[Nota PPISMP] Sejarah Sosioekonomi Malaysia Sehingga 1970 : Pengenalan

 Pengenalan        

            Perpaduan dari segi istilahnya bermaksud pergabungan, peleburan, penggabungan, persesuaian atau persepakatan.[1] Perpaduan dari segi bahasa pula membawa maksud satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara keseluruhannya melalui ideologi negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka.

             Semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, Tanah Melayu pada masa itu mendapat perhatian dan merupakan antara pusat untuk menjalankan kegiatan sosial dan ekonomi yang terbesar. Semasa era penjajahan British, kemasukan buruh daripada India dan China telah berlaku dengan pesat sekali. Sehingga tahun 1931, jumlah orang-orang bukan Melayu telah melebihi bilangan orang-orang Melayu di negeri mereka sendiri.[2] Hal ini menjadikan Tanah Melayu pada masa itu memiliki kepelbagaian kaum iaitu Melayu, Cina dan India. Dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan British telah menempatkan kaum India di estet-estet, kaum Cina di kawasan bandar dan kaum Melayu di kawasan perkampungan.

            Semasa penjajahan British, pihak Inggeris telah mewujudkan sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Cina, dan sekolah vernakular Tamil.[3] Sekolah-sekolah ini menggunakan sistem pendidikan yang berbeza mengikut kaum sebagai contoh sekolah vernakular India dan vernakular Cina menggunakan buku pendidikan dan pendidik yang didatangkan daripada tempat masing-masing. Sekolah vernakular Melayu dan Tamil pula hanya terhad untuk sekolah rendah sahaja, manakala sekolah vernakular Cina mendapat keistimewaan melalui sekolah rendah, junior middle dan senior middle serta lulusan untuk sekolah Melayu hanya setakat memenuhi keperluan tenaga manusia yang paling rendah.[4]
            
         Selepas kemerdekaan, telah berlakunya banyak masalah perpaduan kaum yang dihadapi negara seperti peristiwa 13 Mei 1969. Oleh itu, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia bagi memupuk serta menanamkan semangat patriotik dan perpaduan dalam diri masyarakat di Malaysia. Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru merupakan antara inisiatif kerajaan Malaysia yang digunakan sebagai elemen untuk memupuk perpaduan negara.



[1] Kamus Dewan. (2005). Edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[2] Comber, L. (2007). Peristiwa 13 Mei: Sejarah Perhubungan Melayu-Cina. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd.
[3] Shahril Marzuki, & Habib Mat Som. (1999). Isu Pendidikan di Malaysia: Sorotan dan Cabaran. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
[4] Mior Khairul Azrin. (2011). Sistem Pendidikan di Malaysia. Jurnal Sosiohumanika , 35.

[Nota PPISMP] Sejarah Sosioekonomi Malaysia Sehingga 1970

[Nota PPISMP] Sejarah Sosioekonomi Malaysia Sehingga 1970 : Pengenalan
https://sejarahmengajarkitahs.blogspot.my/2017/11/nota-ppismp-sejarah-sosioekonomi_46.html

[Nota PPISMP] Sejarah Sosioekonomi Malaysia Sehingga 1970 : Perbezaan sosioekonomi kolonial dengan selepas merdeka

[Nota PPISMP] Sejarah Sosioekonomi Malaysia Sehingga 1970 : Perbezaan sosioekonomi kolonial dengan selepas merdeka





Perbezaan Sosioekonomi yang dilaksanakan oleh kolonial berbanding dengan yang diamalkan oleh Kerajaan selepas kemerdekaan negara.


[Nota PPISMP] Pengantar Sejarah : Pengadilan Moral - Sejarah Melayu

          Menurut Kamus Dewan (2005)[i], perkataan pengadilan bersal daripada perkataan adil dan membawa maksud menyebelahi pihak yang benar tetapi bukan berdasarkan tindakan atau pun undang-undang ataupun keputusan ini bermakna tiada berlakunya penyebelahan pihak atau berat sebelah dalam membuat sesuatu keputusan. Moral pula member maksud ajaran atau pegangan tentang baik buruk tentang sesuatu perbuatan, sikap atau perbuatan serta dapat dikaitkan dalam menyokong pihak bukan kerana sifat kebendaan semata-mata. Menurut Qasim Ahmad (1991)[ii], pengadilan moral merupakan perlakuan menjatuhkan hukuman ataupun mengenakan penilaian tertentu kepada seseorang ataupun sesuatu peristiwa.

 Dalam penulisan sejarah tradisonal, terdapat banyak unsur bias atau memihak kepada sesetengah pihak atau mengangkat tinggi sesetengah pihak. Hal ini berlaku apabila sejarawan mula menolak objektiviti dan subjektiviti dalam sejarah menyebabkan berlakunya sikap memihak atau berat sebelah dalam kajiannya atau untuk memperoleh kepentingan diri. Dari sinilah pula lahirnya masalah penilaian atau pengadilan moral iaitu apabila sejarawan didapati dengan sengaja atau tidak sengaja telah menilai atau menghukum sesuatu dengan memuji atau mengejinya. Penilaian ini dilakukan dengan menggunakan perkataan-perkataan seperti baik, mulia, kejam, jahat, ganas atau kuat.

Melalui kisah Singapura dilanggar todak, terlihat kezaliman golongan pemerintah dan golongan raja. Kekejaman raja terserlah apabila raja telah menjatuhkan hukuman bunuh kepada Tuan Jana Khatib. Hal ini terjadi kerana raja berasa cemburu dengan keistimewaan yang dimiliki oleh Tuan Jana Khatib. Tuan Jana Khatib telah menilik batang pinang sehingga terbelah dua di hadapan permaisuri raja. Kekejaman raja ini telah membuatkan Singapura mendapat bala besar iaitu huru hara dan kematian yang tinggi akibat diserang todak. Raja juga kejam terhadap seorang budak yang bijaksana dengan membunuh budak tersebut. Budak tersebut telah memberikan cadangan supaya tentera Singapura membina kubu daripada batang pisang bagi menapis serangan todak.

Melalui kisah Singapura dilanggar todak, terserlah juga sifat raja yang kurang cerdik dan tidak berpandangan jauh. Raja telah mencadangkan kepada rakyat supaya menjadikan betis mereka sebagai kubu bagi menangkis serangan todak. Cadangan ini akhirnya membawa kepada kecederaan rakyat yang tinggi dan kematian yang ramai. Kisah ini juga menyaksikan sikap diskriminasi yang menjadi amalan golongan pemerintah. Hal ini dilihat melalui sikap raja Singapura yang langsung tidak menghargai jasa budak cerdik yang menyelamatkan Singapura kerana budak tersebut berasal daripada kalangan rakyat biasa. Golongan pembesar berasa dengki dan terancam kerana apabila budak tersebut besar kelak, dia akan menjadi seorang yang cerdik dan mampu menggoyahkan kedudukan mereka. Lalu mereka telah menasihati raja supaya membunuh budak tersebut. Jelaslah sikap diskriminasi golongan pemerintah yang menyebabkan tidak mempunyai hak dan kuasa untuk menentang golongan pemerintah walaupun rakyat memiliki kebenaran.

Selain itu, sifat angkuh raja juga saya dapati daripada Sejara Melayu yang dihasilkan oleh Tun Sri Lanang ini. Sifat angkuh atau ego raja wujud apabila raja ingin menunjukkan kehebatan diri sendiri dengan melakukan sesuatu yang luar biasa dan berbeza dengan orang kebanyakan. Sifat angkuh raja ini dapat dilihat melalui kisah peminangan Puteri Gunung Ledang yang telah menyerlahkan sikap Sultan Mahmud Syah yang mengisterikan perempuan yang cantik, daripada golongan istimewa dan bukan seperti manusia biasa. Keegoan baginda juga terserlah apabila baginda sanggup melakukan apa sahaja untuk memperisterikan Puteri Gunung Ledang. Baginda sanggup memenuhi syarat barang hantaran yang dikenakan kepada baginda seperti hati nyamuk, air pinang muda dan lain-lain walaupun segala barang tersebut sukar untuk diperoleh. Baginda juga sanggup menyediakan jambatan emas dan perak dari istana Melaka ke Gunung Ledang. Untuk melaksanakan keinginan itu, baginda telah memeras harta benda rakyat dan mendera rakyat untuk menyediakan barang hantaran baginda yang sukar untuk diperoleh itu. Namun, Sultan Mahmud tidak sanggup untuk menggadaikan nyawa anaknya Raja Ahmad dalam usaha baginda untuk meminang Puteri Gunung Ledang kerana semangkuk darah Raja Ahmad merupakan amtara syarat hantaran pertunangan yang ditetapkan. Hal ini menampakkan sikap raja yang memilih kasih dan mementingkan diri sendiri. Baginda sanggup membiarkan rakyat menderita tetapi tidak sanggup mengorbankan puteranya untuk meminangi Puteri Gunung Ledang.

Tuntasnya, terdapat banyak sikap buruk raja yang ditonjolkan dalam Sejarah Melayu dan membawa kepada penderitaan yang dialami oleh rakyat. Pada zaman pemerintahan raja Melaka, sikap raja memberi kesan yang sangat tinggi kepada keadaan rakyat. Raja yang adil dan saksama akan membuatkan rakyat berasa aman dan makmur manakala sebaliknya akan berlaku sekiranya raja bersikap zalim dan angkuh. Namun, sejak Malaysia memperoleh kemerdekaan, konteks ini sudah tidak relevan kerana tiada lagi sifat pemerintahan raja berkuasa mutlak kerana Malaysia kini melaksanakan pemerintahan raja berpelembagaan. Kuasa raja terbatas dan tertakluk kepada perlembagaan. Jadi, kuasa raja terbatas menyebabkan sifat raja negeri tersebut tidak meninggalkan kesan yang tinggi kepada rakyat.



[i] Kamus Dewan. (2005). Edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

[ii] Qasim Ahmad. (1991). Karya Sejarah: Pendekatan dan Persoalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

[Nota PPISMP] Pengantar Sejarah : Objektiviti Sejarah - Sejarah Melayu

         Objektif merupakan perkataan asal objektiviti. Menurut Kamus Dewan (2005)[i], objektif member maksud sesuatu kenyataan ataufakta sebenar yang tidak dipengaruhi, dikuasai, dipimpin serta dipandukan pada perasaan ataupun prasangka. Menurut Abdul Rahman Haji Abdullah (1994)[ii], objektif sejarah sebagai sejarah sebagaimana terjadinya. Pandangan Abdul Rahman ini sama dengan pendapat Leopold von Ranke iaitu es eigentlich gewesen yang bermaksud seperti sebenarnya ia berlaku. Menurut Muhd Yusof Ibrahim (1997)[iii] pula, objektif sebagai salah satu daripada beberapa sifat atau hakikat sejarah itu sendiri malah merupakan persoalan yang tidak akan putus iaitu hakiki bagi sejarah dan pensejarahan. Oleh itu, objektiviti sejarah merupakan fakta yang tepat mengenai sesuatu peristiwa tanpa ada tokok tambah ataupun terkesan dengan kepentingan sejarawan.

            Sejarah Melayu sangat terkenal dengan nama peraturan segala raja-raja kerana karya ini telah menceritakan banyak cerita dan salasilah Raja-Raja Melaka malah nama asal Sejarah Melayu itu sendiri iaitu Sulalatus Salatin membawa maksud salasilah raja-raja. Penghasilan Sulalatus Salatin telah dilaksanakan oleh Tun Sri Lanang atas arahan daripada Sultan Abdullah Ma’ayah Syah dan disebabkan itu, Sejarah Melayu banyak tercatat tentang salasilah Raja-raja Melayu Melaka. Perkaitan keturunan raja Melayu Melaka dengan Iskandar Zulkharnain dianggap seperti mitos semata-mata untuk menaikkan nama raja. Iskandar Zulkharnain merupakan tokoh lagenda dan berkait dengan agama Islam. Tetapi raja seperti Raja Iskandar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Muzaffar Syah, Sultan Ahmad Syah dan Sultan Mahmud Syah memang benar sah kewujudan mereka dalam sejarah Melaka. Sultan Muzaffar Syah telah memerintah selama tiga belas tahun dan mangkat pada tahun 1459 serta membawa kepada pertabalan Raja Ibrahim, putera sulung Sultan Muzaffar Syah. Walaupun terdapat sangkalan mengenai kaitan Iskandar Zulkharnain dengan raja Melaka, namun jurai keturunan mereka seperti yang tercatat di dalam Sejarah Melayu merupakan fakta yang tepat walaupun bercampur dengan unsur mitos.

            Selain itu, terdapat juga objektiviti sejarah yang terdapat di dalam karya Sejarah Melayu iaitu nama-nama tempat yang terdapat di dalam karya tersebut. Nama tempat yang terdapat di dalam Sejarah Melayu bukannya rekaan Tun Sri Lanang tetapi nama tempat tersebut benar-benar wujud dan masih wujud sehingga sekarang. Sejarah Melayu menceritakan mengenai pembukaan tempat seperti Pasai, Singapura dan Melaka malah kesemua tempat ini memang benar benar wujud sehingga sekarang. Di dalam kisah pembukaan Pasai, asal nama samudera diperoleh daripada wujudnya semut besar di sana dan akhirnya tempat tersebut diberi nama Samudera. Berdasarkan kisah pembukaan dan penamaan Singapura juga terdapat kisah mengenai pertukaran nama Temasik kepada Singapura. Nama Singapura diambil sempena binatang singa yang gagah dan singa itu menjadi tarikan kepada Sang Nila Utama maka terus diberi nama tempat itu sebagai Kota Singa. Manakala Melaka pula mendapat nama daripada nama pohon tempat Raja Iskandar bersandar dan menyaksikan kejadian pelanduk yang menendang seekor anjing iaitu pohon Melaka. Akhirnya Melaka memperoleh namanya.

            Titah baginda “Baik tempat ini diperbuat negeri, anjing alah pada pelanduk; jikalau orangnya betapa lagi?” maka sembah segala Orang Besar-Besar, “benarlah seperti titah Duli Tuanku itu” Maka disuruh baginda tebas, diperbuat negeri. Maka titah baginda “apa nama kayu itu?” Maka sembah orang, ”kayu Melaka namanya, Tuanku” Maka titah Raja Iskandar Syah, “Jika demikian, Melakalah nama negeri ini?”

            Objektiviti sejarah di dalam karya Sejarah Melayu juga dapat dilihat melalui watak yang dinyatakan di dalam Sejarah Melayu merupakan tokoh yang bersejarah dan terkenal. Hal ini dapat dilihat melalui kisah kaitan Iskandar Zulkharnain dengan jurai keturunan raja-raja Melayu Melaka. Iskandar Zulkharnain merupakan tokoh bersejarah dan sangat terkenal sehingga kini terutama dalam kalangan masyarakat Islam kerana kejayaan serta kebijaksanaan beliau mengurung Yakjuj dan Makjuj. Iskandar Zulkharnain juga turut dipercayai merupakan peribadi yang sama dengan Alexendar The Great yang datang daripada Babylon yang telah menakluki seluruh Asia Tengah dan Timur Tengah sehingga ke Utara India.



[i] Kamus Dewan. (2005). Edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

[ii] Abdul Rahman Haji Abdullah. (1994). Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

[iii] Muhd Yusof Ibrahim. (1997). Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

[Nota PPISMP] Pengantar Sejarah : Penjelasan Sejarah dalam Sejarah Melayu

          Penjelasan membawa maksud penerangan, penjelasan, ulasan, taksiran, malah kajian tentang sesuatu peristiwa atau kejadian yang pernah berlaku. Pentafsir merupakan orang  yang membuat penjelasan tentang perkara yang tersurat. Segala bentuk penjelasan ialah peristiwa yang pernah berlaku pada sesuatu ketika dahulu dan sumber-sumber mengenai peristiwa tersebut boleh didapati. Bagi sejarawan moden, khususnya dari dunia Barat yang berpegang kepada nilai sekularisme, landasan asas bagi penjelasan sejarah ialah berasaskan kepada konsep sekular. Dalam erti kata lain, mereka menolak penjelasan yang bersandarkan kepada unsur ketuhanan dan keagamaan. Pada pandangan mereka, penjelasan tersebut lemah dari segi pensejarahannya. Hal ini disebabkan penjelasan yang dibuat banyak tidak disertakan dengan sumber yang nyata.

Walau bagaimanapun, penjelasan itu sendiri bererti menerangkan sesuatu peristiwa sejarah itu dengan berdasarkan sumber-sumber yang berkaitan dengannya. Seorang sejarawan itu perlu menerangkan peristiwa yang dikajinya seperti sebenamya berlaku. Akan tetapi ini adalah suatu yang mustahil dicapai. Oleh kerana itu tidaklah dihairankan  jika sesuatu peristiwa itu dijelaskan dengan cara yang pelbagai serta dari berbagai sudut pandangan atau analisis sejarah. Bukan bererti penjelasan boleh dilakukan dengan sesuka hati sahaja. la tetap terikat dengan sumber-sumber yang berkaitan dengan peristiwa yang akan ditafsirkannya itu. Ertinya sumber-sumber itulah yang menjadi landasan kepada penjelasan sejarahnya.

Penjelasan sejarah yang digunakan oleh penulis Sejarah Melayu mempunyai unsur anakronisme. Istilah anakronisme berasal daripada perkataan anachronus. Perkataan ini merupakan cantuman perkataan ana iaitu bertentangan dan chronus iaitu masa. Jadi, anachronus membawa maksud bertentangan dengan masa. Anakronisme merupakan satu konsep dan persoalan yang berkisahkan tentang masa yang bertentangan dengan masa yang sebenar.

            Antara konsep anakronisme yang digunakan oleh penulis ialah anakronisme dengan membanding antara sebuah karya sejarah dengan sumber atau fakta sejarah sezaman. Sebagai contoh kisah tentang perkahwinan antara Sultan Mansur Syah dari Melaka dengan Puteri Radin Galuh Candera Kirana dalam Sejarah Melayu. Apa yang menjadi sangkalan ialah perkahwinan ini berlaku pada zaman Mangkubumi iaitu Perdana Menteri Majapahit yang ketika itu dikatakan sebagai Patih Gajah Mada. Anakronisme dapat dilihat kerana Sulatan Mansur Syah memerintah Melaka pada tahun 1459-1477 Masihi padahal Patih Gajah Mada meninggal dunia pada tahun 1365 dan terdapat beza 100 tahundengan zaman Sultan Mansur Syah.

            Selain itu, Sejarah Melayu juga memaparkan sifat peribadi pengarang serta percampuran dengan kesusteraan lain. Penulisan Sejarah Melayu menampakkan sikap intelektual Tun Sri Lanang yang berminat dengan sejarah dan suasana politik di Melaka dan Tanah Melayu serta berminat dalam pembacaan pelbagai jenis hikayat termasuk penulisan daripada Hindu. Hal ini adalah kerana terdapat unsur sastera Hindu di dalam Sejarah Melayu. Sebagai contoh mengenai kisah pengembaraan Raja Suran ke negeri bawah laut dengan peti kacanya dan kisah di Bukit Si Guntang Mahameru serta perkaitan dengan lembu putih iaitu binatang suci Hindu.Selain pengaruh kesusteraan Hindu, terdapat juga pengaruh kesusteraan Jawa seperti kisah Damar Wulan. Semasa pengembaraan utusan Melaka ke Majapahit dan peristiwa peminangan Puteri Galuh Cendera Kirana merupakan antara contoh pengaruh kesusteraan Jawa.

            Selain itu, Tun Sri Lanang juga bijak dan mahir dalam menghasilkan penulisan kesusteraan Parsi dan Arab. Gaya penulisan yang digunakan mempunyai gaya masnawi. Tun Sri Lanang turut menyelitkan petikan syair Arab termasuklah ayat al-Quran, perkataan Arab di dalam Sejarah Melayu. Tun Sri Lanang mempunyai bakat dalam melukis bayangan tentang gambaran atau kisah masyarakat Melayu yang makmur dan indah di minda pembaca. Tun Sri Lanang bijak dalam menyentuh hati pembaca dengan menyingkap perasaan sedih, lucu, menyayat hati dan meriah. Sebagai contoh gambaran peperangan yang dasyat dan huru-hara.


            Maka dikeluari oleh orang Singapura terlalu sabur berperang; tetak menetak, parang-memarang, tikam-menikam serta dengan tempik soraknya, gegak-gempitanya, tiada sangka bunyi lagi. Maka darah di tengah peperangan itu seperti air sebak, merah rupanya pasir itu, dating sekarang ada lagi. Maka patahlah perang orang Singapura, lalu sekaliannya undur masuk ke dalam kota; pintu kota pun ditutup, dan dilawan berperang dari dalam kota kira-kira sebulan lamanya.

[Nota PPISMP] Pengantar Sejarah : Kritikan Dalaman Sejarah Melayu

             Apa yang saya dapati daripada Sejarah Melayu ini ialah terdapat unsur mitos, fantasi, khayalan dan lagenda. Menurut M.Rajantheran (1999)[i], Sejarah Melayu kaya dengan bahan sejarah tetapi tidak boleh dianggap karya sejarah kerana tidak bersifat karya sejarah dan merupakan sebuah buku anekdot masa silam. Beliau tidak menafikan wujudnya unsur sejarah dalam karya ini tetapi karya ini penuh dengan unsur fiksyen dan khayalan seterusnya menjadikan karya ini tidak diiktiraf sebagai karya sejarah. Cerita mitos ini dapat dilihat melalui tiga kisah iaitu kisah asal-usul raja, pembukaan negeri dan kisah kedatangan agama Islam. Sebagai contoh, pengislaman Raja Kecil Besar yang dikatakan Nabi Muhammad s.a.w mengislamkannya di dalam mimpi. Namun, menurut catatan Tome Pires, Barbossa dan Valentijin didapati kedatangan Islam bukan daripada rajanya mengalami mimpi tetapi melalui perkahwinan Raja Melaka dengan Puteri Pasai yang beragama Islam (Mustafa Mohd Isa, 1999)[ii]. Menurut Abd. Rahman Kaeh (1974)[iii], Sejarah Melayu mempunyai unsur mitos, khayalan dan lagenda sekadar untuk membina karisma kesultanan melayu Melaka dan diakui oleh Yusof Iskandar. Unsur mitos ini diadakan oleh Tun Sri Lanang untuk membina karisma, kebesaran, keistimewaan, keunggulan nenek moyang raja-raja Melaka. Unsur ini juga membantu dalam meningkatkan institusi raja-raja diperkuatkan dengan konsep daulat dan derhaka. Namun unsur dongeng ini sangat terpesong daripada penulisan sejarah yang dianjurkan oleh Collingwood iaitu kerasionalan dan kemanusiaan[iv].

            Ciri-ciri mitos dan lagenda juga dapat dilihat melalui kisah Raja Suran yang turun kelaut dengan menggunakan peti kaca berkunci untuk melihat segala jenis kekayaan di dalam laut sehingga peti kaca tersebut telah jatuh ke Negeri Dika yang dihuni oleh Kaum Bu Sum dan Raja Suran telah hidup disana bersama isteri dan anaknya.

            …Maka dititahkan baginda berbuat sebuah peti kaca berkunci dan pesawat dari dalam maka Raja dihulurkan oranglah kedalaman laut maka peti itu pun tenggelam maka Raja Suran pun terus melihatdari dalam peti itu pelbagai kekayaan Allah. Maka Peti Raja Suran itu jatuh ke dalam bumi yang bernama Dika.

            Selain itu, Terdapat juga contoh-contoh lain yang turut menggunakan unsur mitos dan lagenda dalam konteks untuk menunjukkan kegagahan peribadi seseorang seperti kisah Hang Tuah atau cerita padi Wan Empuk dan Wan Malini yang berbuah emas apabila Raja Suran turun ke Bukit Siguntang Mahameru (A. Samad Ahmad, 1996)[v].

            Selain itu, penulisan Sejarah Melayu juga terdapat unsur untuk mengambil hati sultan dan pemerintah. Unsur ini banyak terdapat di dalam karya-karya pensejarahan tradisional kerana para penulis merasakan sekiranya mereka bersikap kritis maka segala kisah yang tertulis tidak akan disukai dan disenangi oleh raja atau pembesar yang menjadi pelindung dan penentu kepada nasib para penulis[vi]. Oleh itu, penulisan Sejarah Melayu bermotifkan untuk mengambil hati raja-raja kerana karyanya merupakan karangan tulisan golongan istana. Kemungkinan besar perkara yang tidak disukai dan menguntungkan golongan istana akan dihindarkan daripada wujud di dalam Sejarah Melayu tambah pula penulisannya merupakan hasil keluaran istana. Namun begitu, pengarang tetap cemerlang dalam menghuraikan jurai keturunan raja Melaka dengan lebih terperinci. Pengarang menggunakan kronologi masa untuk menampakkan turutan pemerintahan raja-raja Melayu Melaka seperti kronologi urutan zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah sehingga kejatuhan Melaka ke tangan Portugis semasa zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah[vii]. Sejarah Melayu juga tertulis terdapatnya hubungan diplomatik antara China dengan Melaka. Sumber lain turut menyatakan wujudnya hubungan ini seperti sumber daripada China iaitu Yung Lo Shih-lu (1425-1430), Hsuan-teShih-Tu (1438) Tai Zhong Shi Lu dan Liang Liji[viii]. Sebagai contoh Sejarah Dinasti Ming yang menyebut, “…dalam bulan kesepuluh 1403, Maharaja telah menghantar Yin Ching sebagai utusan China ke Negeri Melaka.”[ix] Hal ini menampakkan keluasan kuasa kerajaan Melaka pada zaman tersebut serta menaikkan nama raja-raja Melaka.

            Penulisan Sejarah Melayu yang berpusatkan kepada golongan istana dan pemerintah. Dalam Sejarah Melayu telah mengisahkan tentang keagungan Raja Iskandar Shah yang merupakan susur galur dan keturunan kepada Iskandar Zulkharnain yang telah membentuk Melaka dan memerintah Melaka sehingga menjadi sebuah negeri yang makmur dan kaya dengan segala kekayaan.

            Maka kota negeri Melaka sudahlah diperbuat orang
            Sekalian, diamlah baginda di Melaka. Adapun baginda di Singapura tiga
            Puluh dua tahun, Singapura pun alah oleh Jawa, Baginda bersemayam
            Di Melaka tiga tahun maka datanglah peredaran dunia, baginda pun mangkat
            Anakanda baginda Raja Muda kerajaan menggantikan ayahanda.
            baginda.terlalu adil perintah baginda itu.

            Apa yang menarik terdapat di dalam Sejarah Melayu ini ialah Tun Sri Lanang telah memperlihatkan ciri sosial dan budaya masyarakat Melayu dalam karyanya itu. Sejarah Melayu telah merakamkan banyak nilai budaya dan adat istiadat masyarakat melayu yang meliputi pemerintahan dan rakyat biasa. Sejarah Melayu menyelitkan adat di istana, adat menyembah raja, adat pertabalan, adat perkahwinan serta adat kematian. Sejarah Melayu telah menampakkan corak susunan sosial iaitu raja yang menjadi lambang kekuasaan berada di peringkat teratas dan golongan akhir ialah rakyat yang member taat setia kepada pemerintah tanpa belah bahagi. Abdul Rahman Kaeh (1974) pula telah menyusun peringkat sosial masyarakat melayu kepada empat bahagian iaitu di atas sekali ialah raja, diikuti bangsawan, rakyat biasa dan golongan hamba[x]. Peringkat sosial juga dapat dinaiktaraf apabila memiliki kebolehan seperti kisah Hang Tuah dan Badang yang telah menaiktaraf peringkat sosial mereka ketaraf bangsawan kerana kepahlawanan mereka[xi].

            Sejarah Melayu tidak mempunyai sumber rujukan yang kukuh. Hal ini menyukarkan Sejarah Melayu untuk diterima sebagai dokumen sejarah. Sumber merupakan sesuatu yang amat penting dalam pensejarahan moden. Sumber merupakan sebuah karya yang menyediakan maklumat atau bukti yang kukuh dan tulen tentang sesuatu peristiwa atau kenyataan (Suntralingam, 1985)[xii].Sumber merupakan saksi dan bukti kepada kenyataan yang dibuat dan tanpa sumber, sesuatu fakta akan ditolak atau diragui kesahihannya. Sumber diperlukan bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan fakta sama ada fakta tersebut ditokoktambah atau dikurangkan bagi memperoleh sesuatu kepentingan. Kelemahan ini jelas dilakukan di dalam Sejarah Melayu kerana tidak diterangkan sama sekali berkenaan sumber yang diperoleh untuk penghasilan karya ini. Kaedah penyelidikan tidak jelas dilakukan oleh Tun Sri Lanang serta tidak menyenaraikan nama saksi secara terperinci. Kekurangan sumber dalam karya membuatkan Sejarah Melayu sukar diterima sebagai satu dokumen sejarah yang tulen.



[i] M.Rajantheran. (1999). Sejarah Melayu: Kesan Hubungan Kebudayaan Melayu dan India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[ii] Mustafa Mohd Isa. (1999). Kajian Teks Melayu Klasik Terpilih. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
[iii] Abd. Rahman Kaeh. (1974). Sejarah Melayu: Satu Perbicaraan Kritis dari Pelbagai Bidang. Kuala Lumpur: Heinemann Educational Book.
[iv] Ibid.

[v] A. Samad Ahmad. (1996). Sulalatus Salatin-Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

[vi] Arba’iyah Mohd Noor. (2002). Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

[vii] Mohd Supian Sabtu. (2005). Pengukuhan Melaka oleh Parameswara: Kesan Perkembangan dan Kronologi Numistik. Selangor: Unique Communication.
[viii] Mohd Yusof Hashim. (2005). Parameswara dan Pembukaan Kerajaan Awal Melaka. Selangor: Unique Communication.
[ix] Awang Mohd. (2005). Pemaisura: Parameswara Pengasas Empayar Melaka. Selangor: Unique Communication.
[x] Abd. Rahman Kaeh. (1974). Sejarah Melayu: Satu Perbicaraan Kritis dari Pelbagai Bidang. Kuala Lumpur: Heinemann Educational Book.

[xi] Ibid.

[xii] Suntralingam. (1985). Pengenalan Kepada Sejarah. Kuala Lumpur : Fajar Bakti.

Sejarah Tahun 4 : Kaedah Pencarian Maklumat Sejarah

Sumber Sejarah Mata Pelajaran Sejarah Tahun 4 Sekolah Rendah Tajuk 1 : Mari Belajar Sejarah https://www.youtube.com/watch?v=M...