[Nota PPISMP] Sejarah Sosioekonomi Malaysia Sehingga 1970 : Dasar Ekonomi Baru (DEB)

              Setelah Malaysia dilanda tragedi rusuhan kaum yang dasyat iaitu Peristiwa 13 Mei, Perdana Menteri Malaysia kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970.[1] Hal ini berlaku kerana wujudnya jurang sosioekonomi antara kaum hasil daripada kesan dasar yang digunakan British dan masalah ini tidak diatasi pemempin sejak awal lagi. Oleh itu, DEB telah dilaksanakan dalam usaha kerajaan untuk mengagihkan kekayaan negara kepada semua rakyat terutamanya bumi putera.[2] DEB merupakan Rangka Rancangan Jangka Masa Panjang iaitu antara tahun 1970-1990 yang meliputi Rancangan Malaysia (RMK) Kedua sehingga RMK Kelima. Dalam pelaksanaan DEB, konsep serampang dua mata sangat popular digunakan kerana terdapat dua matlamat yang telah digariskan dalam dasar ini iaitu untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat di negara kita. Kedua-dua matlamat ini mempunyai satu arah tuju iaitu mengintegrasikan masyarakat majmuk di Malaysia.

            DEB telah menggunakan strategi pembasmian kemiskinan yang bertujuan untuk memupuk perpaduan tanpa mengira kaum. Dasar ini tercetus kerana berlakunya ketegangan bahawa kemiskinan berpunca daripada ketegangan antara golongan yang berharta dengan tidak berharta dan orang Melayu merupakan golongan yang lebih banyak menghadapi masalah kemiskinan berbanding dengan kaum yang lain. Hal ini berlaku kerana orang Melayu ketinggalan dan kurang bersaing dengan kemampuan kaum lain walaupun Malaysia berada pada tahap ekonomi yang baik.[3]

            Oleh itu, strategi DEB telah dijalankan dengan memodenkan keadaan kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah sama ada di bandar atau pun di luar bandar. Hal ini termasuklah menyediakan kemudahan asas dan buku serta biasiswa.[4] Sebelum pelaksanaan DEB, hanya penduduk bandar sahaja yang memperoleh kemudahan asas seperti pendidikan dan perubatan sementara penduduk luar bandar diabaikan. Pelaksanaan ini mampu membawa kepada pengurangan kadar kemiskinan di Malaysia. Kadar kemiskinan yang rendah mampu menyumbang kepada perpaduan. Apabila rakyat dapat hidup dengan harmoni, dan tiadanya masalah kemiskinan, hal yang dapat diungkit dengan menggunakan perkauman dapat dielakkan daripada berlaku.

            Kerajaan juga telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada semua tanpa mengira kaum serta tidak terikat dengan dasar pecah dan perintah. Hal ini memberikan peluang yang luas kepada kaum Melayu untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan tidak terikat hanya dalam kegiatan pertanian sara diri sahaja. Kaum Cina dan India juga berpeluang untuk menceburi bidang perkhidmatan dan perindustrian melalui DEB ini.[5]

            Peluang pekerjaan yang tinggi juga dapat memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pada zaman British, pusat dan kawasan bandar dipelopori oleh kaum Cina dan untuk menarik minat kaum lain untuk berpindah kebandar, peluang pekerjaan yang tinngi telah ditawarkan. Hal ini akan membawa kepada jumlah migrasi yang tinggi oleh penduduk luar bandar untuk menetap di bandar. Apabila wujudnya kepelbagaian kaum dalam sebuah bandar, mereka dapat berinteraksi antara satu sama lain. Mereka akan menjalankan kegiatan serta urus niaga sesama mereka tanpa mengira bangsa dan agama. Maka, perpaduan akan terus terpupuk dalam diri mereka kerana mereka telah memahami kehendak kaum lain serta menghormati budaya kaum lain. Oleh itu, peluang pekerjaan yang tinggi amat menyumbang kepada pemupukan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

            Salah satu strategi menyusun semula masyarakat ialah dengan membangunkan kawasan yang mundur tetapi mempunyai potensi untuk maju yang tinggi seperti pembangunan wilayah. Objektif rancangan dan pembangunan wilayah di bawah DEB dapat mengurangkan ketidaksamaan tingkat sosial dalam kehidupan. Kerajaan telah menggandakan kadar pertumbuhan yang berhubung dengan kawasan yang kurang membangun, mengekploitasi sepenuhnya sumber manusia dan fizikal di kawasan yang kurang membangun dan menyama ratakan perkhidmatan dan kemudahan asas.[6]

            Apabila sesebuah kawasan tersebut dimajukan, peluang pekerjaan akan bertambah dan kawasan tersebut akan menjadi tumpuan. Akhirnya akan membawa kepada migrasi yang besar orang yang datang dari kawasan yang memiliki kemudahan yang amat berkurangan. Akhirnya, pelbagai jenis kaum dapat tinggal setempat dan dalam masa yang sama boleh mengenal budaya kaum lain. Hal ini membawa kepada lahirnya sikap perpaduan yang mahu dipupuk oleh kerajaan.

            DEB juga telah memberikan peluang kepada pembangunan bandar di mana kerajaan telah mencorakkan perbandaran baru dan pembinaan industri baru supaya kepentingan kaum Melayu diutamankan. Kerajaan juga telah menitikberatkan latihan kemahiran kepada kaum Melayu agar mereka berkebolehan dalam mengurus, mentadbir serta memiliki perusahaan sendiri. Perkara ini telah menggalakkan orang Melayu untuk berhijrah dari luar bandar ke kawasan bandar dan kadar orang muda lingkungan umur 20 hingga 30 tahun yang miskin adalah tinggi semasa proses penghijrahan tersebut.[7]

            Usaha ini amat berkesan kerana orang Melayu pada zaman tersebut memiliki kemahiran yang rendah menyebabkan mereka enggan berpindah kekawasan bandar kerana mereka takut dengan cabaran yang akan dihadapi. Akhirnya masyarakat majmuk tidak dapat diwujudkan di kawasan bandar. Oleh itu, pemuda luar bandar terutamanya akan diberikan latihan kemahiran dan akhirnya mereka berkemampuan untuk hidup di kawasan bandar sekali gus bergaul dengan kaum lain di sana. Dengan ini, maka lahirlah perpaduan kerana terjadinya proses interaksi antara kaum yang menyebabkan kata kesepakatan mudah tercapai.

            Secara tuntasnya, jelaslah bahawa DEB sangat berperanan dalam memupuk pada perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Walaupun DEB tidak mencapai matlamat yang telah ditetapkan sepenuhnya, namun pelbagai masalah mampu dihadapi melalui DEB sehinggalah zaman tahun 1980 iaitu zaman dunia mengalami kemelesetan ekonomi yang dilihat sebagai faktor pengekang pelaksanaan DEB.[8] Namun, peranan paling besar DEB ialah dalam memastikan perpaduan kaum terus dicapai melalui ekonomi. Dalam menjalankan kegiatan ekonomi, perpaduan antara kaum dapat dicapai.



[1] Mohd Shahari Ahmad Jabar et.al. (1983). Negara Kita: Sejarah Pentadbiran dan Dasar Pembangunan. Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara.
[2] Ibid.
[3] Wikipedia. (2014, Julai 20). Dasar Ekonomi Baru. Retrieved Ogos 27, 2014, from Wikipedia: http://ms.wikipedia.org/wiki/Dasar_Ekonomi_Baru
[4] Nazaruddin Mohd Jali et.al. (2004). Pengajian Malaysia: Kenagaraan dan Kewarganegaraan Edisi Kedua. Selangor: Prentice Hal
[5] Ibid.
[6] Ahmad Idris. (1988). Dasar Ekonomi Baru. Selangor: IBS Buku Sdn. Bhd.

[7] Sanusi Othman. (1987). Pembangunan Di Malaysia: Perencanaan, Pelaksanaan dan Prestasi. Kuala Lumpur: Persatuan Sains Sosial Malaysia.
[8] Zulkifli Osman, & Nik Hashim Mustapha. (1989). Dasar Ekonomi Malaysia. Bangi: UKM.

No comments:

Post a Comment

Sejarah Tahun 4 : Kaedah Pencarian Maklumat Sejarah

Sumber Sejarah Mata Pelajaran Sejarah Tahun 4 Sekolah Rendah Tajuk 1 : Mari Belajar Sejarah https://www.youtube.com/watch?v=M...