[Nota PPISMP] Sejarah Malaysia Moden : Pengenalan

         Selepas era perang Dunia Kedua telah membuka corak baru dalam bentuk perjuangan masyarakat di Tanah Melayu dalam menuntut kemerdekaan. Perang Dunia selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu telah banyak membuka mata masyarakat di Tanah Melayu untuk mencapai kemerdekaan. Kejayaan Jepun dalam melumpuhkan dan menewaskan penjajahan Barat dalam Perang Dunia Kedua membuktikan bahawa hanya semangat dan kesatuan bangsa mampu melahirkan kekuatan bagi menamatkan penjajahan dan merdeka. Pendudukan Jepun di Tanah Melayu juga telah memberi ruang kepada orang Melayu dalam pentadbiran awam seperti Ibrahim Haji Yaakob dilantik sebagai Leftenan Kolonel Pembela Tanah Air (PETA) dan Dr. Burhanuddin al-Helmy dilantik sebagai Penasihat Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu. Hal ini telah melahirkan golongan intelektual yang mempunyai pemikiran untuk bebas daripada penjajahan dan mentadbir kerajaan di tanah air sendiri.

            Malayan Union yang telah diisytiharkan oleh British pada 1 April 1946 telah merancakkan lagi semangat kebangsaan di Tanah Melayu pada waktu itu terutamanya semangat kebangsaan Melayu. Malayan Union akan menghapuskan kedaulatan Raja-raja Melayu dan mencabuli hak kebumiputeraan Melayu serta perlaksanaan hak kerakyatan jus soli di Tanah Melayu. Hal ini telah menimbulkan kebangkitan semangat kebangsaan Melayu kerana ingin mempertahankan hak ketuanan Melayu sebagai pribumi di Tanah Melayu. Terdapat pelbagai bentuk perjuagan kebangsaan yang telah wujud dan pelbagai saluran telah diwujudkan bagi menyampaikan ketidakpuasan hati serta penentangan kepada bentuk penjajahan baru ini. Perjuangan kesedaran kebangsaan telah disalurkan melalui penubuhan parti-parti politik dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu,  penulisan melalui akhbar dan majalah serta bantahan melalui kongres atau demontrasi.


            Namun, kesemua perjuangan, kesedaran dan gerakan kebangsaan ini sudah tentu dan pasti tidak akan berjaya tanpa adanya gologan pemikir atau tokoh yang berwibawa dalam mengembangkan pemikiran ataupun ideologi perjuangan ini. Peranan tokoh-tokoh ini amat penting kerana pemikiran mereka dalam menuntut kemerdekaan dan laungan kebangsaan banyak mempengaruhi masyarakat di Tanah Melayu supaya bersatu di bawah satu pemikiran yang sama iaitu untuk mencapai kemerdekaan dan bebas daripada penjajahan yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan dan penubuhan Malaysia. Antara tokoh yang terlibat di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara ialah Za’ba, Dato’ Onn Jaafar dan Ahmad Boestamam.

No comments:

Post a Comment

Sejarah Tahun 4 : Kaedah Pencarian Maklumat Sejarah

Sumber Sejarah Mata Pelajaran Sejarah Tahun 4 Sekolah Rendah Tajuk 1 : Mari Belajar Sejarah https://www.youtube.com/watch?v=M...