Gajah Mada. Anakronisme dapat dilihat kerana Sulatan Mansur Syah memerintah Melaka pada tahun 1459-1477 Masihi padahal Patih Gajah Mada meninggal dunia pada tahun 1365 dan terdapat beza 100 tahundengan zaman Sultan Mansur Syah.

            Selain itu, Sejarah Melayu juga memaparkan sifat peribadi pengarang serta percampuran dengan kesusteraan lain. Penulisan Sejarah Melayu menampakkan sikap intelektual Tun Sri Lanang yang berminat dengan sejarah dan suasana politik di Melaka dan Tanah Melayu serta berminat dalam pembacaan pelbagai jenis hikayat termasuk penulisan daripada Hindu. Hal ini adalah kerana terdapat unsur sastera Hindu di dalam Sejarah Melayu. Sebagai contoh mengenai kisah pengembaraan Raja Suran ke negeri bawah laut dengan peti kacanya dan kisah di Bukit Si Guntang Mahameru serta perkaitan dengan lembu putih iaitu binatang suci Hindu.Selain pengaruh kesusteraan Hindu, terdapat juga pengaruh kesusteraan Jawa seperti kisah Damar Wulan. Semasa pengembaraan utusan Melaka ke Majapahit dan peristiwa peminangan Puteri Galuh Cendera Kirana merupakan antara contoh pengaruh kesusteraan Jawa.

            Selain itu, Tun Sri Lanang juga bijak dan mahir dalam menghasilkan penulisan kesusteraan Parsi dan Arab. Gaya penulisan yang digunakan mempunyai gaya masnawi. Tun Sri Lanang turut menyelitkan petikan syair Arab termasuklah ayat al-Quran, perkataan Arab di dalam Sejarah Melayu. Tun Sri Lanang mempunyai bakat dalam melukis bayangan tentang gambaran atau kisah masyarakat Melayu yang makmur dan indah di minda pembaca. Tun Sri Lanang bijak dalam menyentuh hati pembaca dengan menyingkap perasaan sedih, lucu, menyayat hati dan meriah. Sebagai contoh gambaran peperangan yang dasyat dan huru-hara.


            Maka dikeluari oleh orang Singapura terlalu sabur berperang; tetak menetak, parang-memarang, tikam-menikam serta dengan tempik soraknya, gegak-gempitanya, tiada sangka bunyi lagi. Maka darah di tengah peperangan itu seperti air sebak, merah rupanya pasir itu, dating sekarang ada lagi. Maka patahlah perang orang Singapura, lalu sekaliannya undur masuk ke dalam kota; pintu kota pun ditutup, dan dilawan berperang dari dalam kota kira-kira sebulan lamanya.

Sejarah Tahun 4 : Kaedah Pencarian Maklumat Sejarah

Sumber Sejarah Mata Pelajaran Sejarah Tahun 4 Sekolah Rendah Tajuk 1 : Mari Belajar Sejarah https://www.youtube.com/watch?v=M...