Perjuangan dalam menuntut kemerdekaan
melibatkan ramai tokoh sama ada yang berhaluan kanan atau pun berhaluan kiri.
Tokoh berhaluan kanan seperti Tunku Abdul Rahman memainkan peranan penting
dalam menuntut kemerdekaan melalui pendekatan rundingan beliau. Perjuangan
kemerdekaan bukan sahaja melibatkan golongan berhaluan kanan, terdapat juga
tokoh yang memperkuatkan lagi memperjuangkan kemerdekaan dengan menggunakan
pendekatan radikal ataupun berhaluan kiri. Perlulah difahami bahawa pendekatan
radikal sebelum merdeka amat berbeza dengan masa kini. Menurut Ku Seman Ku
Hussain (2005), Datuk Profesor Ramlah Adam pernah menulis bahawa walaupun tokoh
berhaluan kiri ini bersifat radikal, namun dalam perjuangan menuntut
kemerdekaan sangat bermakna dalam memberi satu perjuangan yang kental dan tidak
bersifat pak turut.
Radikalisme di
Tanah Melayu merupakan semangat perjuangan yang membela masyarakat daripada
pelbagai aspek melalui cara tidak bekerjasama dengan pihak British menyebabkan
mereka digelar dan dicop sebagai golongan berhaluan kiri. Walaupun berhaluan
kiri, namun fokus perjuangan mereka tetap untuk menuntut kemerdekaan berbanding
yang berlaku pada hari ini yang lebih bersifat peribadi. Hal ini menunjukkan
bahawa tokoh berhaluan kiri seperti Ahmad Boestamam
turut membakar lagi perjuangan menuntut kemerdekaan melalui haluan kiri yang
tidak berkompromi dengan penjajah British.
Ahmad
Boestamam telah melakukan pelbagai usaha dalam menuntut kemerdekaan dan salah
satu usaha beliau ialah melalui penulisan. Beliau menekankan kesedaran politik
dalam kalangan masyarakat Melayu melalui penulisan beliau sehinggakan beliau
merupakan antara wartawan akhbar yang sangat prolifik pada
zaman tersebut. Beliau juga banyak berkarya di dalam akhbar kerana pada masa
itu akhbar merupakan wadah utama penduduk Tanah Melayu bagi memperoleh maklumat
sejak Perang Dunia Kedua berbeza dengan zaman sekarang yang segala sumber
maklumat hanya berada di hujung jari. Oleh itu, Ahmad Boestamam mendapati
kaedah untuk membakar semangat bangsa Melayu untuk menentang British melalui
penulisan di akhbar merupakan cara yang paling berkesan untuk menyuarakan
semangat tersebut di seluruh Tanah Melayu.
Ramai
tokoh radikal yang mempelopori bidang kewartawanan dan kesusteraan bagi
menyedarkan masyarakat Tanah Melayu untuk merdeka dan telah memberikan banyak
kesan baik kepada dasar perjuangan mereka seperti tertubuhnya secara rasmi
akhbar Suara Rakyat
pada Ogos 1945. Menurut Ishak Saat (2010), akhbar Suara Rakyat membolehkan
segala luahan boleh dibentuk di dalam penulisan di dada-dada akhbar ini tanpa
perlu rasa takut. Kesempatan ini digunakan Ahmad Boestamam untuk mengetengahkan
pelbagai idea dan pendapat beliau tentang kemunduran orang Melayu membuatkan
mereka perlu bangkit untuk membela bangsa mereka sendiri.
Wadah Suara Rakyat
ini digunakan sebaiknya oleh Ahmad Boestamam sehinggakan dapat mematangkan
bentuk penulisan beliau dalam memberikan pemikiran yang bernas serta tajam
tetapi mampu menyentuh hati masyarakat menyebababkan beliau sentiasa diawasi
oleh pihak British. Beliau juga banyak
mengkritik tindakkan British yang menindas masyarakat Melayu dan bersifat tidak
demokratik. Ahmad Boestamam telah membuatkan akhbar Suara Rakyat berkembang dan
diterima baik oleh masyarakat sehinggakan dapat mewujudkan satu akhbar baru
yang ditulis dalam bahasa Inggeris iaitu Voice
of The People bagi menarik golongan asing dan elit Melayu dalam perjuangan
menuntut kemerdekaan.
Ahmad Boestamam
juga merupakan orang yang bertanggungjawab menyusun Testament Politik Angkatan Pemuda Insaf (API) yang menjadi lambang
kepada semangat juangnya yang selalu membara. Tema testament tersebut telah menjadi dasar perjuangan API iaitu Merdeka
Dengan Darah. Testament ini
menerangkan tentang kebangkitan pergerakkan tanpa mengira ras tenaga pemuda di
Malaya dan di seluruh Dunia. Testament
yang siap pada 17 Februari 1946 ini menunjukkan sifat radikal beliau dalam
menentang penjajah dan telah membakar semangat ramai pemuda Melayu pada masa
itu untuk berjuang menuntut kemerdekaan menentang penjajahan British dengan
tegas dan keras. Hal ini dapat dilihat melalui kata-kata Ahmad Boestamam di
halaman 3 testament tersebut (Ahmad
Boestamam, 1946):
“Kita
menghadapi penjajah dengan revolutie. Kita tidak segan membasahi bumi ini
dengan darah. Pemuda biar hancur, asal tanah air tak hancur.”
Selain akhbar dan
dokumen, Ahmad Boestamam juga berkarya melalui buku-buku. Penulisan melalui
buku tidak sama dengan penulisan beliau melalui akhbar kerana penulisan melalui
buku lebih tertumpu kepada pergolakkan kehidupan beliau yang penuh dengan
perjuangan, pengorbanan dan penderitaan. Buku seperti Tujuh Tahun Malam
Memanjang banyak memberikan tumpuan tentang kisah dan pengalaman beliau yang
berkali-kali menjadi tahanan dan kehidupannya yang banyak dihabiskan di sebalik
tiang besi. Karya ini menyentuh hati ramai pemuda berkenaan dengan pengorbanan
Ahmad Boestamam dalam menuntut kemerdekaan sehinggakan terciptanya sebuah
Memior Ahmad Boestamam yang mengangkat beliau sebagai tokoh gemilang semasa
zamannya.
Ahmad Boestamam
juga melaksanakan misinya untuk mencapai kemerdekaan dengan menubuhkan parti
politik yang dapat menyuarakan hak dan kemerdekaan masyarakat di Tanah Melayu.
Selepas Tanah Melayu dikosongkan oleh Jepun, Parti Kebangsaan Melayu Malaya
(PKMM) telah ditubuhkan oleh Amad Boestamam dan beberapa tokoh yang lain kerana
berlakunya kucar-kacir yang dilakukan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) pada
1945. Penubuhan PKMM juga hasil daripada kesedaran masyarakat Melayu itu
sendiri yang terkesan dengan semangat yang diputikkan melalui akhbar Suara
Rakyat. Masyarakat Melayu mulai sedar bahawa perlunya wujud parti politik
Melayu yang menyuarakan segala tuntutan rakyat melalui peranan yang dimainkan
oleh akhbar Suara Rakyat.
PKMM merupakan
parti politik pertama yang menyaksikan keterlibatan Ahmad Boestamam secara
langsung dalam memperjuangkan kemerdekaan negara dan menjayakan cita-cita
politiknya. Pada asalnya, PKMM pernah menyertai UMNO semasa Kongres pada tahun
1946. PKMM telah keluar daripada UMNO kerana kemarahan Ahmad Boestamam serta
tokoh lain terhadap persamaan taraf yang diperkenalkan oleh Dato’ Onn Jaafar
pada Jun 1946.
Bagi merancakkan
lagi langkah perjuangan beliau, Angkatan Pemuda Insaf (API) telah ditubuhkan
pada 1946 dan diletakkan dibawah pimpinan beliau sebagai Ketua 1. API yang pada asalnya merupakan sayap pemuda
PKMM tetapi telah keluar daripada PKMM kerana beliau tidak bersetuju dengan
sokongan Dr. Burhanuddin al-Helmy terhadap Kongres 1946 serta tidak bersetuju
dengan apa yang ingin dicapai oleh kongres tersebut. Hal ini kerana Ahmad
Boestamam berpendapat bahawa perjuangan radikal PKMM akan tenggelam sekiranya
terus bersekutu dengan UMNO yang bersifat sederhana dengan British yang
bertentangan dengan tema Merdeka Dengan Darah.
API dianggotai
oleh barisan pemuda yang bersemangat tinggi dalam memperjuangkan kemerdekaan
menjadikan API dianggap ekstrem. Kepimpinan Ahmad Boestamam melalui API
menjadikan API sebagai sebuah parti politik yang paling radikal di Tanah Melayu
sehinggakan mampu membakar semangat pemuda Melayu dan semangat anti penjajah.
Hal ini menyebabkan API mampu bergerak sebagai parti politik yang tersendiri
setelah terpisah daripada menjadi sayap pemuda PKMM. Pimpinan Ahmad Boestamam
menyebabkan API sentiasa bersedia untuk menghadapi segala situasi dan tersusun
sehinggakan pakaian anggota API turut diseragamkan. Menurut Abdul Majid Salleh
(2004), pemuda API dilengkapi dengan pakaian seragam iaitu berseluar putih,
berkemeja putih berlengan panjang dengan kocek dua tertutup, bersongkok putih
ala tentera, dilatih untuk berbaris dan mempunyai lagu patriotik sendiri yang
bertajuk Darah Rakyat.
Ketersusunan
anggota API di bawah pimpinan Ahmad Boestamam menjadi ketakutan Kerajaan
British terutama dengan dasar penentangan penjajahan British secara terbuka dan
menuntut kemerdekaan dengan darah. British telah bertindak untuk menahan Ahmad
Boestamam kerana telah menerbitkan Testament
Politik Api yang mampu membangkitkan semangat kebangsaan rakyat bagi menggugat
pemerintahan British serta cita-cita beliau ingin mencantumkan Negeri-negeri
Melayu dengan Indonesia. Ahmad Boestamam telah dipenjarakan selama tujuh tahun
bermula daripada Julai 1948 sehingga Jun 1955 kerana dianggap merbahaya kepada
keselamatan politik British. Hal ini kerana percantuman wilayah dengan
Indonesia akan menggugatkan pemerintahan British sebagaimana yang berlaku di
Indonesia yang berjaya menewaskan pemerintahan Belanda.
Namun, penjara
tidak mampu memenjarakan semangat kemerdekaan Ahmad Boestamam. Selepas
dibebaskan pada tahun 1955, beliau telah menubuhkan Parti Rakyat Malaya (PRM)
dengan menggunakan ideologi Sukarno iaitu sosialisme
marhaenisme. Beliau juga telah membentuk Socialist Front (SF) hasil daripada kerjasama dengan Parti Buruh
Malaya. Namun, kerjasama ini menemui sedikit kegagalan dalam beberapa
pilihanraya umum di Tanah Melayu kerana perjuangan berbentuk radikal dan
sosialis kurang diminati oleh orang Melayu pada masa itu.
Sebagai tambahan,
apakah yang menyebabkan Ahmad Boestamam percaya bahawa perjuagan yang bersikap
radikal dan berhaluan kiri ini membolehkan Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan?
Jika dilihat, perjuangan beliau banyak menggunakan prinsip dan pemikiran
perjuangan daripada Indonesia. Beliau banyak meletakkan prinsip yang dipegang
oleh Indonesia di dalam karya beliau terutama di dalam Testament Politik API. Ideologi sosialime
marhaenisme juga merupakan pemikiran daripada pemimpin Indonesia, Sukarno.
Hal ini berkemungkinan beliau telah melihat bagaimana kejayaan Indonesia
menewaskan penjajah Belanda tanpa ada sebarang kompromi dengan Belanda, malah
penentangan yang kuat telah dilancarkan.
Konsep yang sama
juga ingin digunakan ke atas British tetapi konsep haluan kiri ini kurang
diminati oleh orang Melayu. Orang Melayu lebih tertarik dengan pemerintahan
UMNO kerana ditadbir oleh golongan elit tradisional seperti dasar Melayu Raya
yang ingin dilancarkan oleh Ahmad Boestamam kurang mendapat pengaruh kerana
masyarakat Melayu pada masa itu lebih tertarik dengan UMNO yang berhaluan
kanan. Golongan berhaluan kanan pada masa itu kebanyakkannya bekerja dengan
British dan menyebelahi Raja-raja Melayu. Sifat menyebelahi Raja-raja Melayu
inilah yang menyebabkan golongan berhaluan kanan mendapat sambutan kerana
masyarakat Melayu pada masa itu sangat membela institusi Raja.
Walaupun begitu,
Ahmad Boestamam telah banyak berjasa dalam membantu dalam perjuagan kearah
menuntut kemerdekaan negara. Beliau banyak membakar semangat dan menyedarkan
orang Melayu supaya bangkit dan menuntut tanah air mereka sendiri. Ahmad Boestamam
telah mampu menggugat kedudukan British dan membuatkan pihak British berfikir
bahawa bangsa Melayu boleh bersatu dan berjuang mengorbankan segalanya untuk
menewaskan penjajah demi untuk menuntut hak dan mempertahankan negara, bangsa
dan agama.