Objektif
merupakan perkataan asal objektiviti. Menurut Kamus Dewan (2005)[i],
objektif member maksud sesuatu kenyataan ataufakta sebenar yang tidak
dipengaruhi, dikuasai, dipimpin serta dipandukan pada perasaan ataupun
prasangka. Menurut Abdul Rahman Haji Abdullah (1994)[ii],
objektif sejarah sebagai sejarah sebagaimana terjadinya. Pandangan Abdul Rahman
ini sama dengan pendapat Leopold von Ranke iaitu es eigentlich gewesen yang
bermaksud seperti sebenarnya ia berlaku. Menurut Muhd Yusof Ibrahim (1997)[iii]
pula, objektif sebagai salah satu daripada beberapa sifat atau hakikat sejarah
itu sendiri malah merupakan persoalan yang tidak akan putus iaitu hakiki bagi
sejarah dan pensejarahan. Oleh itu, objektiviti sejarah merupakan fakta yang
tepat mengenai sesuatu peristiwa tanpa ada tokok tambah ataupun terkesan dengan
kepentingan sejarawan.
Sejarah Melayu sangat terkenal dengan
nama peraturan segala raja-raja kerana karya ini telah menceritakan banyak
cerita dan salasilah Raja-Raja Melaka malah nama asal Sejarah Melayu itu
sendiri iaitu Sulalatus Salatin membawa maksud salasilah raja-raja. Penghasilan
Sulalatus Salatin telah dilaksanakan oleh Tun Sri Lanang atas arahan daripada Sultan
Abdullah Ma’ayah Syah dan disebabkan itu, Sejarah Melayu banyak tercatat
tentang salasilah Raja-raja Melayu Melaka. Perkaitan keturunan raja Melayu
Melaka dengan Iskandar Zulkharnain dianggap seperti mitos semata-mata untuk
menaikkan nama raja. Iskandar Zulkharnain merupakan tokoh lagenda dan berkait
dengan agama Islam. Tetapi raja seperti Raja Iskandar Syah, Sultan Mansur Syah,
Sultan Muzaffar Syah, Sultan Ahmad Syah dan Sultan Mahmud Syah memang benar sah
kewujudan mereka dalam sejarah Melaka. Sultan Muzaffar Syah telah memerintah
selama tiga belas tahun dan mangkat pada tahun 1459 serta membawa kepada
pertabalan Raja Ibrahim, putera sulung Sultan Muzaffar Syah. Walaupun terdapat
sangkalan mengenai kaitan Iskandar Zulkharnain dengan raja Melaka, namun jurai
keturunan mereka seperti yang tercatat di dalam Sejarah Melayu merupakan fakta
yang tepat walaupun bercampur dengan unsur mitos.
Selain itu, terdapat juga
objektiviti sejarah yang terdapat di dalam karya Sejarah Melayu iaitu nama-nama
tempat yang terdapat di dalam karya tersebut. Nama tempat yang terdapat di
dalam Sejarah Melayu bukannya rekaan Tun Sri Lanang tetapi nama tempat tersebut
benar-benar wujud dan masih wujud sehingga sekarang. Sejarah Melayu
menceritakan mengenai pembukaan tempat seperti Pasai, Singapura dan Melaka
malah kesemua tempat ini memang benar benar wujud sehingga sekarang. Di dalam
kisah pembukaan Pasai, asal nama samudera diperoleh daripada wujudnya semut
besar di sana dan akhirnya tempat tersebut diberi nama Samudera. Berdasarkan
kisah pembukaan dan penamaan Singapura juga terdapat kisah mengenai pertukaran
nama Temasik kepada Singapura. Nama Singapura diambil sempena binatang singa
yang gagah dan singa itu menjadi tarikan kepada Sang Nila Utama maka terus
diberi nama tempat itu sebagai Kota Singa. Manakala Melaka pula mendapat nama
daripada nama pohon tempat Raja Iskandar bersandar dan menyaksikan kejadian
pelanduk yang menendang seekor anjing iaitu pohon Melaka. Akhirnya Melaka
memperoleh namanya.
Titah baginda “Baik tempat ini diperbuat
negeri, anjing alah pada pelanduk; jikalau orangnya betapa lagi?” maka sembah
segala Orang Besar-Besar, “benarlah seperti titah Duli Tuanku itu” Maka disuruh
baginda tebas, diperbuat negeri. Maka titah baginda “apa nama kayu itu?” Maka
sembah orang, ”kayu Melaka namanya, Tuanku” Maka titah Raja Iskandar Syah,
“Jika demikian, Melakalah nama negeri ini?”
Objektiviti sejarah
di dalam karya Sejarah Melayu juga dapat dilihat melalui watak yang dinyatakan
di dalam Sejarah Melayu merupakan tokoh yang bersejarah dan terkenal. Hal ini
dapat dilihat melalui kisah kaitan Iskandar Zulkharnain dengan jurai keturunan
raja-raja Melayu Melaka. Iskandar Zulkharnain merupakan tokoh bersejarah dan
sangat terkenal sehingga kini terutama dalam kalangan masyarakat Islam kerana
kejayaan serta kebijaksanaan beliau mengurung Yakjuj dan Makjuj. Iskandar
Zulkharnain juga turut dipercayai merupakan peribadi yang sama dengan Alexendar
The Great yang datang daripada Babylon yang telah menakluki seluruh Asia Tengah
dan Timur Tengah sehingga ke Utara India.
[i] Kamus Dewan. (2005). Edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
[ii] Abdul Rahman Haji Abdullah. (1994). Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
[iii] Muhd Yusof Ibrahim. (1997). Ilmu
Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
No comments:
Post a Comment