[Nota PPISMP SJH3103] Kurikulum Sejarah Sekolah Rendah



Sejarah merupakan elemen yang terdapat dalam bidang Sains Sosial atau dalam kefahaman Islam dipanggil Sunnah Ijtima’iyyah. Sejarah mempunyai kepentingan yang sangat tinggi untuk melahirkan dan membina seorang individu yang mempunyai ciri kepimpinan, berpengatahuan luas dan mempunyai fikiran yang kreatif, kritis dan inovatif. Sejarah merupakan salah satu daripada tentera Allah akan menguatkan hati. Kenyataan ini dikuatkan lagi dengan firman Allah di dalam Al-Quran, Surah Hud ayat ke-120 yang bermaksud:
            Dan tiap-tiap berita dari Rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.”

Oleh itu, sejarah amat penting dalam memberi peringatan dan pengajaran kepada manusia supaya mereka sentiasa beringat dan mengelak daripada sejarah buruk kembali berulang serta mengekalkan kegemilangan. Begitulah juga yang perlu diamalkan di Malaysia. Pembelajaran sejarah amat penting dalam usaha untuk mengekalkan keamanan, perpaduan dan kemerdekaan negara. Melihat kepentingan ini, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) telah dilaksanakan disemua sekolah rendah diseluruh negeri pada tahun 1983 dan telah dipecahkan kepada dua tahap iaitu Tahap Satu dan Tahap Dua.

Membaca, menulis dan mengira (3M) merupakan kemahiran asas yang diutamakan dalam pelaksanaan KBSR Tahap Satu. Unsur sejarah telah diterapkan dalam sistem pendidikan ini dalam memupuk dan memastikan asas 3M dapat dikuasai oleh semua pelajar. Dalam memupuk kemahiran membaca dan menulis, pelajar telah diberikan pelajaran mengenai bahasa dalam subjek Bahasa Melayu. Subjek Bahasa Melayu digunakan sebagai medium penerapan sejarah dalam pendidikan iaitu di dalam isi kandungan pendidikan Bahasa Melayu itu sendiri. Penerapan ini umpama peribahasa menyelam sambil minum air. Hal ini kerana pelajar dapat menguasai kemahiran asas yang ditetapkan KBSR disamping memperoleh pengetahuan dalam mengasah kemahiran asas tersebut. Murid boleh menguasai kemahiran asas dalam subjek Bahasa Melayu iaitu menulis dan membaca dalam masa yang sama memperoleh pengetahuan sejarah hasil daripada penulisan dan pembacaan mereka.

            Subjek sejarah masih tidak mampu untuk berdiri sendiri untuk dilaksanakan dalam KBSR Tahap Satu kerana pelajar masih bertumpu untuk menguasai kemahiran 3M terlebih dahulu. Oleh itu, unsur sejarah hanya diterapkan melalui subjek-subjek tertentu sebagai pendedahan awal kepada murid sekolah rendah tahap satu mengenai sejarah negara. Untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja mahir dalam 3M tetapi juga berpengetahuan, unsur sejarah telah diterapkan disamping dapat membentuk peribadi anak muda yang bersatu padu dan bersemangat patriotik. Hal ini membuatkan kenapa relevannya penggantian kurikulum lama dengan KBSR.

Tahap Dua KBSR pula berfokuskan kepada pengukuhan kemahiran asas, berkemahiran belajar serta kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Tahap Dua KBSR amatlah berbeza dengan Tahap Satu KBSR. Oleh itu, penekanan diberikan dari segi pengukuhan dan pengamalan kemahiran asas untuk dipraktikkan dalam memperoleh kemahiran dan ilmu lain. Terdapat tiga kompenen dalam kurikulum Tahap Dua iaitu Kemahiran Asas, Kesenian dan Rekreasi dan mata pelajaran sejarah telah diterapkan di dalam kompenen yang ketiga iaitu kemanusiaan dan persekitaran yang berada di bawah matapelajaran Alam dan Melayu. Matapelajaran Alam dan Melayu telah diajar mulai tahun empat sekolah rendah.
Kemahiran-kemahiran ini telah diterapkan bagi membina jati diri murid akan semangat kebangsaan. Nilai kepentingan hidup dengan bersatu padu dalam masyarakat yang berbilang kaum juga dapat diterapkan. Selain meningkat nilai kewarganegaraan dan semangat cinta akan negara, pendidikan sejarah di sekolah rendah juga digunakan untuk menyediakan pelajar dengan pengetahuan yang luas dan melahirkan pelajar yang penuh ilmu di dada. Dengan adanya pengetahuan yang meluas ini, pelajar akan belajar dalam membuat keputusan berdasarkan semua sudut dengan mempraktikkan segala pengetahuan yang diperoleh. Hal ini tidak menjadikan pelajar yang ilmu penuh di dada tetapi kosong tidak diamalkan ilmu tersebut bahkan melahirkan murid yang sentiasa mengamalkan segala ilmu yang diperolehnya.
Bagi melaksanakan matlamat KBSR, matapelajaran sejarah telah digabungkan dengan pelbagai bidang dan matapelajaran seperti sivik, sains, geografi, hal ehwal tempatan dan pendidikan kesihatan. Gabungan ini membolehkan pelajar mempelajari kemahiran subjek tersebut disamping memperoleh pengetahuan mengenai sejarah. Aspek sejarah pula telah diperkenalkan melalui matapelajaran Alam dan Melayu  iaitu melalui sejarah kebudayaan, adat resam, perlembagaan, pembangunan negara, perusahaan dan pengangkutan. Kesemua aspek sejarah ini telah ditekankan mengenai kebudayaan negara untuk memupuk pelajar supaya tidak alpa dengan budaya yang berada di Malaysia. Pelajar akan lebih menghargai keunikan dan kepelbagaian budaya dan adat resam di Malaysia dengan adanya penekanan kepada kebudayaan negara. Keunikan ini akan menjadi kebanggaan pelajar dan akan berusaha mengekalkan keunikan tersebut supaya tidak pupu ditelan zaman. Hal ini akan melahirkan generasi penyambung budaya dan adat resam negara yang hidup harmoni dalam masyarakat berbilang kaum.
Masa terus berlalu, berudu menjadi katak, ulat menjadi rama-rama dan begitu juga jadinya kepada KBSR yang juga mengalami perubahan mengikut kepentingan zaman untuk keperluan masa hadapan. Kurikulum Baru Sekolah Rendah telah diadakan semakan bagi mengenal pasti kerelevanannya merentas masa. Tujuan semakan ini dilakukan ialah bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran berdasarkan konsep kesepaduan serta memberi penekanan dalam melahirkan negara yang maju dengan masyarakat yang berilmu. Justeru, pada 1993 Kurikulum Baru Sekolah Rendah telah diganti dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah selaras dengan apa yang tertulis di dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang tertulis pada 1988.
Berikut kepada keperluan pendidikan untuk bergerak seiringan dengan keperluan zaman untuk melahirkan generasi yang sesuai dengan masa hadapan, pemindaan telah dilaksanakan oleh KPM bagi memastikan pendidikan bergerak sezaman dengan kemajuan negara. Kurikulum Baru Sekolah Rendah telah digantikan dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang telah ditulis pada 1988 telah ditukar namanya kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) pada 1996. Selaras dengan keperluan FPN yang ditulis ketika itu, konsep bersepadu menjadi tumpuan utama dalam kurikulum dan pengajaran di sekolah. Melalui konsep kesepaduan, gambaran tentang sesuatu perkara dapat dilihat secara keseluruhan. Murid dapat membezakan yang mana perkara ini lebih baik. Unsur-unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam kandungan KBSR diintegrasikan supaya terdapat kesepaduan.
Dalam konteks kesepaduan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah, pembangunan insan dapat dilihat secara seimbang, meyeluruh dan bersepadu. Sehubungan itu, unsur-unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam kandungan isi pelajaran diintegrasikan supaya terdapat kesepaduan dan keharmonian. Unsur intelek, rohani, emosi dan jasmani dalam proses pengajaran dan pembelajaran juga dapat dipupuk sekali gus menjadi aset utama dalam pembangunan negara (Pusat Perkembangan Kurikulum, 1990). Oleh itu, negara dapat melahirkan pelajar yang bersepadu, berkemahiran dan memiliki pengetahuan luas.
Dalam melaksanakan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah ini, pemisahan sejarah dalam pelajaran sivik, sains, Ilmu Kesihatan dan Hal Ehwal Tempatan telah dilaksanakan. Pemisahan ini telah membawa penggabungan matapelajaran sejarah dengan matapelajaran geografi. Penggabungan kedua-dua matapelajaran ini telah melahirkan matapelajaran baru iaitu subjek Kajian Tempatan. Kajian Tempatan merangkumi bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan yang melibatkan kajian interaksi sesama manusia serta persekitaran dan bidang ini amat memenuhi keperluan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah iaitu untuk melahirkan generasi yang bersepadu.
Kajian Tempatan lebih menceritakan mengenai kehidupan masyarakat terdahulu dan bagaimana mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan geografi dan kekurangan banyak kemudahan teknologi seperti yang kita kecapi sekarang. Pelajar akan belajar bagaimana cara hidup, makanan, sistem dan ekonomi yang dilaksanakan masyarakat terdahulu. Kajian Tempatan mempunyai perkaitan yang amat kuat dengan pengajaran sejarah yang terdapat di dalam KBSR Tahap Satu. Subjek Kajian Tempatan telah diajarkan kepada murid mulai murid darjah empat. Hal ini bertujuan untuk menguatkan dan mengukuhkan lagi kemahiran asas semasa di tahap satu dengan pengetahuan, pemahaman, kesedaran dan nilai yang akan diterapkan di dalam subjek Kajian Tempatan. Pelaksanaan subjek Kajian Tempatan amat sesuai dalam memupuk nilai kesepaduan dalam diri pelajar di samping dapat melahirkan generasi yang memiliki nilai dan semangat patriotik yang tinggi.
Kajian Tempatan yang diperkenalkan amat berbeza dengan subjek sejarah yang terdapat pada kurikulum sebelum ini. Hal ini kerana proses pengajaran dan pembelajaran Kajian Tempatan adalah berkonsepkan berpusat kepada pelajar. Pelajar dapat mengaitkan sendiri nilai dan kepentingan sejarah dengan diri sendiri. Dengan ini, pelajar yang menghargai nilai dan kepentingan sejarah dapat dilahirkan. Kajian Tempatan disampaikan dengan penekanan dalam nilai sejarah dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini bertujuan untuk melahirkan pelajar yang mempunyai pengetahuan yang luas tentang sejarah negara. Namun subjek Kajian Tempatan kurang menjadi fokus para guru kerana berlakunya sngkalan mengenai kepentingan Kajian Tempatan dilaksanakan. Selain itu, tiadanya subjek Kajian Sejarah dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) telah mengurangkan lagi fokus terhadap matapelajaran ini. Sekiranya matapelajaran ini diberikan fokus yang sama dengan matapelajaran teras yang lain, sudah pasti akan lahirnya ramai generasi yang memiliki semangat bersepadu dan patriotik yang tinggi.
Era abad ke-21 ini telah membawa banyak perkembangan yang pesat terutama dalam bidang sains dan teknologi serta bidang ICT yang meluas dalam membawa perubahan ini. Perubahan ini membawa kesan yang besar kepada seluruh aspek dan perubahan yang bersifat globalisasi. Cabaran dunia baru dan global ini bersifat berubah dari semasa ke semasa. Oleh yang demikian, kurikulum sekolah perlu selaras dengan perkembangan global tersebut supaya cabaran masa hadapan dapat dihadapi dengan jayanya. Oleh itu, kurikulum bersepadu telah dikaji semula bagi memastikan kurikulum di sekolah bersifat holistik dan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa bagi melahirkan modal insan seimbang yang mampu berdepan dengan cabaran semasa dan cabaran masa hadapan. Sehubungan itu, mulai tahun 2011 Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah telah ditransformasikan kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Transformasi tersebut merupakan pengukuhan dan penambahbaikan kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah yang melibatkan perubahan bentuk organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum di sekolah. Di peringkat awalnya, iaitu pada 31 Mac 2009 hingga akhir Jun 2009, KSSR telah menjalani uji rintis di 500 buah sekolah rendah yang terpilih. Daripada jumlah tersebut, 50 buah sekolah menjalani uji rintis bagi semua mata pelajaran, manakala 450 buah sekolah lagi menjalani uji rintis bagi matapelajaran yang terpilih sahaja. Pada 14 Oktober 2010, Kementerian Pelajaran Malaysia jelas meminta semua sekolah rendah melaksanakan KSSR untuk murid Tahun 1 mulai 2011. KSSR diharap akan membekali generasi masa hadapan dengan bekalan-bekalan untuk menghadapi cabaran.
Kepentingan sejarah telah mewujudkan sejarah sebagai matapelajaran yang wajib dipelajari di tahad dua sekolah rendah oleh Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai tahun 2014. Menurut Alimuddin Mohd Dom (2013), subjek sejarah telah diperkenalkan mulai tahun empat tahap dua sekolah rendah melalui gabungan beberapa mata pelajaran yang bertujuan untuk menanam semangat kenegaraan, patriotisme dan memupuk nilai peribadi yang mulia dalam kalangan murid. Hal ini selarilah dengan matlamat kurikulum sejarah yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) iaitu sejarah membolehkan murid untuk memahami tingkah laku manusia, sebab dan akibat, keunikan sejarah tanah air dan kegemilangan negara dalam usaha melahirkan warganegara yang patriotik dan menjunjung amalan demokrasi di Malaysia. melalui subjek sejarah juga dapat melahirkan murid yang mampu menganalisis dan menilai fakta sejarah dengan matang.
            KSSR mata pelajaran sejarah telah dibina dengan berasaskan enam tunjang yang berkait antara satu sama lain iaitu komunikasi, kerohanian, sikap dan nilai, kemanusiaan, literasi sains dan teknologi dan keterampilan diri (Bahagian Perkembangan Kurikulum, 2010). Enam tunjang ini dikaitkan dengan kemahiran berfikir aras tinggi bagi melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis serta berpengatahuan dan berketerampilan. Enam tunjang ini mewakili bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang menjadi asas kepada pembangunan insan yang berfikiran kreatif, kritis dan inovatif.

KSSR juga telah mewujudkan modul teras tema yang wajib dipelajari oleh semua murid dan sebagai tarikan kepada murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Modul teras tema menggabungkan beberapa disiplin ilmu dalam satu modul. Terdapat dua modul teras tema iaitu Dunia Kesenian yang terdiri daripada Dunia Seni Visual dan Dunia Muzik. Manakala modul kedua merupakan modul Dunia Sains dan Teknologi (DST) yang menggabungkan disiplin sains, Reka Bentuk Teknologi (RBT) dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Menurut Najib Razak (2013), Malaysia perlu melaksanakan perubahan untuk melonjakkan pencapaian memenuhi aspirasi yang tinggi dalam persekitaran global yang semakin kompetitif bagi memastikan pelajar memiliki kemahiran yang diperlukan pada abad ke-21. Oleh itu, matapelajaran sejarah diterapkan supaya lahir generasi yang berpengatahuan luas dan berfikir secara kreatif, kritis dan inovatif selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1992).

Wawasan 2020 menyarankan Malaysia menjadi negara maju mengikut acuan kita sendiri. Oleh itu, rakyat Malaysia perlu mempunyai pengetahuan tentang dunia luar supaya berkemampuan untuk bersaing dengan mereka (Zainal Abidin Ahmad, 1998). Untuk mengembangkan pengetahuan tersebut, pengetahuan mengenai tanah air sendiri mestilah didahulukan dan mesti diterapkan dalam diri generasi baru. Oleh itu, telah diperkenalkan tema yang ditekankan dalam kurikulum sejarah sekolah rendah iaitu tema Mengenal Negara Kita, Sejarah Negara Kita, Kewarganegaraan dan Cintai Tanah Air. Justeru, berdasarkan pengetahuan dan pemahaman aspek-aspek sejarah negara, murid dibimbing untuk menganalisis dan menilai fakta-fakta sejarah secara rasional (Carmen & Adams, 1984). Hasil daripada pemahaman dan penghayatan sejarah negara, murid dapat membina kekuatan semangat cinta akan negara. Konsep sebab dan akibat yang ditekankan pula menyebabkan murid tahu akan kepentingan sejarah dalam usaha untuk mengekalkan keharmonian negara.

Dalam usaha untuk melahirkan generasi yang dapat memenuhi matlamat dan aspirasi negara, pendekatan pengajaran dan pembelajaran pendidikan sejarah perlu menjurus kepada pemupukan kemahiran berfikir dan kemahiran pemikiran sejarah di kalangan murid di samping nilai-nilai murni dan semangat patriotik (Azizi Yahya, 2006). Oleh itu, sejarah sebagai satu cabang ilmu perlulah ditekankan sebagai ilmu yang praktikal dan mampu membentuk setiap warganegara Malaysia yang berjiwa patriotik. Nilai semangat cinta akan negara ini dapat dipupuk dalam kalangan generasi muda apabila aspek Perlembagaan Persekutuan dan kemerdekaan tanah air diberikan keutamaan dan penekanan dalam kurikulum sejarah sekolah rendah.

Penekanan subjek sejarah juga dilakukan dalam perspektif keunikan tanah air. Negara kita memiliki keunikan yang tersendiri yang sukar didapati di negara lain. Keunikan itu lahir daripada kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia. Kepelbagaian kaum membawa kepada kepelbagaian agama, budaya dan adat resam. Hal ini menjadikan Malaysia unik kerana kaya dengan adat resam dan budaya. Oleh itu, untuk memelihara keunikan ini, matapelajaran sejarah memainkan peranan untuk pelajar lebih menilai warisan negara yang akhirnya membawa kepada penerangan yang jelas mengenai kehidupan dan kebudayaan masyarakat dahulu dan masyarakat kini di Malaysia. Menghargai warisan negara dapat melahirkan generasi baru Malaysia yang menghormati semua kaum, budaya serta agama dalam usaha untuk memupuk kefahaman dan perpaduan antara kaum (Awang Had Salleh, 1983). Oleh itu, nilai ini amat penting bagi mengekalkan perpaduan bagi menjamin kemakmuran negara dan nilai ini perlu diterapkan dalam kalangan generasi muka kerana merekalah penyambung warisan. Penyambung warisan yang akan mengekalkan perpaduan negara dan dengan adanya nilai ini, maka perpaduan negara akan terus kukuh.

Sejarah bukan sahaja menceritakan mengenai warisan dan kepelbagaian yang terdapat di Malaysia tetapi sejarah juga penting dalam memelihara kedaulatan negara (Putman, 1998). Sejarah yang menekankan konsep kedaulatan negara akan mendedahkan pelajar dengan pelbagai kejayaan negara iaitu dalam bidang ekonomi, sosial dan pelbagai pencapaian lain yang mendapat pengiktirafan antarabangsa. Pendedahan ini akhirnya akan melahirkan perasaan bangga dengan pencapaian negara. Oleh itu, semangat yang lahir bukan sahaja untuk mengekalkan pencapaian tersebut, malah pelajar akan memperoleh satu titik tolak untuk membawa negara mengecapi pencapaian yang lebih tinggi. Titik tolak ini membuatkan murid bersedia dan tahu cabaran yang akan mereka hadapi bagi meraih serta mengekalkan pencapaian negara. Mereka mampu membuat keputusan yang betul berdasarkan pengetahuan dan pemahaman mereka serta mengenai cabaran yang bakal dihadapi dalam usaha untuk meningkatkan kedaulatan negara. Nilai ini perlu ditanam bagi melahirkan pemimpin yang mampu memimpin negara dengan konsep kedaulatan yang tinggi bagi mengekalkan Malaysia untuk terus berdiri di persada dunia.

Secara tuntasnya, dalam usaha kerajaan ke arah mengecapi Wawasan 2020, kurikulum sejarah sekolah rendah amatlah penting dalam menyediakan generasi baru yang bertepatan dengan Wawasan 2020 yang telah ditetapkan. Penerapan subjek sejarah mampu melahirkan generasi yang bersatu padu, berbangga menjadi rakyat Malaysia, berpengetahuan luas dan menjadi warganegara yang cemerlang dalam segala aspek (Abd. Rahim, 2001). Segala nilai ini amat diperlukan bagi memastikan legasi dan kemerdekaan yang dikecapi negara terus kekal. Kurikulum sejarah juga mampu menerapkan nilai kemasyarakatan yang tinggi dan semangat patriotik dalam kalangan pelajar. Oleh itu, sejarah amat penting dalam memastikan kedaulatan sesebuah negara kerana tingginya nilai cinta akan anak air. Malaysia yang semakin maju akan menghadapi cabaran yang besar dalam masa hadapan serta masalah dalam kesepaduan dan kedaulatan negara akan tercalar. Untuk menghadapi cabaran tersebut, sejarah memainkan peranan penting dalam memupuk nilai semangat cinta akan negara dan semangat patriotik. Dengan ini, kedaulatan negara akan terus kekal dan terus menjadi warisan kepada generasi baru.

No comments:

Post a Comment

Sejarah Tahun 4 : Kaedah Pencarian Maklumat Sejarah

Sumber Sejarah Mata Pelajaran Sejarah Tahun 4 Sekolah Rendah Tajuk 1 : Mari Belajar Sejarah https://www.youtube.com/watch?v=M...