Apa yang
saya dapati daripada Sejarah Melayu ini ialah terdapat unsur mitos, fantasi,
khayalan dan lagenda. Menurut M.Rajantheran (1999)[i],
Sejarah Melayu kaya dengan bahan sejarah tetapi tidak boleh dianggap karya
sejarah kerana tidak bersifat karya sejarah dan merupakan sebuah buku anekdot
masa silam. Beliau tidak menafikan wujudnya unsur sejarah dalam karya ini
tetapi karya ini penuh dengan unsur fiksyen dan khayalan seterusnya menjadikan
karya ini tidak diiktiraf sebagai karya sejarah. Cerita mitos ini dapat dilihat
melalui tiga kisah iaitu kisah asal-usul raja, pembukaan negeri dan kisah
kedatangan agama Islam. Sebagai contoh, pengislaman Raja Kecil Besar yang
dikatakan Nabi Muhammad s.a.w mengislamkannya di dalam mimpi. Namun, menurut
catatan Tome Pires, Barbossa dan Valentijin didapati kedatangan Islam bukan
daripada rajanya mengalami mimpi tetapi melalui perkahwinan Raja Melaka dengan
Puteri Pasai yang beragama Islam (Mustafa Mohd Isa, 1999)[ii].
Menurut Abd. Rahman Kaeh (1974)[iii],
Sejarah Melayu mempunyai unsur mitos, khayalan dan lagenda sekadar untuk
membina karisma kesultanan melayu Melaka dan diakui oleh Yusof Iskandar. Unsur
mitos ini diadakan oleh Tun Sri Lanang untuk membina karisma, kebesaran,
keistimewaan, keunggulan nenek moyang raja-raja Melaka. Unsur ini juga membantu
dalam meningkatkan institusi raja-raja diperkuatkan dengan konsep daulat dan
derhaka. Namun unsur dongeng ini sangat terpesong daripada penulisan sejarah
yang dianjurkan oleh Collingwood iaitu kerasionalan dan kemanusiaan[iv].
Ciri-ciri mitos dan lagenda juga
dapat dilihat melalui kisah Raja Suran yang turun kelaut dengan menggunakan
peti kaca berkunci untuk melihat segala jenis kekayaan di dalam laut sehingga
peti kaca tersebut telah jatuh ke Negeri Dika yang dihuni oleh Kaum Bu Sum dan
Raja Suran telah hidup disana bersama isteri dan anaknya.
…Maka dititahkan baginda berbuat sebuah
peti kaca berkunci dan pesawat dari dalam maka Raja dihulurkan oranglah
kedalaman laut maka peti itu pun tenggelam maka Raja Suran pun terus
melihatdari dalam peti itu pelbagai kekayaan Allah. Maka Peti Raja Suran itu
jatuh ke dalam bumi yang bernama Dika.
Selain
itu, Terdapat juga contoh-contoh lain yang turut menggunakan unsur mitos dan
lagenda dalam konteks untuk menunjukkan kegagahan peribadi seseorang seperti
kisah Hang Tuah atau cerita padi Wan Empuk dan Wan Malini yang berbuah emas
apabila Raja Suran turun ke Bukit Siguntang Mahameru (A. Samad Ahmad, 1996)[v].
Selain itu, penulisan Sejarah Melayu
juga terdapat unsur untuk mengambil hati sultan dan pemerintah. Unsur ini
banyak terdapat di dalam karya-karya pensejarahan tradisional kerana para
penulis merasakan sekiranya mereka bersikap kritis maka segala kisah yang
tertulis tidak akan disukai dan disenangi oleh raja atau pembesar yang menjadi
pelindung dan penentu kepada nasib para penulis[vi].
Oleh itu, penulisan Sejarah Melayu bermotifkan untuk mengambil hati raja-raja
kerana karyanya merupakan karangan tulisan golongan istana. Kemungkinan besar
perkara yang tidak disukai dan menguntungkan golongan istana akan dihindarkan
daripada wujud di dalam Sejarah Melayu tambah pula penulisannya merupakan hasil
keluaran istana. Namun begitu, pengarang tetap cemerlang dalam menghuraikan
jurai keturunan raja Melaka dengan lebih terperinci. Pengarang menggunakan
kronologi masa untuk menampakkan turutan pemerintahan raja-raja Melayu Melaka
seperti kronologi urutan zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah sehingga
kejatuhan Melaka ke tangan Portugis semasa zaman pemerintahan Sultan Mahmud
Syah[vii].
Sejarah Melayu juga tertulis terdapatnya hubungan diplomatik antara China
dengan Melaka. Sumber lain turut menyatakan wujudnya hubungan ini seperti
sumber daripada China iaitu Yung Lo Shih-lu (1425-1430), Hsuan-teShih-Tu (1438)
Tai Zhong Shi Lu dan Liang Liji[viii].
Sebagai contoh Sejarah Dinasti Ming yang menyebut, “…dalam bulan kesepuluh
1403, Maharaja telah menghantar Yin Ching sebagai utusan China ke Negeri
Melaka.”[ix]
Hal ini menampakkan keluasan kuasa kerajaan Melaka pada zaman tersebut serta
menaikkan nama raja-raja Melaka.
Penulisan Sejarah Melayu yang
berpusatkan kepada golongan istana dan pemerintah. Dalam Sejarah Melayu telah
mengisahkan tentang keagungan Raja Iskandar Shah yang merupakan susur galur dan
keturunan kepada Iskandar Zulkharnain yang telah membentuk Melaka dan
memerintah Melaka sehingga menjadi sebuah negeri yang makmur dan kaya dengan
segala kekayaan.
Maka kota negeri Melaka sudahlah diperbuat orang
Sekalian, diamlah baginda di Melaka. Adapun baginda di
Singapura tiga
Puluh dua tahun, Singapura pun alah oleh Jawa, Baginda
bersemayam
Di Melaka tiga tahun maka datanglah peredaran dunia,
baginda pun mangkat
Anakanda baginda Raja Muda kerajaan menggantikan
ayahanda.
baginda.terlalu adil perintah baginda itu.
Apa yang menarik terdapat di dalam
Sejarah Melayu ini ialah Tun Sri Lanang telah memperlihatkan ciri sosial dan
budaya masyarakat Melayu dalam karyanya itu. Sejarah Melayu telah merakamkan
banyak nilai budaya dan adat istiadat masyarakat melayu yang meliputi
pemerintahan dan rakyat biasa. Sejarah Melayu menyelitkan adat di istana, adat
menyembah raja, adat pertabalan, adat perkahwinan serta adat kematian. Sejarah
Melayu telah menampakkan corak susunan sosial iaitu raja yang menjadi lambang
kekuasaan berada di peringkat teratas dan golongan akhir ialah rakyat yang
member taat setia kepada pemerintah tanpa belah bahagi. Abdul Rahman Kaeh
(1974) pula telah menyusun peringkat sosial masyarakat melayu kepada empat
bahagian iaitu di atas sekali ialah raja, diikuti bangsawan, rakyat biasa dan
golongan hamba[x]. Peringkat sosial juga
dapat dinaiktaraf apabila memiliki kebolehan seperti kisah Hang Tuah dan Badang
yang telah menaiktaraf peringkat sosial mereka ketaraf bangsawan kerana
kepahlawanan mereka[xi].
Sejarah Melayu tidak mempunyai
sumber rujukan yang kukuh. Hal ini menyukarkan Sejarah Melayu untuk diterima
sebagai dokumen sejarah. Sumber merupakan sesuatu yang amat penting dalam
pensejarahan moden. Sumber merupakan sebuah karya yang menyediakan maklumat
atau bukti yang kukuh dan tulen tentang sesuatu peristiwa atau kenyataan (Suntralingam, 1985) [xii].Sumber
merupakan saksi dan bukti kepada kenyataan yang dibuat dan tanpa sumber,
sesuatu fakta akan ditolak atau diragui kesahihannya. Sumber diperlukan bagi
mengelakkan berlakunya penyelewengan fakta sama ada fakta tersebut
ditokoktambah atau dikurangkan bagi memperoleh sesuatu kepentingan. Kelemahan
ini jelas dilakukan di dalam Sejarah Melayu kerana tidak diterangkan sama
sekali berkenaan sumber yang diperoleh untuk penghasilan karya ini. Kaedah
penyelidikan tidak jelas dilakukan oleh Tun Sri Lanang serta tidak
menyenaraikan nama saksi secara terperinci. Kekurangan sumber dalam karya
membuatkan Sejarah Melayu sukar diterima sebagai satu dokumen sejarah yang
tulen.
[i]
M.Rajantheran. (1999). Sejarah Melayu: Kesan
Hubungan Kebudayaan Melayu dan India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
[ii]
Mustafa Mohd Isa. (1999). Kajian Teks Melayu
Klasik Terpilih. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
[iii]
Abd. Rahman Kaeh. (1974). Sejarah Melayu:
Satu Perbicaraan Kritis dari Pelbagai Bidang. Kuala Lumpur: Heinemann
Educational Book.
[iv] Ibid.
[v] A. Samad Ahmad. (1996). Sulalatus
Salatin-Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[vi] Arba’iyah Mohd Noor. (2002). Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[vii]
Mohd Supian Sabtu. (2005). Pengukuhan Melaka
oleh Parameswara: Kesan Perkembangan dan Kronologi Numistik. Selangor:
Unique Communication.
[viii]
Mohd Yusof Hashim. (2005). Parameswara dan
Pembukaan Kerajaan Awal Melaka. Selangor: Unique Communication.
[ix]
Awang Mohd. (2005). Pemaisura: Parameswara
Pengasas Empayar Melaka. Selangor: Unique Communication.
[x] Abd. Rahman Kaeh. (1974). Sejarah Melayu: Satu Perbicaraan Kritis dari
Pelbagai Bidang. Kuala Lumpur: Heinemann Educational Book.
[xi] Ibid.
[xii]
Suntralingam. (1985). Pengenalan Kepada
Sejarah. Kuala Lumpur : Fajar Bakti.
No comments:
Post a Comment