Zainal Abidin Ahmad atau lebih
dikenali dengan Za’ba[1]
merupakan antara tokoh perjuangan kemerdekaan dan laungan kebangsaan dalam
menuntut kemerdekaan negara melalui penulisan. Za’ba seorang penulis yang
berbakat bukan sahaja dalam bahasa Melayu malah juga di dalam bahasa Inggeris.
Kebolehan beliau terserlah setelah beliau memasuki perkhidmatan pendidikan
kolonial iaitu sebagai seorang guru pada tahun 1916. Menurut Mohd Janan Ahmad
(1966), guru pada masa ini bukan sahaja bertugas sebagai tenaga pengajar di
sekolah tetapi juga bertindak sebagai wartawan bebas, penulis cerpen, penulis
novel serta buku untuk sekolah Melayu dan untuk pengetahuan umum. Namun,
generasi baru hanya mengenali Za’ba sebagai tokoh yang mengasaskan dasar ejaan
dan tatabahasa kerana kurangnya pendedahan tentang penglibatan beliau dalam
penuntutan kemerdekaan tanah air (Abdullah Hussain & Khalid M.Hussain,
1974).
Penulisan Za’ba adalah berdasarkan
pengalaman, analisis dan pengamatan yang diteliti oleh beliau tentang
bangsanya. Beliau amat memahami keadaan politik, ekonomi dan juga sosial masyarakat
Melayu kerana beliau dibesarkan di kampung, menerima pendidikan Melayu, Arab
dan Inggeris serta bekerja di bandar. Menurut Mohd Taib Osman & Hamdan
Hassan (1978), penelitian dan kefahaman ini telah mewujudkan kesedaran politik
di dalam diri beliau menyebabkan beliau mengambil pendekatan anti-kolonial dan
berusaha menegur bangsanya melalui tulisan dan karya beliau. Ratusan rencana
Za’ba telah tersiar di dalam akhbar, majalah dan jurnal akademik serta
penerbitan buku ilmu bahasa dengan diselitkan pemikiran progresifnya di dalam
karyanya melibatkan pelbagai aspek seperti Islam, pendidikan, ekonomi dan
politik orang Melayu.
Penulisan
dan karya Za’ba banyak menyentuh mengenai masalah serta masa depan orang Melayu
seperti ‘Kemiskinan Melayu’, ‘Guna Kekayaan’, ‘Teguran dan Jawaban’ dan ‘Rajin
Orang Cina’. Penulisan beliau mendapat perhatian dan mula diterbitkan di Utusan
Melayu dan Lembaga Melayu malah mendapat sambutan hangat dalam kalangan
masyarakat. Sambutan ini menjadi pembakar kepada Za’ba untuk terus menulis
supaya dapat meningkatkan kesedaran orang Melayu untuk bangkit menuntut hak
mereka di tanah air mereka di samping menyampaikan ilmu kerana Za’ba beranggap
ilmu mampu mengangkat darjat orang Melayu. Menurut Amat Juhari Moain (2004), menuntut
ilmu adalah penting bagi Za’ba malah agama Islam mewajibkan umat Islam untuk
menuntut ilmu kerana dengan ilmu akan meningkatkan martabat umat Islam. Hal ini
menyebabkan beliau terpaksa berhenti untuk menulis berkenaan isu kemiskinan
orang Melayu untuk beberapa tahun. Namun, kembali menerbitkan ‘Jalan
Keselamatan Bagi Orang-orang Melayu’ iaitu terjemahan The Salvation of Malays di dalam Bahasa Melayu pada tahun 1972
melalui akhbar al-Ikhwan terbitan Sayid Sheikh al-Hadi[2].
Menerusi
penulisan juga, Za’ba telah memberikan kesedaran kepada orang Melayu bahawa
pendidikan merupakan elemen penting bagi mengukuh serta memantapkan kedudukan
orang Melayu. Za’ba telah mengulas mengenai pendidikan iaitu:
“Pelajaran
otak atau kepandaian-kepandaian sekolah atau kolej sahaja, istimewa pula jika
yang demikian itu terlalu rendah dan tidak melebihi daripada kepandaian
membaca, menulis, berkira-kira dan membuat kerja-kerja kerani dan mengenal akan
kesedapan karangan-karangan yang rendah dan kecil. Pelajaran yang dikatakan
cukup itu hendaklah termasuk di dalamnya pelajaran-pelajaran berniaga, berjual
beli, pertukaran, membuat barang-barang, bercucuk tanam dan berbagai-bagai
perusahaan dan pekerjaan mengeluarkan hasil. Dalam pada itu, hendaklah pula
dimaksudkan tiap-tiap seorang termesti belajar dan mengetahui kesemuanya itu.”
Kenyataan
ini menunjukkan betapa mendalamnya kefahaman Za’ba mengenai keperluan
pendidikan yang diperlukan oleh orang Melayu pada masa itu bagi meningkatkan
martabat bangsa dan kemajuan bangsa. Keperluan pendidikan orang Melayu pada
masa itu bukan sahaja melibatkan pencapaian akademik tetapi juga memerlukan
penguasaan dalam bidang kemahiran dalam menjamin pengeluaran hasil serta
meningkatkan kedudukan bangsa. Karya beliau telah menyedarkan ramai golongan
muda bahawa mereka sewajarnya mendapat pendidikan yang baik dan seterusnya
memikul tanggungjawab menggerakkan diri dan bangsa ke arah kemajuan yang
akhirnya membawa kepada kemerdekaan negara.
Za’ba
juga menzahirkan keprihatinan beliau terhadap kemiskinan yang dialami oleh
masyarakat Melayu pada masa itu seperti di dalam artikel beliau yang bertajuk The Poverty of Malays dan diakhiri
dengan artikel The Salvations of Malays.
Penulisan beliau ini telah mendapat sambutan hangat dan pelbagai reaksi
termasuk ada yang menyokong dan ada yang menentang. Penulisan beliau turut
mendapat perhatian British kerana merasakan terdapat unsur yang mampu menggugat
kedudukan mereka. Menurut Amat Juhari Moain (2004), beberapa langkah sekatan
telah diambil oleh British seperti siasatan keatas Za’ba mengenai kegiatan yang
beliau lakukan termasuk penulisan beliau di dalam akhbar.
Za’ba bukan sahaja
memperjuangakan kemerdekaan Tanah Air malah turut memperjuangkan kemerdekaan
minda orang Melayu daripada pemikiran dan pembinaan sikap yang kolot dan jumud.
Keadaan orang Melayu pada masa itu masih lagi terikat dengan budaya dan
kepercayaan karut yang tiada di dalam Islam. Banyak daripada karya Za’ba
membicarakan perkara-perkara khurafat dan kepercayaan tahyul yang diamalkan
oleh orang Melayu ketika itu yang menjejaskan keupayaan untuk menerima dan
memasuki zaman moden serta kearah kemajuan. Antara karya beliau yang berbicara
mengenai isu ini ialah ‘Falsafah Takdir’ dan ‘Perangai Seseorang Bergantung
Kepada Diri Sendiri’. Beliau mengupas di dalam buku tersebut mengenai kelemahan
orang Melayu yang bukan sahaja terlalu lama dijajah tetapi sifat orang Melayu
yang tidak mempunyai nilai untuk berubah terutama melalui sikap. Menurut Ermy
Azziaty Rozali & Mohammad Redzuan Othman (2010), Za’ba beranggap bahawa
pendidikan agama yang kolot dan cetek yang tidak selari dengan kehendak syariat
Islam yang sebenar menjadi kekangan kepada orang Melayu dalam mencapai
kemajuan. Hal ini telah membuka mata-mata golongan muda untuk menyekat
kepercayaan karut dan kolot yang melambatkan pergerakan kebangsaan dan
kemerdekaan negara.
Sumbangan
beliau melalui politik ialah perjuangan secara langsung beliau dengan UMNO
setelah dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa Penaja UMNO dan juga
terlibat dalam merangka perlembagaan awal UMNO yang sehingga kini sebahagiannya
masih berkekalan seperti saranan Za’ba dalam menambah perkataan ‘Kebangsaan’
iaitu ‘Nation’ ke dalam nama U.M.O sehinggalah wujudnya nama UMNO yang
digunakan sehingga sekarang. Za’ba mula terlibat dengan UMNO dan penubuhannya
setelah timbulnya kesedaran orang Melayu di seluruh semenanjung Tanah Melayu
bagi menentang pembentukan Malayan Union.
Namun, masalah
yang dihadapi oleh orang Melayu pada masa itu ialah semangat kebangsaan hanya
berbekalkan pada kesedaran serta semangat yang tinggi sahaja tetapi intelektual
mereka belum mencukupi untuk melaksanakan satu sistem atau pertubuhan yang
kukuh dan kuat. Kehadiran Za’ba ini banyak membantu dalam jentera pergerakkan
UMNO melalui kerja-kerja kesetiausahaan yang dilakukan oleh beliau. Beliau
bertanggungjawab merangka dan menghubungi serta memujuk banyak pertubuhan
Melayu yang masih bersifat dan berorientasikan negeri masing-masing supaya
membuang semangat kenegerian mereka dan bersatu tanpa mengira negeri dalam
menuntut kemerdekaan. Menurut Abu Bakar Abdul Hamid (1967), pembelajaran di
maktab-maktab perguruan yang didirikan oleh British telah mengurangkan semangat
kenegerian dan telah membentuk sikap kerjasama tanpa mengira negeri. Hal ini
menyebabkan golongan pendidik termasuk Za’ba tidak mempunyai semangat
kenegerian dan faham bahawa kesemua negeri harus bersatu dalam menuntut
kemerdekaan.
Selain itu, Za’ba
juga menjadi faktor penarik kepada masyarakat Melayu untuk bersatu di bawah
satu bumbung iaitu di bawah UMNO. Keadaan politik di Tanah Melayu pada asalnya
berpecah-belah serta wujudnya parti berhaluan kanan dan kiri sehingga British
mengisytiharkan darurat bagi menyekat gejala politik yang keras dan membasmi
pengaruh komunis. Hal ini kerana UMNO bukanlah parti politik yang pertama
ditubuhkan di Tanah Melayu malah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Kesatuan
Melayu Muda lebih awal ditubuhkan iaitu pada tahun 1945 dan memiliki pengaruh
yang lebih besar. Oleh itu, peranan Za’ba sebagai orang tengah antara pemimpin
dan masyarakat telah menguatkan lagi sokongan rakyat kepada pimpinan UMNO dalam
memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Menurut Rahmat Saripan (1973), guru
pada masa itu dianggap sebagai golongan intelektual kelas kedua berbanding
dengan golongan yang berpendidikan Inggeris dan berjawatan tinggi dalam
pentadbiran yang sukar didekati masyarakat. Sifat kepimpinan keguruan beliau
banyak menarik minat masyarakat terutama penduduk kampung. Golongan guru
seperti Za’ba yang berasal daripada kampung dan didikan agama yang tinggi
menyebabkan beliau mudah mendekati dan disenangi masyarakat. Penyatuan ini akhirnya
telah membawa kepada kemerdekaan negara yang dikecapi rentetan daripada asas
yang telah diletakkan oleh Za’ba.
Kesimpulannya,
Za’ba merupakan tokoh penting yang berperanan dalam proses penuntutan
kemerdekaan negara sehinggakan beliau pernah dicadangkan sebagai Presiden UMNO
yang pertama tetapi ditolak kerana merasakan diri beliau tidak layak lalu
mencadangkan Dato’ Onn sebagai pemimpin UMNO yang pertama. Penulisan beliau
kini menjadi inspirasi kepada kalangan penulis masa kini. Sifat berani beliau
dalam mengkritik dan menyuarakan pendapat dapat membuka minda masyarakat banyak
diaplikasikan oleh penulis sekarang yang lebih terbuka dalam menyatakan
cadangan atau pandangan baru dalam bentuk penulisan.
[1] Dilahirkan di
Batu Kikir, Jempol Negeri Sembilan pada 1895 yang berasal dari keluarga kuat
agama. Khatam al-Quran, hafal Yassin dan berzanji pada usia 7 tahun. Mendapat
pendidikan awal di Sekolah Melayu Linggi pada usia 12 tahun dan pelajar Melayu
Negeri Sembilan pertama berjaya menamatkan persekolahan sehingga ke darjah enam
iaitu lulus Senior Cambridge (Abdullah
Hussain & Khalid M.Hussain, 1974).
[2] Sayid Sheikh al-Hadi merupakan tokoh islah yang banyak
menghasilkan penulisan dalam bentuk novel, artikel, buku dan terjemahan.
Al-Ikhwan dan Saudara menjadi medan beliau meyampaikan maklumat dan pemikiran
kepada masyarakat (Adibah Sulaiman & Ezad Azraai Jamsari, 2006).
No comments:
Post a Comment