Pengenalan
Perpaduan dari segi istilahnya bermaksud pergabungan,
peleburan, penggabungan, persesuaian atau persepakatan.[1]
Perpaduan dari segi bahasa pula membawa maksud satu proses yang menyatupadukan
anggota masyarakat dan negara keseluruhannya melalui ideologi negara supaya setiap
anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu
perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka.
Semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu
Melaka, Tanah Melayu pada masa itu mendapat perhatian dan merupakan antara
pusat untuk menjalankan kegiatan sosial dan ekonomi yang terbesar. Semasa era
penjajahan British, kemasukan buruh daripada India dan China telah berlaku
dengan pesat sekali. Sehingga tahun 1931, jumlah orang-orang bukan Melayu telah
melebihi bilangan orang-orang Melayu di negeri mereka sendiri.[2]
Hal ini menjadikan Tanah Melayu pada masa itu memiliki kepelbagaian kaum iaitu
Melayu, Cina dan India. Dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan British
telah menempatkan kaum India di estet-estet, kaum Cina di kawasan bandar dan
kaum Melayu di kawasan perkampungan.
Semasa
penjajahan British, pihak Inggeris telah mewujudkan sekolah vernakular Melayu,
sekolah vernakular Cina, dan sekolah vernakular Tamil.[3]
Sekolah-sekolah ini menggunakan sistem pendidikan yang berbeza mengikut kaum
sebagai contoh sekolah vernakular India dan vernakular Cina menggunakan buku pendidikan
dan pendidik yang didatangkan daripada tempat masing-masing. Sekolah vernakular
Melayu dan Tamil pula hanya terhad untuk sekolah rendah sahaja, manakala
sekolah vernakular Cina mendapat keistimewaan melalui sekolah rendah, junior
middle dan senior middle serta lulusan untuk sekolah Melayu hanya setakat
memenuhi keperluan tenaga manusia yang paling rendah.[4]
Selepas
kemerdekaan, telah berlakunya banyak masalah perpaduan kaum yang dihadapi
negara seperti peristiwa 13 Mei 1969. Oleh itu, pelbagai inisiatif telah
diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia bagi memupuk serta menanamkan semangat
patriotik dan perpaduan dalam diri masyarakat di Malaysia. Dasar Pendidikan
Kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru merupakan antara inisiatif kerajaan Malaysia
yang digunakan sebagai elemen untuk memupuk perpaduan negara.
No comments:
Post a Comment