Tun Sri Lanang dilahirkan di
Bukit Seluyut, Johor lama pada 1565 Masihi. Beliau turut dikenali dengan nama
Tun Ahmad. Nama sebenar beliau ialah Tun Muhammad yang merupakan anak kepada
Paduka Raja Tun Ahmad. Beliau telah dilantik sebagai Bendahara kepada dua
sultan semasa di Johor Lama iaitu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II
(1570-1597) dan Sultan Alauddin Shah III (1597-1612). Tun Sri Lanang pernah
menjadi penasihat kepada tiga Sultan Acheh iaitu Sultan Iskandar Muda
(1615-1636), Sultan Iskandar Thani (1636-1641) dan Sultan Tajul Alam
Safiatuddin Shah (1641-1675). Semasa menetap di Acheh, beliau digelar Orang
Kaya Dato’ Bendahara Seri Paduka Tun Seberang.
Tun Sri Lanang terkenal sehingga kini dengan karyanya
iaitu Sulalatus Salatin atau dikenali Sejarah Melayu. Karya Sejarah Melayu ini
dikatakan ditulis oleh Tun Sri Lanang bermula pada Februari 1614 dan telah
Berjaya disiapkan pada Januari 1615. Hal ini menunjukkan bahawa penulisan
Sejarah Melayu berlangsung 103 tahun selepas penaklukan Portugis di Melaka.
Pada masa itu, Tun Sri Lanang berada dalam tawanan Acheh. Karyanya ini menjadi
sumber pensejarahan Melayu dan dokumen kebudayaan Melayu yang sangat penting
kerana karyanya merangkumi pelbagai sejarah masyarakat Melayu, Jawa, Brunei,
Patani dan Campa.
Namun, kebenaran tentang Tun Sri Lanang ialah penulis asal
atau sekadar penyunting buku Sejarah Melayu masih tidak dapat dipastikan dengan
tepat. Terdapat pengkaji yang mempersoalkan sama ada Tun Sri Lanang ialah
penulis Sejarah Melayu ataupun bukan kerana terdapat naskhah Sulalatus Salatin
yang meletakan Tun Sri Lanang sebagai pengarang dan terdapat juga yang tidak
meletakkan beliau sebagai pengarang. Antara naskhah yang meletakkan nama beliau
sebagai pengarang ialah seperti naskhah terbitan Abdullah Munsyi, Shellabear,
Dulaurier dan naskhah Hj. Othman Abdullah. Namun tidak bermakna mereka ini
mengangkat Tun Sri Lanang sebagai penulis asal Sulalatus Salatin. Tun Sri
Lanang telah dititahkan untuk membaiki sebuat Hikayat Melayu dari Goa dan
berlakulah usaha penghasilan Sulalatus Salatin yang versi pertamanya disusun
dan dikarang pada Zaman Empayar Melaka pada 1511 sebelum berlakunya serangan Portugal.
No comments:
Post a Comment