[Nota PPISMP] Pengantar Sejarah : Pengadilan Moral - Sejarah Melayu

          Menurut Kamus Dewan (2005)[i], perkataan pengadilan bersal daripada perkataan adil dan membawa maksud menyebelahi pihak yang benar tetapi bukan berdasarkan tindakan atau pun undang-undang ataupun keputusan ini bermakna tiada berlakunya penyebelahan pihak atau berat sebelah dalam membuat sesuatu keputusan. Moral pula member maksud ajaran atau pegangan tentang baik buruk tentang sesuatu perbuatan, sikap atau perbuatan serta dapat dikaitkan dalam menyokong pihak bukan kerana sifat kebendaan semata-mata. Menurut Qasim Ahmad (1991)[ii], pengadilan moral merupakan perlakuan menjatuhkan hukuman ataupun mengenakan penilaian tertentu kepada seseorang ataupun sesuatu peristiwa.

 Dalam penulisan sejarah tradisonal, terdapat banyak unsur bias atau memihak kepada sesetengah pihak atau mengangkat tinggi sesetengah pihak. Hal ini berlaku apabila sejarawan mula menolak objektiviti dan subjektiviti dalam sejarah menyebabkan berlakunya sikap memihak atau berat sebelah dalam kajiannya atau untuk memperoleh kepentingan diri. Dari sinilah pula lahirnya masalah penilaian atau pengadilan moral iaitu apabila sejarawan didapati dengan sengaja atau tidak sengaja telah menilai atau menghukum sesuatu dengan memuji atau mengejinya. Penilaian ini dilakukan dengan menggunakan perkataan-perkataan seperti baik, mulia, kejam, jahat, ganas atau kuat.

Melalui kisah Singapura dilanggar todak, terlihat kezaliman golongan pemerintah dan golongan raja. Kekejaman raja terserlah apabila raja telah menjatuhkan hukuman bunuh kepada Tuan Jana Khatib. Hal ini terjadi kerana raja berasa cemburu dengan keistimewaan yang dimiliki oleh Tuan Jana Khatib. Tuan Jana Khatib telah menilik batang pinang sehingga terbelah dua di hadapan permaisuri raja. Kekejaman raja ini telah membuatkan Singapura mendapat bala besar iaitu huru hara dan kematian yang tinggi akibat diserang todak. Raja juga kejam terhadap seorang budak yang bijaksana dengan membunuh budak tersebut. Budak tersebut telah memberikan cadangan supaya tentera Singapura membina kubu daripada batang pisang bagi menapis serangan todak.

Melalui kisah Singapura dilanggar todak, terserlah juga sifat raja yang kurang cerdik dan tidak berpandangan jauh. Raja telah mencadangkan kepada rakyat supaya menjadikan betis mereka sebagai kubu bagi menangkis serangan todak. Cadangan ini akhirnya membawa kepada kecederaan rakyat yang tinggi dan kematian yang ramai. Kisah ini juga menyaksikan sikap diskriminasi yang menjadi amalan golongan pemerintah. Hal ini dilihat melalui sikap raja Singapura yang langsung tidak menghargai jasa budak cerdik yang menyelamatkan Singapura kerana budak tersebut berasal daripada kalangan rakyat biasa. Golongan pembesar berasa dengki dan terancam kerana apabila budak tersebut besar kelak, dia akan menjadi seorang yang cerdik dan mampu menggoyahkan kedudukan mereka. Lalu mereka telah menasihati raja supaya membunuh budak tersebut. Jelaslah sikap diskriminasi golongan pemerintah yang menyebabkan tidak mempunyai hak dan kuasa untuk menentang golongan pemerintah walaupun rakyat memiliki kebenaran.

Selain itu, sifat angkuh raja juga saya dapati daripada Sejara Melayu yang dihasilkan oleh Tun Sri Lanang ini. Sifat angkuh atau ego raja wujud apabila raja ingin menunjukkan kehebatan diri sendiri dengan melakukan sesuatu yang luar biasa dan berbeza dengan orang kebanyakan. Sifat angkuh raja ini dapat dilihat melalui kisah peminangan Puteri Gunung Ledang yang telah menyerlahkan sikap Sultan Mahmud Syah yang mengisterikan perempuan yang cantik, daripada golongan istimewa dan bukan seperti manusia biasa. Keegoan baginda juga terserlah apabila baginda sanggup melakukan apa sahaja untuk memperisterikan Puteri Gunung Ledang. Baginda sanggup memenuhi syarat barang hantaran yang dikenakan kepada baginda seperti hati nyamuk, air pinang muda dan lain-lain walaupun segala barang tersebut sukar untuk diperoleh. Baginda juga sanggup menyediakan jambatan emas dan perak dari istana Melaka ke Gunung Ledang. Untuk melaksanakan keinginan itu, baginda telah memeras harta benda rakyat dan mendera rakyat untuk menyediakan barang hantaran baginda yang sukar untuk diperoleh itu. Namun, Sultan Mahmud tidak sanggup untuk menggadaikan nyawa anaknya Raja Ahmad dalam usaha baginda untuk meminang Puteri Gunung Ledang kerana semangkuk darah Raja Ahmad merupakan amtara syarat hantaran pertunangan yang ditetapkan. Hal ini menampakkan sikap raja yang memilih kasih dan mementingkan diri sendiri. Baginda sanggup membiarkan rakyat menderita tetapi tidak sanggup mengorbankan puteranya untuk meminangi Puteri Gunung Ledang.

Tuntasnya, terdapat banyak sikap buruk raja yang ditonjolkan dalam Sejarah Melayu dan membawa kepada penderitaan yang dialami oleh rakyat. Pada zaman pemerintahan raja Melaka, sikap raja memberi kesan yang sangat tinggi kepada keadaan rakyat. Raja yang adil dan saksama akan membuatkan rakyat berasa aman dan makmur manakala sebaliknya akan berlaku sekiranya raja bersikap zalim dan angkuh. Namun, sejak Malaysia memperoleh kemerdekaan, konteks ini sudah tidak relevan kerana tiada lagi sifat pemerintahan raja berkuasa mutlak kerana Malaysia kini melaksanakan pemerintahan raja berpelembagaan. Kuasa raja terbatas dan tertakluk kepada perlembagaan. Jadi, kuasa raja terbatas menyebabkan sifat raja negeri tersebut tidak meninggalkan kesan yang tinggi kepada rakyat.



[i] Kamus Dewan. (2005). Edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

[ii] Qasim Ahmad. (1991). Karya Sejarah: Pendekatan dan Persoalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment

Sejarah Tahun 4 : Kaedah Pencarian Maklumat Sejarah

Sumber Sejarah Mata Pelajaran Sejarah Tahun 4 Sekolah Rendah Tajuk 1 : Mari Belajar Sejarah https://www.youtube.com/watch?v=M...