Menurut Kamus Dewan (2005),
kritikan bermaksud analisis, penilaian dan ulasan terhadap sesuatu karya
sastera dan penulisan sejarah atau ulasan tentang keburukan seseorang atau
sesuatu.
Menurut Yusof Ibrahim, sumber dapat didefinisikan sebagai sesuatu yang boleh
dijadikan punca kepada lahirnya sesuatu bentuk pemikiran atau penulisan baru.
Kritikan sumber pula boleh dianggap sebagai penilaian yang dibuat terhadap
sesuatu sumber bahan yang boleh dijadikan bukti kepada satu dakwaan atau
penulisan.
Tujuan kritikan sumber dibuat adalah untuk mengetahui
kesahihan sesuatu fakta yang dikemukakan oleh sejarawan. Kritikan sumber amat
diperlukan untuk menjadikan bidang sejarah itu menjadi luas serta tidak terikat
dengan pemikiran sejarawan yang tidak memerlukan pendapat orang lain. Menurut
Rozeman (2004),
kritikan yang telus dan membina amat penting dalam member penjelasan yang tepat
dan diterima sejarawan lain. Kritikan terbahagi kepada dua iaitu kritikan
luaran dan dalaman. Kritikan luaran tertumpu kepada menentukan ketulenan sumber
manakala kritikan dalaman tertumpu kepada kredibiliti sesuatu sumber.
Sejarah Melayu telah
disemat dengan pelbagai kebenaran dan keunikan yang tersendiri. Kebenaran dan
keunikannya perlu dikaji dan diselidiki melalui pelbagai aspek yang meluas dan
universal. Hal ini kerana, keunikan dan kebenarannya terselindung disebalik
isinya yang tersurat. Sejarah Melayu
bertindak sebagai salah satu rujukan penting dalam mengkaji perihal suasana
kehidupan masyarakat Melayu zaman dahulu terutamanya pada abad ke-14 dan ke-15.
Kajian kehidupan masyarakat Melayu zaman dahulu berdasarkan sumber barat
terutamanya sumber yang dihasilkan oleh sarjana kolonial seperti R.O.Winstedt
atau Frank Swettenhem agak sukar dilaksanakan kerana kebanyakan tafsiran yang
dikemukakan oleh sarjana ini lazimnya berdasarkan kaca mata barat. Mereka juga
dikuasai sifat entosentrisme iaitu sifat kepercayaan bahawa kebudayaan sendiri
lebih unggul dari kebudayaan lain. Oleh itu,
terdapat sarjana seperti Zainal Abidin Wahid yang menekankan pensejarahan setempat
ditulis oleh penulis setempat kerana hanya masyarakat setempat itu sahaja yang
dapat memahami suasana dan keadaan kehidupan masyarakatnya.
Jelaslah,
karya pensejarahan tradisional umunya dan karya Sulalatus Salatin khususnya
tidak layak untuk diukur atau dinilai berdasarkan kaca mata barat. Hal ini
kerana terdapat perbezaan yang amat ketara antara pensejarahan tradisional
dengan pensejarahan moden yang dibentuk barat. Justeru itu, karya pensejarahan
tradisional sememangnya layak untuk dijadikan sumber dalam penulisan sejarah
kerana kandungannya yang lebih memaparkan dan memahami suasana kehidupan
masyarakat peribumi pada masa silam berbanding dengan sumber asing yang
kebanyakannya ditulis oleh para sarjana kolonial.
No comments:
Post a Comment