Dato’ Onn Jaafar[1]
merupakan tokoh lain yang memainkan peranan yang besar dalam memperjuangkan
kemerdekaan negara dalam bidang politik. Beliau mampu menonjolkan diri beliau
sebagai tokoh politik dalam mewujudkan semangat kebangsaan ke arah kemerdekaan
dalam diri masyarakat Melayu dan menjadi penyatu kepada bangsa Melayu. Hal ini
adalah kerana Dato’ Onn mempunyai pengalaman hidup dalam zaman penjajahan yang
memberikan impak yang besar ke dalam diri beliau untuk membela nasib bangsa
beliau.
Kemuncak
zaman ketokohan beliau dalam membela nasib bangsa bagi mencapai kemerdekaan
ialah ketika British ingin melaksanakan Malayan Union di Tanah Melayu. Kehadiran
Malayan Union sebagai satu bentuk jajahan baru oleh British disedari oleh Dato’
Onn kerana keterlibatan beliau dalam bidang kewartawanan serta penghayatan dan
analisis beliau terhadap agenda British ini yang mengandungi strategi bersifat
jajahan. Hal ini kerana Malayan Union digunakan oleh British untuk mengambil
alih kuasa Sultan dan melenyapkan keistimewaan serta hak istimewa orang Melayu.
Pengenalan
Malayan Union ini telah menimbulkan kemarahan orang Melayu kerana hak mereka
sebagai pemilik tanah air dan kedudukan Raja-raja Melayu seperti telah
dipertikaikan. Kemarahan ini telah menimbulkan kebangkitan semangat kebangsaan
yang selama ini hanya dipendamkan. Semangat kebangsaan ini mula membakar di
dada-dada orang Melayu sejak pendudukan Jepun di Tanah Melayu lagi kerana dasar
dan kejayaan yang diraih oleh Jepun semasa Perang Dunia Kedua membuatkan mereka
berasa yakin untuk menuntut kemerdekaan negara. Kemarakan semangat di dalam
dada ditambah lagi dengan kejayaan Indonesia dalam membebaskan negara mereka
daripada penjajahan Belanda menjadi inspirasi ramai tokoh dan pejuang
kemerdekaan Tanah Melayu pada masa itu. Kehadiran Malayan Union bagaikan
menambah minyak tanah ke dalam api yang akhirnya membuatkan orang Melayu mahu
bangkit menentang Malayan Union.
Namun, pada waktu
itu tiada kesatuan dan kesepaduan bangsa bagi menentang Malayan Union. Parti
yang telah wujud pada waktu itu seperti PKMM tidak menentang sama sekali
Malayan Union menyebabkan orang Melayu tiada medan untuk menunjukkan
penentangan mereka. Dato’ Onn muncul sebagai penyatu bangsa Melayu untuk
menjayakan misi pembelaan hak bangsa Melayu pada masa itu. Beliau telah
menubuhkan Kongres Melayu Se Malaya untuk menyatukan orang Melayu dalam
menentang Malayan Union. Menurut Nazaruddin Mohd Jadi (1992), Dato’ Onn telah menubuhkan
UMNO dan menjadi presiden UMNO yang pertama setelah berlangsungnya Kongres
Melayu pertama di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 1 Mac 1946 kerana
sifat berani beliau mengkritik pemerintah British. Menurut Fadzil Abdullah,
Kassim Thukiman & Md Zin Idros (2007), Dato’ Onn percaya bahawa hanya
melalui UMNO, orang Melayu mampu berjuang dengan teratur untuk mendesak British
supaya membubarkan Malayan Union.
Perjuangan hebat
beliau dalam merancang dan menyusun strategi untuk menentang Malayan Union
melalui UMNO sangat hebat sehinggakan British terpaksa membubarkan Malayan
Union pada 1 Februari 1948. Hal ini kerana kejayaan Dato’ Onn dalam memujuk
Raja-raja Melayu memulaukan upacara pelantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor
pertama Malayan Union dan memulaukan Malayan Union serta berkabung selama 7
hari dengan memakai songkok yang berjalur putih atas persetujuan Kongres pada 1
Mac 1946. Beliau juga berjaya mengumpulkan lebih kurang 20 000 orang untuk
membuat bantahan terhadap penubuhan Malayan Union dan membakar semangat
orang-orang Melayu dalam ucapannya supaya terus bersatu dan berkabung untuk
menentang rancangan jahat British (Ramlah Adam, 1993):
“Ini
adalah Tanah Melayu, tanah orang-orang Melayu. Ini adalah hak kita, bukan
sahaja dari segi sejarah tetapi juga di sisi undang-undang. Ia tidak boleh
dilepaskan dengan cara yang dilakukan oleh Sir MacMichael.
Perjanjian-perjanjian yang dibuat oleh datuk nenek kita dahulu tidak boleh
disifatkan sebagai carik-carik kertas sahaja. Orang-orang Melayu tidak boleh
membiarkan perkaraseumpama ini berlakudengan begitu sahaja. Kita berazam untuk
memperolehi apa yang menjadi hak kita. Sehingga itu, biar apa juga yang
berlaku, kita akan berjuang terus.”
Dengan
ini kita dapat melihat betapa bersungguhnya perjuangan Dato’ Onn dalam
mengembalikan maruah bangsa, negara dan kuasa Raja-raja Melayu. Kejayaan beliau
dalam memperngaruhi masyarakat Melayu pada masa itu kerana beliau begitu dekat
serta memahami keadaan rakyat pada ketika itu. Hal ini kerana beliau memiliki
pendidikan Inggeris, Melayu dan agama membuatkan beliau mudah disenangi
ditambah lagi dengan sifat kepimpinan beliau berdasarkan pengalaman beliau
sebelum ini iaitu beliau pernah memegang jawatan Penolong Pegawai Pemungut
Hasil Tanah Muar dan menjadi Ahli mesyuarat Negeri Johor.
Perjuangan beliau bersambung dengan
mencadangkan agar membuka keahlian UMNO kepada kaum bukan Melayu dan cadangan
untuk menukarkan nama UMNO kepada Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu
Bersatu. Namun, cadangan beliau telah ditentang oleh ahli UMNO kerana dasar
perlembagaan UMNO ialah UMNO hanya untuk orang Melayu sahaja menyebabkan beliau
meletakkan jawatan sebagai presiden Umno secara sukarela semasa persidangan
Majlis Mesyuarat Agung Keenam pada 25 Ogos 1951 yang turut diikuti oleh
kebanyakkan anggota jawatankuasanya.
Namun,
pejuangan Dato’ Onn tidak putus begitu sahaja kerana beliau tetap dengan
pendirian beliau bagi melahirkan satu kesatuan yang melibatkan kesemua kaum
bagi mencapai kemerdekaan. Beliau telah menubuhkan Independence of Malaya Party (IMP) pada 16 September 1951 yang
telah dibuka keahliannya kepada semua kaum yang terdapat di Tanah Melayu dengan
tujuan untuk berjuangkan kemerdekaan tanpa mengira kaum dan keturunan. Pada
awalnya, IMP mendapat sambutan daripada orang Cina dan India kerana kurangnya
penglibatan orang Melayu dan penentangan IMP terhadap dasar ‘Malaya untuk
Malayan’. Namun, pemimpin kaum Cina dan India telah berpaling tadah terhadap
IMP kerana mereka sedar tanpa penyertaan dan pengaruh yang besar oleh orang
Melayu akan menyebabkan pergerakkan politik tersebut tidak akan berjaya. Di
samping itu, penubuhan Malay Chinese
Association (MCA)[2]
dan Malayan Indian Congress (MIC)[3]
telah mengurangkan lagi sambutan ke atas IMP kerana kewujudan kesatuan yang
berasaskan bangsa lebih mendapat sambutan daripada bangsa mereka masing-masing
kerana perjuangannya lebih fokus kepda keperluan bangsa tersebut. Pemimpin Cina
dan India menganggap bahawa dasar Dato’ Onn hanyalah menyatukan dan
memerdekakan Tanah Melayu daripada penjajah tidak termasuk untuk membela kaum lain
menyebabkan mereka bimbang akan jaminan nasib kaum mereka di masa hadapan
selepas merdeka.
Menurut
Milne R.S. (1992), sambutan yang berkurangan terhadap IMP telah memaksa Dato’
Onn untuk menubuhkan Parti Negara dengan cara perjuangan yang berlainan berbanding
IMP tetapi fokus utama tetap untuk memperoleh kemerdekaan tanah air. Parti
Negara ditubuhkan pada Februari 1954 bagi mendapatkan sokongan orang Melayu
dengan tujuan untuk menyatupadukan serta mempertahankan hak-hak kebangsaan
Melayu demi keselamatan dan keamanan yang lebih terjamin. Tujuan Parti Negara
ini bertujuan sekadar untuk bertanding dalam Pilihanraya Umum yang pertama di
Persekutuan Tanah Melayu pada 1955. Namun, sambutan terhadap parti ini kurang
mendapat sambutan kerana pada masa itu UMNO dilihat sebagai satu wahdah yang
lebih berkesan dan berkelayakkan dalam memimpin orang Melayu ke arah
kemerdekaan dan telah mendapat kepercayaan dalam mempertahankan hak orang
Melayu. Gabungan antara MIC dan MCA dengan UMNO sehingga membentuk parti Perikatan
menguatkan lagi pengaruh UMNO, MIC dan MCA.
Persoalannya
di sini, mengapakah cadangan Dato’ Onn untuk membuka keahlian UMNO kepada kaum
lain ditolak sedangkan semasa membentuk parti Perikatan antara UMNO, MIC dan
MCA diterima? Jika dilihat semula perjuangan UMNO pada asalnya ialah untuk
membantah perlaksanaan Malayan Union yang telah mencabuli hak orang Melayu dan
kuasa Raja-raja Melayu. Pembantahan ini melibatkan semangat bangsa Melayu dalam
mempertahankan hak mereka bukannya semangat kebangsaan yang melibatkan semua
kaum. Tambahan pula, kaum lain ramai yang menyokong perlaksanaan Malayan Union terutama
kerakyatan jus soli yang memudahkan mereka mendapat hak yang sama dengan bangsa
Melayu. Lain pula kisahnya semasa zaman dalam menuntut kemerdekaan yang menyebabkan
sesuainya pembentukkan Parti Perikatan kerana pada masa itu semua kaum
memfokuskan perjuangan mereka dalam menuntut kemerdekaan. Antara syarat yang
ditetapkan oleh British untuk memberikan kemerdekaan Tanah Melayu ialah
mewujudkan kesepaduan antara kaum. Bagi menyahut seruan kemerdekaan ini,
penyatuan kesemua kaum dilaksanakan supaya kemerdekaan mudah dituntut
menyebabkan UMNO dibawah pimpinan Tunku Abdul Rahman telah membentuk Parti
Perikatan dengan MIC dan MCA hasil daripada idea penggabungan yang diilhamkan
oleh Dato’ Onn. Konsep yang diilhamkan oleh Dato’ Onn ini telah dilaksanakan sehingga
ke hari ini terutama dalam mengekalkan keamanaan dan kemerdekaan negara seperti
Gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia Keenam,
Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Dato’
Onn juga seorang yang berjasa dalam memperjuangkan peningkatan ekonomi orang
Melayu dan sentiasa memikirkan nasib orang Melayu. Menurut Mohamad Idris Saleh
(1994), Dato’ Onn telah mencadangkan penubuhan Lembaga Kemajuan Industri Desa
(RIDA) yang sekarang ini dikenali sebagai MARA yang bertujuan untuk membangunkan
ekonomi dan pendidikan orang Melayu pada waktu itu. Dato’ Onn telah menyedari
akan kelemahan orang Melayu dalam bidang ekonomi sejak Perang Dunia Kedua lagi
semasa beliau dilantik menjadi Pengawal Makanan Negeri Johor dan ahli Majlis
Mesyuarat Negeri Johor menyebabkan beliau berjuang untuk menubuhkan RIDA. Dato’
Onn telah ke London bagi meminta bantuan daripada British dan akhirnya
diberikan 10 000 000 pound bagi meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu. Beliau
telah memberi bantuan dan membuka ruang kepada orang Melayu terutama masyarakat
luar bandar dalam bidang perusahaan, perniagaan dan pertanian di seluruh Tanah
Melayu. Faktor yang menyebabkan beliau terlalu memperjuangkan ekonomi rakyat
ialah kerana beliau berpendapat bahawa ekonomi yang lemah akan mempengaruhi
kedudukan politik sesebuah negara dan menggugat keamanan negara terutama sekali
dalam keadaan Tanah Melayu yang sedang menuju kemerdekaan.
Kesimpulannya,
Dato’ Onn Jaafar merupakan tokoh pejuang kemerdekaan dalam membela nasib bangsa
yang sanggup mengharungi liku kehidupan supaya bangsanya dapat memperoleh
keamanan dan hak mereka. Jasa beliau tetap kekal terpahat sebagai pejuang
kemerdekaan melalui bidang politik, kesatuan dan parti malah beliau juga turut
menyumbang kepada wujudnya satu dasar negara iaitu menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan (Anwar Abdullah, 2005).
[1] Dato’ Onn dilahirkan
di rumah bapanya yang terdapat di Bukit Gambir, Johor Bahru pada tahun 1895.
Bapanya, Dato’ Jaafar bin Haji Muhammad ialah Menteri Besar Johor yang pertama pada
ketika itu. Ibunya, Cik Rugayah Hanim adalah dari keturunan bangsawan Turki
yang terpelihara di Istana Harem. Ibunya adalah keluarga bangsawan Turki yang
dinikahkan atas perkenan dan restu Sultan Turki sebagai tanda persaudaraan
dengan Maharaja Abu Bakar ketika baginda melawat Turki pada tahun 1887 (Ramlah
Adam, 1993)
[2] Tujuan pertama MCA ditubuhkan pada 1949 adalah untuk membantu
usaha mendapatkan kerjasama orang Cina dalam rancangan British memerangi
pengganas komunis dan menamatkan Darurat dengan segera. Tujuan kedua adalah
untuk member kesempatan kepada orang Cina di Malaya supaya mudah bersatu
dan menguatkan kedudukan mereka sebagai satu kaum (Amaluddin Darus, 1978).
[3] Tujuan utama
penubuhannya pada 1946 adalah menyuarakan fikiran kaum India tempatan mengenai
kepentingan masyarakat India dalam semua lapangan hidup di Tanah Melayu
(Amaluddin Darus, 1978).
No comments:
Post a Comment