Sejarah Tahun 4 : Kaedah Pencarian Maklumat Sejarah

Sumber Sejarah
Mata Pelajaran Sejarah Tahun 4 Sekolah Rendah
Tajuk 1 : Mari Belajar Sejarah



https://www.youtube.com/watch?v=MUEX7u2dXVk&feature=youtu.be

Video penerangan tentang sumber sejarah. Pembikinan berasaskan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP). Memberi kefahaman kepada murid-murid tentang apa yang dimaksudkan dengan sejarah. Boleh digunakan sebagai bahan bantu mengajar (BBM) guru di sekolah.

Standard Kandungan    : 1.1 Pengertian sejarah dan kemahiran sejarah.


Standard Pembelajaran : 1.1.1 Menyatakan pengertian sejarah dan sumber sejarah.

[Nota PPISMP] Sejarah Malaysia Moden : Ahmad Boestamam

              Perjuangan dalam menuntut kemerdekaan melibatkan ramai tokoh sama ada yang berhaluan kanan atau pun berhaluan kiri. Tokoh berhaluan kanan seperti Tunku Abdul Rahman memainkan peranan penting dalam menuntut kemerdekaan melalui pendekatan rundingan beliau. Perjuangan kemerdekaan bukan sahaja melibatkan golongan berhaluan kanan, terdapat juga tokoh yang memperkuatkan lagi memperjuangkan kemerdekaan dengan menggunakan pendekatan radikal ataupun berhaluan kiri. Perlulah difahami bahawa pendekatan radikal sebelum merdeka amat berbeza dengan masa kini. Menurut Ku Seman Ku Hussain (2005), Datuk Profesor Ramlah Adam pernah menulis bahawa walaupun tokoh berhaluan kiri ini bersifat radikal, namun dalam perjuangan menuntut kemerdekaan sangat bermakna dalam memberi satu perjuangan yang kental dan tidak bersifat pak turut.

Radikalisme di Tanah Melayu merupakan semangat perjuangan yang membela masyarakat daripada pelbagai aspek melalui cara tidak bekerjasama dengan pihak British menyebabkan mereka digelar dan dicop sebagai golongan berhaluan kiri. Walaupun berhaluan kiri, namun fokus perjuangan mereka tetap untuk menuntut kemerdekaan berbanding yang berlaku pada hari ini yang lebih bersifat peribadi. Hal ini menunjukkan bahawa tokoh berhaluan kiri seperti Ahmad Boestamam[1] turut membakar lagi perjuangan menuntut kemerdekaan melalui haluan kiri yang tidak berkompromi dengan penjajah British.

            Ahmad Boestamam telah melakukan pelbagai usaha dalam menuntut kemerdekaan dan salah satu usaha beliau ialah melalui penulisan. Beliau menekankan kesedaran politik dalam kalangan masyarakat Melayu melalui penulisan beliau sehinggakan beliau merupakan antara wartawan akhbar yang sangat prolifik[2] pada zaman tersebut. Beliau juga banyak berkarya di dalam akhbar kerana pada masa itu akhbar merupakan wadah utama penduduk Tanah Melayu bagi memperoleh maklumat sejak Perang Dunia Kedua berbeza dengan zaman sekarang yang segala sumber maklumat hanya berada di hujung jari. Oleh itu, Ahmad Boestamam mendapati kaedah untuk membakar semangat bangsa Melayu untuk menentang British melalui penulisan di akhbar merupakan cara yang paling berkesan untuk menyuarakan semangat tersebut di seluruh Tanah Melayu.

            Ramai tokoh radikal yang mempelopori bidang kewartawanan dan kesusteraan bagi menyedarkan masyarakat Tanah Melayu untuk merdeka dan telah memberikan banyak kesan baik kepada dasar perjuangan mereka seperti tertubuhnya secara rasmi akhbar Suara Rakyat[3] pada Ogos 1945. Menurut Ishak Saat (2010), akhbar Suara Rakyat membolehkan segala luahan boleh dibentuk di dalam penulisan di dada-dada akhbar ini tanpa perlu rasa takut. Kesempatan ini digunakan Ahmad Boestamam untuk mengetengahkan pelbagai idea dan pendapat beliau tentang kemunduran orang Melayu membuatkan mereka perlu bangkit untuk membela bangsa mereka sendiri.

Wadah Suara Rakyat ini digunakan sebaiknya oleh Ahmad Boestamam sehinggakan dapat mematangkan bentuk penulisan beliau dalam memberikan pemikiran yang bernas serta tajam tetapi mampu menyentuh hati masyarakat menyebababkan beliau sentiasa diawasi oleh pihak British.  Beliau juga banyak mengkritik tindakkan British yang menindas masyarakat Melayu dan bersifat tidak demokratik. Ahmad Boestamam telah membuatkan akhbar Suara Rakyat berkembang dan diterima baik oleh masyarakat sehinggakan dapat mewujudkan satu akhbar baru yang ditulis dalam bahasa Inggeris iaitu Voice of The People bagi menarik golongan asing dan elit Melayu dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Ahmad Boestamam juga merupakan orang yang bertanggungjawab menyusun Testament Politik Angkatan Pemuda Insaf (API) yang menjadi lambang kepada semangat juangnya yang selalu membara. Tema testament tersebut telah menjadi dasar perjuangan API iaitu Merdeka Dengan Darah. Testament ini menerangkan tentang kebangkitan pergerakkan tanpa mengira ras tenaga pemuda di Malaya dan di seluruh Dunia. Testament yang siap pada 17 Februari 1946 ini menunjukkan sifat radikal beliau dalam menentang penjajah dan telah membakar semangat ramai pemuda Melayu pada masa itu untuk berjuang menuntut kemerdekaan menentang penjajahan British dengan tegas dan keras. Hal ini dapat dilihat melalui kata-kata Ahmad Boestamam di halaman 3 testament tersebut (Ahmad Boestamam, 1946):

“Kita menghadapi penjajah dengan revolutie. Kita tidak segan membasahi bumi ini dengan darah. Pemuda biar hancur, asal tanah air tak hancur.”
Selain akhbar dan dokumen, Ahmad Boestamam juga berkarya melalui buku-buku. Penulisan melalui buku tidak sama dengan penulisan beliau melalui akhbar kerana penulisan melalui buku lebih tertumpu kepada pergolakkan kehidupan beliau yang penuh dengan perjuangan, pengorbanan dan penderitaan. Buku seperti Tujuh Tahun Malam Memanjang banyak memberikan tumpuan tentang kisah dan pengalaman beliau yang berkali-kali menjadi tahanan dan kehidupannya yang banyak dihabiskan di sebalik tiang besi. Karya ini menyentuh hati ramai pemuda berkenaan dengan pengorbanan Ahmad Boestamam dalam menuntut kemerdekaan sehinggakan terciptanya sebuah Memior Ahmad Boestamam yang mengangkat beliau sebagai tokoh gemilang semasa zamannya.

Ahmad Boestamam juga melaksanakan misinya untuk mencapai kemerdekaan dengan menubuhkan parti politik yang dapat menyuarakan hak dan kemerdekaan masyarakat di Tanah Melayu. Selepas Tanah Melayu dikosongkan oleh Jepun, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) telah ditubuhkan oleh Amad Boestamam dan beberapa tokoh yang lain kerana berlakunya kucar-kacir yang dilakukan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1945. Penubuhan PKMM juga hasil daripada kesedaran masyarakat Melayu itu sendiri yang terkesan dengan semangat yang diputikkan melalui akhbar Suara Rakyat. Masyarakat Melayu mulai sedar bahawa perlunya wujud parti politik Melayu yang menyuarakan segala tuntutan rakyat melalui peranan yang dimainkan oleh akhbar Suara Rakyat.

PKMM merupakan parti politik pertama yang menyaksikan keterlibatan Ahmad Boestamam secara langsung dalam memperjuangkan kemerdekaan negara dan menjayakan cita-cita politiknya. Pada asalnya, PKMM pernah menyertai UMNO semasa Kongres pada tahun 1946. PKMM telah keluar daripada UMNO kerana kemarahan Ahmad Boestamam serta tokoh lain terhadap persamaan taraf yang diperkenalkan oleh Dato’ Onn Jaafar pada Jun 1946.

Bagi merancakkan lagi langkah perjuangan beliau, Angkatan Pemuda Insaf (API) telah ditubuhkan pada 1946 dan diletakkan dibawah pimpinan beliau sebagai Ketua 1.  API yang pada asalnya merupakan sayap pemuda PKMM tetapi telah keluar daripada PKMM kerana beliau tidak bersetuju dengan sokongan Dr. Burhanuddin al-Helmy terhadap Kongres 1946 serta tidak bersetuju dengan apa yang ingin dicapai oleh kongres tersebut. Hal ini kerana Ahmad Boestamam berpendapat bahawa perjuangan radikal PKMM akan tenggelam sekiranya terus bersekutu dengan UMNO yang bersifat sederhana dengan British yang bertentangan dengan tema Merdeka Dengan Darah.

API dianggotai oleh barisan pemuda yang bersemangat tinggi dalam memperjuangkan kemerdekaan menjadikan API dianggap ekstrem. Kepimpinan Ahmad Boestamam melalui API menjadikan API sebagai sebuah parti politik yang paling radikal di Tanah Melayu sehinggakan mampu membakar semangat pemuda Melayu dan semangat anti penjajah. Hal ini menyebabkan API mampu bergerak sebagai parti politik yang tersendiri setelah terpisah daripada menjadi sayap pemuda PKMM. Pimpinan Ahmad Boestamam menyebabkan API sentiasa bersedia untuk menghadapi segala situasi dan tersusun sehinggakan pakaian anggota API turut diseragamkan. Menurut Abdul Majid Salleh (2004), pemuda API dilengkapi dengan pakaian seragam iaitu berseluar putih, berkemeja putih berlengan panjang dengan kocek dua tertutup, bersongkok putih ala tentera, dilatih untuk berbaris dan mempunyai lagu patriotik sendiri yang bertajuk Darah Rakyat.

Ketersusunan anggota API di bawah pimpinan Ahmad Boestamam menjadi ketakutan Kerajaan British terutama dengan dasar penentangan penjajahan British secara terbuka dan menuntut kemerdekaan dengan darah. British telah bertindak untuk menahan Ahmad Boestamam kerana telah menerbitkan Testament Politik Api yang mampu membangkitkan semangat kebangsaan rakyat bagi menggugat pemerintahan British serta cita-cita beliau ingin mencantumkan Negeri-negeri Melayu dengan Indonesia. Ahmad Boestamam telah dipenjarakan selama tujuh tahun bermula daripada Julai 1948 sehingga Jun 1955 kerana dianggap merbahaya kepada keselamatan politik British. Hal ini kerana percantuman wilayah dengan Indonesia akan menggugatkan pemerintahan British sebagaimana yang berlaku di Indonesia yang berjaya menewaskan pemerintahan Belanda.

Namun, penjara tidak mampu memenjarakan semangat kemerdekaan Ahmad Boestamam. Selepas dibebaskan pada tahun 1955, beliau telah menubuhkan Parti Rakyat Malaya (PRM) dengan menggunakan ideologi Sukarno iaitu sosialisme marhaenisme. Beliau juga telah membentuk Socialist Front (SF) hasil daripada kerjasama dengan Parti Buruh Malaya. Namun, kerjasama ini menemui sedikit kegagalan dalam beberapa pilihanraya umum di Tanah Melayu kerana perjuangan berbentuk radikal dan sosialis kurang diminati oleh orang Melayu pada masa itu.

Sebagai tambahan, apakah yang menyebabkan Ahmad Boestamam percaya bahawa perjuagan yang bersikap radikal dan berhaluan kiri ini membolehkan Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan? Jika dilihat, perjuangan beliau banyak menggunakan prinsip dan pemikiran perjuangan daripada Indonesia. Beliau banyak meletakkan prinsip yang dipegang oleh Indonesia di dalam karya beliau terutama di dalam Testament Politik API. Ideologi sosialime marhaenisme juga merupakan pemikiran daripada pemimpin Indonesia, Sukarno. Hal ini berkemungkinan beliau telah melihat bagaimana kejayaan Indonesia menewaskan penjajah Belanda tanpa ada sebarang kompromi dengan Belanda, malah penentangan yang kuat telah dilancarkan.

Konsep yang sama juga ingin digunakan ke atas British tetapi konsep haluan kiri ini kurang diminati oleh orang Melayu. Orang Melayu lebih tertarik dengan pemerintahan UMNO kerana ditadbir oleh golongan elit tradisional seperti dasar Melayu Raya yang ingin dilancarkan oleh Ahmad Boestamam kurang mendapat pengaruh kerana masyarakat Melayu pada masa itu lebih tertarik dengan UMNO yang berhaluan kanan. Golongan berhaluan kanan pada masa itu kebanyakkannya bekerja dengan British dan menyebelahi Raja-raja Melayu. Sifat menyebelahi Raja-raja Melayu inilah yang menyebabkan golongan berhaluan kanan mendapat sambutan kerana masyarakat Melayu pada masa itu sangat membela institusi Raja.

Walaupun begitu, Ahmad Boestamam telah banyak berjasa dalam membantu dalam perjuagan kearah menuntut kemerdekaan negara. Beliau banyak membakar semangat dan menyedarkan orang Melayu supaya bangkit dan menuntut tanah air mereka sendiri. Ahmad Boestamam telah mampu menggugat kedudukan British dan membuatkan pihak British berfikir bahawa bangsa Melayu boleh bersatu dan berjuang mengorbankan segalanya untuk menewaskan penjajah demi untuk menuntut hak dan mempertahankan negara, bangsa dan agama.



[1] Nama sebenar beliau ialah Abdullah Thani bin Raja Kecil yang dilahirkan pada 30 November 1920 di Kampung Bahrang Ulu, Tanjung Malim, Perak. Memasuki Sekolah Melayu Behrang Ulu pada usia enam tahun dan memasuki Anderson School, Ipoh serta tamat Darjah Lima dan mendapat Gred 1 dalam Kelas Melayu Khas. Nama Ahmad Boestamam merupakan ilham daripada nama Subhas ChandraBose iaitu seorang pemimpin liga kemerdekaan India (Ramlah Adam, 2009).
[2] Prolifik bermaksud penulis yang banyak menghasilkan karya penulisan (Kamus Dewan, 2005).
[3] Sewaktu peristiwa peralihan kuasa pemerintahan Jepun, MPAJA dan British, tokoh politik radikal telah bertindak merampas pejabat dan mengambil alih pejabat Pencetakkan Perak Shimbun. Hal ini membolehkan mereka menerbitkan akhbar golongan radikal sendiri dalam usaha menuntut kemerdekaan (Ramlah Adam,2009).

[Nota PPISMP] Sejarah Malaysia Moden : Dato' Onn Jaafar

           Dato’ Onn Jaafar[1] merupakan tokoh lain yang memainkan peranan yang besar dalam memperjuangkan kemerdekaan negara dalam bidang politik. Beliau mampu menonjolkan diri beliau sebagai tokoh politik dalam mewujudkan semangat kebangsaan ke arah kemerdekaan dalam diri masyarakat Melayu dan menjadi penyatu kepada bangsa Melayu. Hal ini adalah kerana Dato’ Onn mempunyai pengalaman hidup dalam zaman penjajahan yang memberikan impak yang besar ke dalam diri beliau untuk membela nasib bangsa beliau.

            Kemuncak zaman ketokohan beliau dalam membela nasib bangsa bagi mencapai kemerdekaan ialah ketika British ingin melaksanakan Malayan Union di Tanah Melayu. Kehadiran Malayan Union sebagai satu bentuk jajahan baru oleh British disedari oleh Dato’ Onn kerana keterlibatan beliau dalam bidang kewartawanan serta penghayatan dan analisis beliau terhadap agenda British ini yang mengandungi strategi bersifat jajahan. Hal ini kerana Malayan Union digunakan oleh British untuk mengambil alih kuasa Sultan dan melenyapkan keistimewaan serta hak istimewa orang Melayu.

Pengenalan Malayan Union ini telah menimbulkan kemarahan orang Melayu kerana hak mereka sebagai pemilik tanah air dan kedudukan Raja-raja Melayu seperti telah dipertikaikan. Kemarahan ini telah menimbulkan kebangkitan semangat kebangsaan yang selama ini hanya dipendamkan. Semangat kebangsaan ini mula membakar di dada-dada orang Melayu sejak pendudukan Jepun di Tanah Melayu lagi kerana dasar dan kejayaan yang diraih oleh Jepun semasa Perang Dunia Kedua membuatkan mereka berasa yakin untuk menuntut kemerdekaan negara. Kemarakan semangat di dalam dada ditambah lagi dengan kejayaan Indonesia dalam membebaskan negara mereka daripada penjajahan Belanda menjadi inspirasi ramai tokoh dan pejuang kemerdekaan Tanah Melayu pada masa itu. Kehadiran Malayan Union bagaikan menambah minyak tanah ke dalam api yang akhirnya membuatkan orang Melayu mahu bangkit menentang Malayan Union.

Namun, pada waktu itu tiada kesatuan dan kesepaduan bangsa bagi menentang Malayan Union. Parti yang telah wujud pada waktu itu seperti PKMM tidak menentang sama sekali Malayan Union menyebabkan orang Melayu tiada medan untuk menunjukkan penentangan mereka. Dato’ Onn muncul sebagai penyatu bangsa Melayu untuk menjayakan misi pembelaan hak bangsa Melayu pada masa itu. Beliau telah menubuhkan Kongres Melayu Se Malaya untuk menyatukan orang Melayu dalam menentang Malayan Union. Menurut Nazaruddin Mohd Jadi (1992), Dato’ Onn telah menubuhkan UMNO dan menjadi presiden UMNO yang pertama setelah berlangsungnya Kongres Melayu pertama di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 1 Mac 1946 kerana sifat berani beliau mengkritik pemerintah British. Menurut Fadzil Abdullah, Kassim Thukiman & Md Zin Idros (2007), Dato’ Onn percaya bahawa hanya melalui UMNO, orang Melayu mampu berjuang dengan teratur untuk mendesak British supaya membubarkan Malayan Union.

Perjuangan hebat beliau dalam merancang dan menyusun strategi untuk menentang Malayan Union melalui UMNO sangat hebat sehinggakan British terpaksa membubarkan Malayan Union pada 1 Februari 1948. Hal ini kerana kejayaan Dato’ Onn dalam memujuk Raja-raja Melayu memulaukan upacara pelantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor pertama Malayan Union dan memulaukan Malayan Union serta berkabung selama 7 hari dengan memakai songkok yang berjalur putih atas persetujuan Kongres pada 1 Mac 1946. Beliau juga berjaya mengumpulkan lebih kurang 20 000 orang untuk membuat bantahan terhadap penubuhan Malayan Union dan membakar semangat orang-orang Melayu dalam ucapannya supaya terus bersatu dan berkabung untuk menentang rancangan jahat British (Ramlah Adam, 1993):

“Ini adalah Tanah Melayu, tanah orang-orang Melayu. Ini adalah hak kita, bukan sahaja dari segi sejarah tetapi juga di sisi undang-undang. Ia tidak boleh dilepaskan dengan cara yang dilakukan oleh Sir MacMichael. Perjanjian-perjanjian yang dibuat oleh datuk nenek kita dahulu tidak boleh disifatkan sebagai carik-carik kertas sahaja. Orang-orang Melayu tidak boleh membiarkan perkaraseumpama ini berlakudengan begitu sahaja. Kita berazam untuk memperolehi apa yang menjadi hak kita. Sehingga itu, biar apa juga yang berlaku, kita akan berjuang terus.”
            Dengan ini kita dapat melihat betapa bersungguhnya perjuangan Dato’ Onn dalam mengembalikan maruah bangsa, negara dan kuasa Raja-raja Melayu. Kejayaan beliau dalam memperngaruhi masyarakat Melayu pada masa itu kerana beliau begitu dekat serta memahami keadaan rakyat pada ketika itu. Hal ini kerana beliau memiliki pendidikan Inggeris, Melayu dan agama membuatkan beliau mudah disenangi ditambah lagi dengan sifat kepimpinan beliau berdasarkan pengalaman beliau sebelum ini iaitu beliau pernah memegang jawatan Penolong Pegawai Pemungut Hasil Tanah Muar dan menjadi Ahli mesyuarat Negeri Johor.

 Perjuangan beliau bersambung dengan mencadangkan agar membuka keahlian UMNO kepada kaum bukan Melayu dan cadangan untuk menukarkan nama UMNO kepada Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu. Namun, cadangan beliau telah ditentang oleh ahli UMNO kerana dasar perlembagaan UMNO ialah UMNO hanya untuk orang Melayu sahaja menyebabkan beliau meletakkan jawatan sebagai presiden Umno secara sukarela semasa persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam pada 25 Ogos 1951 yang turut diikuti oleh kebanyakkan anggota jawatankuasanya.

            Namun, pejuangan Dato’ Onn tidak putus begitu sahaja kerana beliau tetap dengan pendirian beliau bagi melahirkan satu kesatuan yang melibatkan kesemua kaum bagi mencapai kemerdekaan. Beliau telah menubuhkan Independence of Malaya Party (IMP) pada 16 September 1951 yang telah dibuka keahliannya kepada semua kaum yang terdapat di Tanah Melayu dengan tujuan untuk berjuangkan kemerdekaan tanpa mengira kaum dan keturunan. Pada awalnya, IMP mendapat sambutan daripada orang Cina dan India kerana kurangnya penglibatan orang Melayu dan penentangan IMP terhadap dasar ‘Malaya untuk Malayan’. Namun, pemimpin kaum Cina dan India telah berpaling tadah terhadap IMP kerana mereka sedar tanpa penyertaan dan pengaruh yang besar oleh orang Melayu akan menyebabkan pergerakkan politik tersebut tidak akan berjaya. Di samping itu, penubuhan Malay Chinese Association (MCA)[2] dan Malayan Indian Congress (MIC)[3] telah mengurangkan lagi sambutan ke atas IMP kerana kewujudan kesatuan yang berasaskan bangsa lebih mendapat sambutan daripada bangsa mereka masing-masing kerana perjuangannya lebih fokus kepda keperluan bangsa tersebut. Pemimpin Cina dan India menganggap bahawa dasar Dato’ Onn hanyalah menyatukan dan memerdekakan Tanah Melayu daripada penjajah tidak termasuk untuk membela kaum lain menyebabkan mereka bimbang akan jaminan nasib kaum mereka di masa hadapan selepas merdeka.

            Menurut Milne R.S. (1992), sambutan yang berkurangan terhadap IMP telah memaksa Dato’ Onn untuk menubuhkan Parti Negara dengan cara perjuangan yang berlainan berbanding IMP tetapi fokus utama tetap untuk memperoleh kemerdekaan tanah air. Parti Negara ditubuhkan pada Februari 1954 bagi mendapatkan sokongan orang Melayu dengan tujuan untuk menyatupadukan serta mempertahankan hak-hak kebangsaan Melayu demi keselamatan dan keamanan yang lebih terjamin. Tujuan Parti Negara ini bertujuan sekadar untuk bertanding dalam Pilihanraya Umum yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu pada 1955. Namun, sambutan terhadap parti ini kurang mendapat sambutan kerana pada masa itu UMNO dilihat sebagai satu wahdah yang lebih berkesan dan berkelayakkan dalam memimpin orang Melayu ke arah kemerdekaan dan telah mendapat kepercayaan dalam mempertahankan hak orang Melayu. Gabungan antara MIC dan MCA dengan UMNO sehingga membentuk parti Perikatan menguatkan lagi pengaruh UMNO, MIC dan MCA.

            Persoalannya di sini, mengapakah cadangan Dato’ Onn untuk membuka keahlian UMNO kepada kaum lain ditolak sedangkan semasa membentuk parti Perikatan antara UMNO, MIC dan MCA diterima? Jika dilihat semula perjuangan UMNO pada asalnya ialah untuk membantah perlaksanaan Malayan Union yang telah mencabuli hak orang Melayu dan kuasa Raja-raja Melayu. Pembantahan ini melibatkan semangat bangsa Melayu dalam mempertahankan hak mereka bukannya semangat kebangsaan yang melibatkan semua kaum. Tambahan pula, kaum lain ramai yang menyokong perlaksanaan Malayan Union terutama kerakyatan jus soli yang memudahkan mereka mendapat hak yang sama dengan bangsa Melayu. Lain pula kisahnya semasa zaman dalam menuntut kemerdekaan yang menyebabkan sesuainya pembentukkan Parti Perikatan kerana pada masa itu semua kaum memfokuskan perjuangan mereka dalam menuntut kemerdekaan. Antara syarat yang ditetapkan oleh British untuk memberikan kemerdekaan Tanah Melayu ialah mewujudkan kesepaduan antara kaum. Bagi menyahut seruan kemerdekaan ini, penyatuan kesemua kaum dilaksanakan supaya kemerdekaan mudah dituntut menyebabkan UMNO dibawah pimpinan Tunku Abdul Rahman telah membentuk Parti Perikatan dengan MIC dan MCA hasil daripada idea penggabungan yang diilhamkan oleh Dato’ Onn. Konsep yang diilhamkan oleh Dato’ Onn ini telah dilaksanakan sehingga ke hari ini terutama dalam mengekalkan keamanaan dan kemerdekaan negara seperti Gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia Keenam, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

            Dato’ Onn juga seorang yang berjasa dalam memperjuangkan peningkatan ekonomi orang Melayu dan sentiasa memikirkan nasib orang Melayu. Menurut Mohamad Idris Saleh (1994), Dato’ Onn telah mencadangkan penubuhan Lembaga Kemajuan Industri Desa (RIDA) yang sekarang ini dikenali sebagai MARA yang bertujuan untuk membangunkan ekonomi dan pendidikan orang Melayu pada waktu itu. Dato’ Onn telah menyedari akan kelemahan orang Melayu dalam bidang ekonomi sejak Perang Dunia Kedua lagi semasa beliau dilantik menjadi Pengawal Makanan Negeri Johor dan ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor menyebabkan beliau berjuang untuk menubuhkan RIDA. Dato’ Onn telah ke London bagi meminta bantuan daripada British dan akhirnya diberikan 10 000 000 pound bagi meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu. Beliau telah memberi bantuan dan membuka ruang kepada orang Melayu terutama masyarakat luar bandar dalam bidang perusahaan, perniagaan dan pertanian di seluruh Tanah Melayu. Faktor yang menyebabkan beliau terlalu memperjuangkan ekonomi rakyat ialah kerana beliau berpendapat bahawa ekonomi yang lemah akan mempengaruhi kedudukan politik sesebuah negara dan menggugat keamanan negara terutama sekali dalam keadaan Tanah Melayu yang sedang menuju kemerdekaan.

            Kesimpulannya, Dato’ Onn Jaafar merupakan tokoh pejuang kemerdekaan dalam membela nasib bangsa yang sanggup mengharungi liku kehidupan supaya bangsanya dapat memperoleh keamanan dan hak mereka. Jasa beliau tetap kekal terpahat sebagai pejuang kemerdekaan melalui bidang politik, kesatuan dan parti malah beliau juga turut menyumbang kepada wujudnya satu dasar negara iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan (Anwar Abdullah, 2005).



[1]  Dato’ Onn dilahirkan di rumah bapanya yang terdapat di Bukit Gambir, Johor Bahru pada tahun 1895. Bapanya, Dato’ Jaafar bin Haji Muhammad ialah Menteri Besar Johor yang pertama pada ketika itu. Ibunya, Cik Rugayah Hanim adalah dari keturunan bangsawan Turki yang terpelihara di Istana Harem. Ibunya adalah keluarga bangsawan Turki yang dinikahkan atas perkenan dan restu Sultan Turki sebagai tanda persaudaraan dengan Maharaja Abu Bakar ketika baginda melawat Turki pada tahun 1887 (Ramlah Adam, 1993)
[2] Tujuan pertama MCA ditubuhkan pada 1949 adalah untuk membantu  usaha mendapatkan kerjasama orang Cina dalam rancangan British memerangi pengganas komunis dan menamatkan Darurat dengan segera. Tujuan kedua adalah untuk member kesempatan kepada orang Cina di Malaya supaya mudah bersatu  dan menguatkan kedudukan mereka sebagai satu kaum (Amaluddin Darus, 1978).
[3] Tujuan utama penubuhannya pada 1946 adalah menyuarakan fikiran kaum India tempatan mengenai kepentingan masyarakat India dalam semua lapangan hidup di Tanah Melayu (Amaluddin Darus, 1978).

[Nota PPISMP] Sejarah Malaysia Moden : Za'ba

            Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali dengan Za’ba[1] merupakan antara tokoh perjuangan kemerdekaan dan laungan kebangsaan dalam menuntut kemerdekaan negara melalui penulisan. Za’ba seorang penulis yang berbakat bukan sahaja dalam bahasa Melayu malah juga di dalam bahasa Inggeris. Kebolehan beliau terserlah setelah beliau memasuki perkhidmatan pendidikan kolonial iaitu sebagai seorang guru pada tahun 1916. Menurut Mohd Janan Ahmad (1966), guru pada masa ini bukan sahaja bertugas sebagai tenaga pengajar di sekolah tetapi juga bertindak sebagai wartawan bebas, penulis cerpen, penulis novel serta buku untuk sekolah Melayu dan untuk pengetahuan umum. Namun, generasi baru hanya mengenali Za’ba sebagai tokoh yang mengasaskan dasar ejaan dan tatabahasa kerana kurangnya pendedahan tentang penglibatan beliau dalam penuntutan kemerdekaan tanah air (Abdullah Hussain & Khalid M.Hussain, 1974).

                Penulisan Za’ba adalah berdasarkan pengalaman, analisis dan pengamatan yang diteliti oleh beliau tentang bangsanya. Beliau amat memahami keadaan politik, ekonomi dan juga sosial masyarakat Melayu kerana beliau dibesarkan di kampung, menerima pendidikan Melayu, Arab dan Inggeris serta bekerja di bandar. Menurut Mohd Taib Osman & Hamdan Hassan (1978), penelitian dan kefahaman ini telah mewujudkan kesedaran politik di dalam diri beliau menyebabkan beliau mengambil pendekatan anti-kolonial dan berusaha menegur bangsanya melalui tulisan dan karya beliau. Ratusan rencana Za’ba telah tersiar di dalam akhbar, majalah dan jurnal akademik serta penerbitan buku ilmu bahasa dengan diselitkan pemikiran progresifnya di dalam karyanya melibatkan pelbagai aspek seperti Islam, pendidikan, ekonomi dan politik orang Melayu.

            Penulisan dan karya Za’ba banyak menyentuh mengenai masalah serta masa depan orang Melayu seperti ‘Kemiskinan Melayu’, ‘Guna Kekayaan’, ‘Teguran dan Jawaban’ dan ‘Rajin Orang Cina’. Penulisan beliau mendapat perhatian dan mula diterbitkan di Utusan Melayu dan Lembaga Melayu malah mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat. Sambutan ini menjadi pembakar kepada Za’ba untuk terus menulis supaya dapat meningkatkan kesedaran orang Melayu untuk bangkit menuntut hak mereka di tanah air mereka di samping menyampaikan ilmu kerana Za’ba beranggap ilmu mampu mengangkat darjat orang Melayu. Menurut Amat Juhari Moain (2004), menuntut ilmu adalah penting bagi Za’ba malah agama Islam mewajibkan umat Islam untuk menuntut ilmu kerana dengan ilmu akan meningkatkan martabat umat Islam. Hal ini menyebabkan beliau terpaksa berhenti untuk menulis berkenaan isu kemiskinan orang Melayu untuk beberapa tahun. Namun, kembali menerbitkan ‘Jalan Keselamatan Bagi Orang-orang Melayu’ iaitu terjemahan The Salvation of Malays di dalam Bahasa Melayu pada tahun 1972 melalui akhbar al-Ikhwan terbitan Sayid Sheikh al-Hadi[2].

            Menerusi penulisan juga, Za’ba telah memberikan kesedaran kepada orang Melayu bahawa pendidikan merupakan elemen penting bagi mengukuh serta memantapkan kedudukan orang Melayu. Za’ba telah mengulas mengenai pendidikan iaitu:
“Pelajaran otak atau kepandaian-kepandaian sekolah atau kolej sahaja, istimewa pula jika yang demikian itu terlalu rendah dan tidak melebihi daripada kepandaian membaca, menulis, berkira-kira dan membuat kerja-kerja kerani dan mengenal akan kesedapan karangan-karangan yang rendah dan kecil. Pelajaran yang dikatakan cukup itu hendaklah termasuk di dalamnya pelajaran-pelajaran berniaga, berjual beli, pertukaran, membuat barang-barang, bercucuk tanam dan berbagai-bagai perusahaan dan pekerjaan mengeluarkan hasil. Dalam pada itu, hendaklah pula dimaksudkan tiap-tiap seorang termesti belajar dan mengetahui kesemuanya itu.”
            Kenyataan ini menunjukkan betapa mendalamnya kefahaman Za’ba mengenai keperluan pendidikan yang diperlukan oleh orang Melayu pada masa itu bagi meningkatkan martabat bangsa dan kemajuan bangsa. Keperluan pendidikan orang Melayu pada masa itu bukan sahaja melibatkan pencapaian akademik tetapi juga memerlukan penguasaan dalam bidang kemahiran dalam menjamin pengeluaran hasil serta meningkatkan kedudukan bangsa. Karya beliau telah menyedarkan ramai golongan muda bahawa mereka sewajarnya mendapat pendidikan yang baik dan seterusnya memikul tanggungjawab menggerakkan diri dan bangsa ke arah kemajuan yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan negara.

            Za’ba juga menzahirkan keprihatinan beliau terhadap kemiskinan yang dialami oleh masyarakat Melayu pada masa itu seperti di dalam artikel beliau yang bertajuk The Poverty of Malays dan diakhiri dengan artikel The Salvations of Malays. Penulisan beliau ini telah mendapat sambutan hangat dan pelbagai reaksi termasuk ada yang menyokong dan ada yang menentang. Penulisan beliau turut mendapat perhatian British kerana merasakan terdapat unsur yang mampu menggugat kedudukan mereka. Menurut Amat Juhari Moain (2004), beberapa langkah sekatan telah diambil oleh British seperti siasatan keatas Za’ba mengenai kegiatan yang beliau lakukan termasuk penulisan beliau di dalam akhbar.

Za’ba bukan sahaja memperjuangakan kemerdekaan Tanah Air malah turut memperjuangkan kemerdekaan minda orang Melayu daripada pemikiran dan pembinaan sikap yang kolot dan jumud. Keadaan orang Melayu pada masa itu masih lagi terikat dengan budaya dan kepercayaan karut yang tiada di dalam Islam. Banyak daripada karya Za’ba membicarakan perkara-perkara khurafat dan kepercayaan tahyul yang diamalkan oleh orang Melayu ketika itu yang menjejaskan keupayaan untuk menerima dan memasuki zaman moden serta kearah kemajuan. Antara karya beliau yang berbicara mengenai isu ini ialah ‘Falsafah Takdir’ dan ‘Perangai Seseorang Bergantung Kepada Diri Sendiri’. Beliau mengupas di dalam buku tersebut mengenai kelemahan orang Melayu yang bukan sahaja terlalu lama dijajah tetapi sifat orang Melayu yang tidak mempunyai nilai untuk berubah terutama melalui sikap. Menurut Ermy Azziaty Rozali & Mohammad Redzuan Othman (2010), Za’ba beranggap bahawa pendidikan agama yang kolot dan cetek yang tidak selari dengan kehendak syariat Islam yang sebenar menjadi kekangan kepada orang Melayu dalam mencapai kemajuan. Hal ini telah membuka mata-mata golongan muda untuk menyekat kepercayaan karut dan kolot yang melambatkan pergerakan kebangsaan dan kemerdekaan negara.

            Sumbangan beliau melalui politik ialah perjuangan secara langsung beliau dengan UMNO setelah dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa Penaja UMNO dan juga terlibat dalam merangka perlembagaan awal UMNO yang sehingga kini sebahagiannya masih berkekalan seperti saranan Za’ba dalam menambah perkataan ‘Kebangsaan’ iaitu ‘Nation’ ke dalam nama U.M.O sehinggalah wujudnya nama UMNO yang digunakan sehingga sekarang. Za’ba mula terlibat dengan UMNO dan penubuhannya setelah timbulnya kesedaran orang Melayu di seluruh semenanjung Tanah Melayu bagi menentang pembentukan Malayan Union.

Namun, masalah yang dihadapi oleh orang Melayu pada masa itu ialah semangat kebangsaan hanya berbekalkan pada kesedaran serta semangat yang tinggi sahaja tetapi intelektual mereka belum mencukupi untuk melaksanakan satu sistem atau pertubuhan yang kukuh dan kuat. Kehadiran Za’ba ini banyak membantu dalam jentera pergerakkan UMNO melalui kerja-kerja kesetiausahaan yang dilakukan oleh beliau. Beliau bertanggungjawab merangka dan menghubungi serta memujuk banyak pertubuhan Melayu yang masih bersifat dan berorientasikan negeri masing-masing supaya membuang semangat kenegerian mereka dan bersatu tanpa mengira negeri dalam menuntut kemerdekaan. Menurut Abu Bakar Abdul Hamid (1967), pembelajaran di maktab-maktab perguruan yang didirikan oleh British telah mengurangkan semangat kenegerian dan telah membentuk sikap kerjasama tanpa mengira negeri. Hal ini menyebabkan golongan pendidik termasuk Za’ba tidak mempunyai semangat kenegerian dan faham bahawa kesemua negeri harus bersatu dalam menuntut kemerdekaan.

Selain itu, Za’ba juga menjadi faktor penarik kepada masyarakat Melayu untuk bersatu di bawah satu bumbung iaitu di bawah UMNO. Keadaan politik di Tanah Melayu pada asalnya berpecah-belah serta wujudnya parti berhaluan kanan dan kiri sehingga British mengisytiharkan darurat bagi menyekat gejala politik yang keras dan membasmi pengaruh komunis. Hal ini kerana UMNO bukanlah parti politik yang pertama ditubuhkan di Tanah Melayu malah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Kesatuan Melayu Muda lebih awal ditubuhkan iaitu pada tahun 1945 dan memiliki pengaruh yang lebih besar. Oleh itu, peranan Za’ba sebagai orang tengah antara pemimpin dan masyarakat telah menguatkan lagi sokongan rakyat kepada pimpinan UMNO dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Menurut Rahmat Saripan (1973), guru pada masa itu dianggap sebagai golongan intelektual kelas kedua berbanding dengan golongan yang berpendidikan Inggeris dan berjawatan tinggi dalam pentadbiran yang sukar didekati masyarakat. Sifat kepimpinan keguruan beliau banyak menarik minat masyarakat terutama penduduk kampung. Golongan guru seperti Za’ba yang berasal daripada kampung dan didikan agama yang tinggi menyebabkan beliau mudah mendekati dan disenangi masyarakat. Penyatuan ini akhirnya telah membawa kepada kemerdekaan negara yang dikecapi rentetan daripada asas yang telah diletakkan oleh Za’ba.

Kesimpulannya, Za’ba merupakan tokoh penting yang berperanan dalam proses penuntutan kemerdekaan negara sehinggakan beliau pernah dicadangkan sebagai Presiden UMNO yang pertama tetapi ditolak kerana merasakan diri beliau tidak layak lalu mencadangkan Dato’ Onn sebagai pemimpin UMNO yang pertama. Penulisan beliau kini menjadi inspirasi kepada kalangan penulis masa kini. Sifat berani beliau dalam mengkritik dan menyuarakan pendapat dapat membuka minda masyarakat banyak diaplikasikan oleh penulis sekarang yang lebih terbuka dalam menyatakan cadangan atau pandangan baru dalam bentuk penulisan.



[1] Dilahirkan di Batu Kikir, Jempol Negeri Sembilan pada 1895 yang berasal dari keluarga kuat agama. Khatam al-Quran, hafal Yassin dan berzanji pada usia 7 tahun. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Linggi pada usia 12 tahun dan pelajar Melayu Negeri Sembilan pertama berjaya menamatkan persekolahan sehingga ke darjah enam iaitu lulus Senior Cambridge  (Abdullah Hussain & Khalid M.Hussain, 1974).
[2] Sayid Sheikh al-Hadi merupakan tokoh islah yang banyak menghasilkan penulisan dalam bentuk novel, artikel, buku dan terjemahan. Al-Ikhwan dan Saudara menjadi medan beliau meyampaikan maklumat dan pemikiran kepada masyarakat (Adibah Sulaiman & Ezad Azraai Jamsari, 2006).

[Nota PPISMP] Sejarah Malaysia Moden

[Nota PPISMP] Sejarah Malaysia Moden : Pengenalan
https://sejarahmengajarkitahs.blogspot.my/2017/11/nota-ppismp-sejarah-malaysia-moden.html

[Nota PPISMP] Sejarah Malaysia Moden : Za'ba
https://sejarahmengajarkitahs.blogspot.my/2017/11/nota-ppismp-sejarah-malaysia-moden-zaba.html

[Nota PPISMP] Sejarah Malaysia Moden : Dato' Onn Jaafar
https://sejarahmengajarkitahs.blogspot.my/2017/11/nota-ppismp-sejarah-malaysia-moden-dato.html

[Nota PPISMP] Sejarah Malaysia Moden : Ahmad Boestamam
https://sejarahmengajarkitahs.blogspot.my/2017/11/nota-ppismp-sejarah-malaysia-moden_93.html


[Nota PPISMP] Sejarah Malaysia Moden : Pengenalan

         Selepas era perang Dunia Kedua telah membuka corak baru dalam bentuk perjuangan masyarakat di Tanah Melayu dalam menuntut kemerdekaan. Perang Dunia selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu telah banyak membuka mata masyarakat di Tanah Melayu untuk mencapai kemerdekaan. Kejayaan Jepun dalam melumpuhkan dan menewaskan penjajahan Barat dalam Perang Dunia Kedua membuktikan bahawa hanya semangat dan kesatuan bangsa mampu melahirkan kekuatan bagi menamatkan penjajahan dan merdeka. Pendudukan Jepun di Tanah Melayu juga telah memberi ruang kepada orang Melayu dalam pentadbiran awam seperti Ibrahim Haji Yaakob dilantik sebagai Leftenan Kolonel Pembela Tanah Air (PETA) dan Dr. Burhanuddin al-Helmy dilantik sebagai Penasihat Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu. Hal ini telah melahirkan golongan intelektual yang mempunyai pemikiran untuk bebas daripada penjajahan dan mentadbir kerajaan di tanah air sendiri.

            Malayan Union yang telah diisytiharkan oleh British pada 1 April 1946 telah merancakkan lagi semangat kebangsaan di Tanah Melayu pada waktu itu terutamanya semangat kebangsaan Melayu. Malayan Union akan menghapuskan kedaulatan Raja-raja Melayu dan mencabuli hak kebumiputeraan Melayu serta perlaksanaan hak kerakyatan jus soli di Tanah Melayu. Hal ini telah menimbulkan kebangkitan semangat kebangsaan Melayu kerana ingin mempertahankan hak ketuanan Melayu sebagai pribumi di Tanah Melayu. Terdapat pelbagai bentuk perjuagan kebangsaan yang telah wujud dan pelbagai saluran telah diwujudkan bagi menyampaikan ketidakpuasan hati serta penentangan kepada bentuk penjajahan baru ini. Perjuangan kesedaran kebangsaan telah disalurkan melalui penubuhan parti-parti politik dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu,  penulisan melalui akhbar dan majalah serta bantahan melalui kongres atau demontrasi.


            Namun, kesemua perjuangan, kesedaran dan gerakan kebangsaan ini sudah tentu dan pasti tidak akan berjaya tanpa adanya gologan pemikir atau tokoh yang berwibawa dalam mengembangkan pemikiran ataupun ideologi perjuangan ini. Peranan tokoh-tokoh ini amat penting kerana pemikiran mereka dalam menuntut kemerdekaan dan laungan kebangsaan banyak mempengaruhi masyarakat di Tanah Melayu supaya bersatu di bawah satu pemikiran yang sama iaitu untuk mencapai kemerdekaan dan bebas daripada penjajahan yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan dan penubuhan Malaysia. Antara tokoh yang terlibat di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara ialah Za’ba, Dato’ Onn Jaafar dan Ahmad Boestamam.

[Nota PPISMP] Sejarah Sosioekonomi Malaysia Sehingga 1970 : Dasar Ekonomi Baru (DEB)

              Setelah Malaysia dilanda tragedi rusuhan kaum yang dasyat iaitu Peristiwa 13 Mei, Perdana Menteri Malaysia kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970.[1] Hal ini berlaku kerana wujudnya jurang sosioekonomi antara kaum hasil daripada kesan dasar yang digunakan British dan masalah ini tidak diatasi pemempin sejak awal lagi. Oleh itu, DEB telah dilaksanakan dalam usaha kerajaan untuk mengagihkan kekayaan negara kepada semua rakyat terutamanya bumi putera.[2] DEB merupakan Rangka Rancangan Jangka Masa Panjang iaitu antara tahun 1970-1990 yang meliputi Rancangan Malaysia (RMK) Kedua sehingga RMK Kelima. Dalam pelaksanaan DEB, konsep serampang dua mata sangat popular digunakan kerana terdapat dua matlamat yang telah digariskan dalam dasar ini iaitu untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat di negara kita. Kedua-dua matlamat ini mempunyai satu arah tuju iaitu mengintegrasikan masyarakat majmuk di Malaysia.

            DEB telah menggunakan strategi pembasmian kemiskinan yang bertujuan untuk memupuk perpaduan tanpa mengira kaum. Dasar ini tercetus kerana berlakunya ketegangan bahawa kemiskinan berpunca daripada ketegangan antara golongan yang berharta dengan tidak berharta dan orang Melayu merupakan golongan yang lebih banyak menghadapi masalah kemiskinan berbanding dengan kaum yang lain. Hal ini berlaku kerana orang Melayu ketinggalan dan kurang bersaing dengan kemampuan kaum lain walaupun Malaysia berada pada tahap ekonomi yang baik.[3]

            Oleh itu, strategi DEB telah dijalankan dengan memodenkan keadaan kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah sama ada di bandar atau pun di luar bandar. Hal ini termasuklah menyediakan kemudahan asas dan buku serta biasiswa.[4] Sebelum pelaksanaan DEB, hanya penduduk bandar sahaja yang memperoleh kemudahan asas seperti pendidikan dan perubatan sementara penduduk luar bandar diabaikan. Pelaksanaan ini mampu membawa kepada pengurangan kadar kemiskinan di Malaysia. Kadar kemiskinan yang rendah mampu menyumbang kepada perpaduan. Apabila rakyat dapat hidup dengan harmoni, dan tiadanya masalah kemiskinan, hal yang dapat diungkit dengan menggunakan perkauman dapat dielakkan daripada berlaku.

            Kerajaan juga telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada semua tanpa mengira kaum serta tidak terikat dengan dasar pecah dan perintah. Hal ini memberikan peluang yang luas kepada kaum Melayu untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan tidak terikat hanya dalam kegiatan pertanian sara diri sahaja. Kaum Cina dan India juga berpeluang untuk menceburi bidang perkhidmatan dan perindustrian melalui DEB ini.[5]

            Peluang pekerjaan yang tinggi juga dapat memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pada zaman British, pusat dan kawasan bandar dipelopori oleh kaum Cina dan untuk menarik minat kaum lain untuk berpindah kebandar, peluang pekerjaan yang tinngi telah ditawarkan. Hal ini akan membawa kepada jumlah migrasi yang tinggi oleh penduduk luar bandar untuk menetap di bandar. Apabila wujudnya kepelbagaian kaum dalam sebuah bandar, mereka dapat berinteraksi antara satu sama lain. Mereka akan menjalankan kegiatan serta urus niaga sesama mereka tanpa mengira bangsa dan agama. Maka, perpaduan akan terus terpupuk dalam diri mereka kerana mereka telah memahami kehendak kaum lain serta menghormati budaya kaum lain. Oleh itu, peluang pekerjaan yang tinggi amat menyumbang kepada pemupukan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

            Salah satu strategi menyusun semula masyarakat ialah dengan membangunkan kawasan yang mundur tetapi mempunyai potensi untuk maju yang tinggi seperti pembangunan wilayah. Objektif rancangan dan pembangunan wilayah di bawah DEB dapat mengurangkan ketidaksamaan tingkat sosial dalam kehidupan. Kerajaan telah menggandakan kadar pertumbuhan yang berhubung dengan kawasan yang kurang membangun, mengekploitasi sepenuhnya sumber manusia dan fizikal di kawasan yang kurang membangun dan menyama ratakan perkhidmatan dan kemudahan asas.[6]

            Apabila sesebuah kawasan tersebut dimajukan, peluang pekerjaan akan bertambah dan kawasan tersebut akan menjadi tumpuan. Akhirnya akan membawa kepada migrasi yang besar orang yang datang dari kawasan yang memiliki kemudahan yang amat berkurangan. Akhirnya, pelbagai jenis kaum dapat tinggal setempat dan dalam masa yang sama boleh mengenal budaya kaum lain. Hal ini membawa kepada lahirnya sikap perpaduan yang mahu dipupuk oleh kerajaan.

            DEB juga telah memberikan peluang kepada pembangunan bandar di mana kerajaan telah mencorakkan perbandaran baru dan pembinaan industri baru supaya kepentingan kaum Melayu diutamankan. Kerajaan juga telah menitikberatkan latihan kemahiran kepada kaum Melayu agar mereka berkebolehan dalam mengurus, mentadbir serta memiliki perusahaan sendiri. Perkara ini telah menggalakkan orang Melayu untuk berhijrah dari luar bandar ke kawasan bandar dan kadar orang muda lingkungan umur 20 hingga 30 tahun yang miskin adalah tinggi semasa proses penghijrahan tersebut.[7]

            Usaha ini amat berkesan kerana orang Melayu pada zaman tersebut memiliki kemahiran yang rendah menyebabkan mereka enggan berpindah kekawasan bandar kerana mereka takut dengan cabaran yang akan dihadapi. Akhirnya masyarakat majmuk tidak dapat diwujudkan di kawasan bandar. Oleh itu, pemuda luar bandar terutamanya akan diberikan latihan kemahiran dan akhirnya mereka berkemampuan untuk hidup di kawasan bandar sekali gus bergaul dengan kaum lain di sana. Dengan ini, maka lahirlah perpaduan kerana terjadinya proses interaksi antara kaum yang menyebabkan kata kesepakatan mudah tercapai.

            Secara tuntasnya, jelaslah bahawa DEB sangat berperanan dalam memupuk pada perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Walaupun DEB tidak mencapai matlamat yang telah ditetapkan sepenuhnya, namun pelbagai masalah mampu dihadapi melalui DEB sehinggalah zaman tahun 1980 iaitu zaman dunia mengalami kemelesetan ekonomi yang dilihat sebagai faktor pengekang pelaksanaan DEB.[8] Namun, peranan paling besar DEB ialah dalam memastikan perpaduan kaum terus dicapai melalui ekonomi. Dalam menjalankan kegiatan ekonomi, perpaduan antara kaum dapat dicapai.



[1] Mohd Shahari Ahmad Jabar et.al. (1983). Negara Kita: Sejarah Pentadbiran dan Dasar Pembangunan. Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara.
[2] Ibid.
[3] Wikipedia. (2014, Julai 20). Dasar Ekonomi Baru. Retrieved Ogos 27, 2014, from Wikipedia: http://ms.wikipedia.org/wiki/Dasar_Ekonomi_Baru
[4] Nazaruddin Mohd Jali et.al. (2004). Pengajian Malaysia: Kenagaraan dan Kewarganegaraan Edisi Kedua. Selangor: Prentice Hal
[5] Ibid.
[6] Ahmad Idris. (1988). Dasar Ekonomi Baru. Selangor: IBS Buku Sdn. Bhd.

[7] Sanusi Othman. (1987). Pembangunan Di Malaysia: Perencanaan, Pelaksanaan dan Prestasi. Kuala Lumpur: Persatuan Sains Sosial Malaysia.
[8] Zulkifli Osman, & Nik Hashim Mustapha. (1989). Dasar Ekonomi Malaysia. Bangi: UKM.

[Nota PPISMP] Sejarah Sosioekonomi Malaysia Sehingga 1970 : Dasar Pendidikan Kebangsaan

Pada era Tanah Melayu mengecapi kemerdekaan, telah timbul kesedaran dan pemikiran dalam kalangan pemimpin termasuk juga rakyat Malaysia tentang betapa pentingnya untuk mewujudkan satu pelaksanaan atau sistem pendidikan kebangsaan yang selaras. Hal ini bertujuan untuk menggantikan sistem pendidikan yang telah diwujudkan oleh penjajah supaya sistem pendidikan yang baru dapat memenuhi keperluan dan manfaat kepada negara. Pendidikan juga mampu untuk membuka minda individu mengenai betapa pentingya mengekalkan rasa hormat antara satu sama lain dan perpaduan.[1]

Melalui kesedaran ini, maka lahirlah Dasar Pendidikan Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran tahun 1957.[2] Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan Menteri Pelajaran pada waktu itu telah menubuhkan Jawatankuasa Pelajaran maka keluarlah laporan yang dikenali sebagai Penyata Razak (1956) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Tujuan paling besar Penyata ini diwujudkan ialah untuk menyatupadukan kaum di Malaysia yang mana pada waktu itu terpisah oleh bahasa dan budaya yang berbeza-beza.[3] Dasar pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960 dan menghasilkan Laporan Rahman Talib yang akhirnya dimaktubkan dalam Akta Pelajaran tahun 1961.

Jawatankuasa Kabinet pula telah ditubuhkan kerajaan pada tahun 1974 yang bertujuan menyemak kembali Dasar Pendidikan Kebangsaan dan dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad yang memegang jawatan sebagai Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu. Hal ini berikutan daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang memberi pengajaran besar kepada kerajaan untuk mengatasi masalah pertembungan antara etnik-etnik di Malaysia. Oleh itu, kerajaan memperkuatkuasakan dua perkara iaitu Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru pada 1970 untuk memupuk perpaduan dikalangan rakyat di Malaysia manakala Dasar Pendidikan Kebangsaan merupakan elemen untuk menjayakan perkara ini dalam pendidikan. Laporan jawatankuasa ini bertujuan untuk menyatupadukan rakyat seperti yang terdapat dalam Akta Pelajaran 1961 iaitu menjadikan pendidikan sebagai alat utama untuk mencapai perpaduan di negara.

Strategi penyelarasan bahasa pengantar pendidikan telah digunakan. Dalam laporan ini, matlamat pendidikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi utama dan bahasa untuk menyatukan rakyat (Mohd Yazid Yusoff et al., 2002).[4] Bahasa merupakan jiwa bangsa kerana berupaya mewujudkan perpaduan antara pelbagai kaum di Malaysia. Bahasa yang diguna pakai umum untuk berbicara akan mempercepat proses pemindahan maklumat, berupaya mengelakkan salah tafsir, rasa curiga dan memperkaya informasi. Strategi ini dilaksanakan tanpa menidakkan bahasa-bahasa ibunda kaum lain seperti bahasa Cina dan Tamil. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan perlu digunakan secara optimum seperti dalam urusan rasmi sekolah dan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Bahasa yang selaras mampu mewujudkan kefahaman dalam proses komunikasi dan perhubungan dua hala. Hal ini membolehkan semua rakyat Malaysia mampu berbahasa Melayu dan semua kaum mampu untuk berkomunikasi dengan orang lain walaupun mereka berlainan kaum. Selain itu, bahasa yang selaras dapat mengelakkan daripada berlakunya salah faham dan salah tafsir akibat penggunaan bahasa yang berbeza. Kesepakatan juga mudah dicapai sekiranya kefahaman dalam komunikasi dapat dicapai yang akhirnya membawa kepada perpaduan kaum di negara kita ini. Oleh itu, penyelarasan bahasa Malaysia di sebagai bahasa pengantar di sekolah amatlah berkesan dalam memupuk perpaduan di Malaysia.

Penyelarasan sistem pendidikan juga telah dilaksanakan untuk semua jenis sekolah secara menyeluruh. Penyelarasan kurikulum, penilaian dan peperiksaan bermatlamat untuk melahirkan rakyat Malaysia yang bersatu padu walaupun mereka datang daripada latar belakang yang berlainan serta pelbagai. Misi membina Integrasi Nasional ini selaras dengan salah satu cabaran yang digariskan dalam Wawasan 2020. Penyelarasan sistem pendidikan sangat membantu dalam memupuk nilai perpaduan dalam diri pelajar. Penggunaan bahan oengajaran seperti buku teks sjerah dan geografi misalnya. Buku teks geografi dan sejarah telah diselaraskan menggunakan pengisian tentang negara kita bukannya negara asal kaum masing-masing.

Hal ini sangat menyumbang kepada perpaduan kaum. Sebagai contoh penggunaan bahan mengajar yang selaras. Keselarasan telah diterapkan melalui pengisian tentang negara kita. Akhirnya semangat patriotik dan cinta akan tanah air akan terpupuk. Apabila lahirnya cinta pada tanah air, maka akan turut melahirkan sikap toleransi antara kaum kerana mereka percaya keamanan negara kesayangan mereka akan tercalar sekiranya perpaduan tidak dapat tercapai. Oleh itu, keselarasan sistem pendidikan amat penting dalam memupuk semangat perpaduan antara kaum di Malaysia.

Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM), Kadet Polis, Kadet Remaja Sekolah (KRS), Pengakap, Pandu Puteri dan Puteri Islam adalah antara persatuan beruniform yang wujud di kebanyakan sekolah di Malaysia. Organisasi seperti kelab dan unit beruniform itu tadi memberi peluang yang banyak untuk para pelajar mengasah bakat kepimpinan mereka, melatih disiplin diri serta ketahanan mental dan fizikal. Kementerian berkenaan telah menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai prasyarat kemasukan ke sekolah berasrama mahupun Institut Pengajian Tinggi. Melalui platform seumpama ini, bakat terpendam pelajar dapat dicungkil dan dimanfaatkan sepenuhnya. Pelajar akan mempelajari banyak perkara baru yang menyeronokkan sambil berkenalan dan bekerjasama dengan rakan-rakan lain. Organisasi kokurikulum merupakan model berskala kecil kepada kehidupan bermasyarakat yang bersistem. Maka isu-isu pengendalian manusia, formaliti, protokol, dan masalah-masalah berbangkit akan menambah pengalaman, menggerakkan minda yang tidur untuk mula melihat dunia di luar kerangka diri mereka dan berfikir di luar kotak fikiran mereka.

Selain itu, organisasi kokurikulum amat memainkan peranan penting dalam memupuk nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Melalui aktiviti yang menarik dan pelbagai, kokurikulum mampu menarik minat pelajar daripada pelbagai bangsa untuk menyertai aktiviti tersebut. Pergaulan ini menyebabkan perpaduan dapat dieratkan dan kesepakatan dapat dicapai. Sifat kepimpinan yang dipupuk juga mampu melahirkan nilai perpaduan dalam diri seseorang. Sifat kepimpinan melahirkan sifat toleransi dengan kaum lain dan mencipta nilai murni lain. Nilai murni ini dapat melahirkan pelajar yang rasional dan dapat melahirkan generasi yang sentiasa menitikberatkan soal perpaduan. Oleh itu, aktiviti kokurikulum amat berkesan bagi memupuk nilai perpaduan dalam kalangan generasi muda di Malaysia.

Kesimpulannya pelbagai Dasar Pendidikan telah dilaksanakan bermula daripada saat negara bebas daripada penjajahan British sehinggalah ke hari ini. Antara fokus utama dasar-dasar ini di samping untuk memberi pendidikan kepada rakyat ianya jelas menjadi alat terpenting untuk menyatupadukan dan mengintegrasikan etnik yang pelbagai di negara ini. Dasar-dasar ini berkembang dan berubah dari masa ke masa untuk memenuhi kehendak dan keadaan semasa. Walaupun dasar ini seringkali berubah, namun ia tidak lari daripada misinya yang asal iaitu membangunkan sesebuah negara di mana rakyatnya berbilang kaum, bersatu padu untuk memacu negara ke arah kegemilangan dan mampu bersaing dalam arus golbalisasi yang semakin mencabar.



[1] Norliza Abdullah. (2009, June 16). Pendidikan menyeluruh mampu bentuk perpaduan masyarakat. Berita Harian , p. 15
[2] Soon Mok Sang. (2014). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Cetakan Ketiga. Selangor: Siri Ilmu Pendidikan
[3] Dasar Pendidikan Kebangsaan. (2009). Dasar Pendidikan Kebangsaan. Retrieved from http://www.pmo.gov.my/dokumenattached/Dasar/09DASAR_PENDIDIKAN_KEBANGSAAN.pdf

[4] Mohd Yazid Yusoof , Mohd Noor Mohd Zain dan Idris Omar. (2002). Kertas Kerja : Persamaan  dan Perbezaan Akta Pelajaran Dengan Akta Pendidikan 1996  melalui         http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2002&dt=0125&pub=DuniaPendidikan &sec=Kertas_Kerja&pg=kk_01.htm  

Sejarah Tahun 4 : Kaedah Pencarian Maklumat Sejarah

Sumber Sejarah Mata Pelajaran Sejarah Tahun 4 Sekolah Rendah Tajuk 1 : Mari Belajar Sejarah https://www.youtube.com/watch?v=M...